[zaman terburuk umno dalam lipatan sejarah] ... Najib dan barisan pimpinan berjiwa fakir
Kita sedang tercari-cari (soul searching) pemimpin yang berkualiti dalam kepimpinan untuk mendapatkan sebuah negara yang terurus dengan kepimpinan lurus dan ‘magnanimous’. Saya menyebut isu ini kerana apa yang sedang berlaku pada politik dan kepimpinan hari ini tidak mempunyai sedikit pun unsur yang ada dalam kepimpinan pemimpin terdahulu yang pernah dialami oleh rakyat. Rakyat yang sudah berusia mungkin masih ingat bagaimana pucuk pimpinan dahulu tidak mengambil teguran sebagai kesalahan. Tetapi untuk mendapatkan kepimpinan seperti ini ia tentulah datangnya dari seorng yang jujur dan berjiwa besar dan perjuangannya semata-mata untuk negara dan tidak ada kepentingan peribadi.
Saya masih teringat lagi semasa isu mengeluarkan Singapura dari Malaysia walaupun saya semasa itu masih terlalu muda pada waktu itu. Semasa Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk menolak Singapura dari gagasan Malaysia beliau mendapat tentangan dari Pemimpin Tertinggi UMNO sendiri dan pemimpin itu tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Seorang lagi yang saya masih ingat ialah Syed Jaafar Albar. Kedua-dua pemimpin tersebut telah dengan cara terbuka telah menentang Tunku dan Tun Ismail yang bersifat tegas itu telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakan Tunku itu.
Perkelahian ini tidak memecahkan UMNO kerana kedua-dua pemimpin ini hanya mempunyai kepentingan negara sahaja yang ada dalam jiwa mereka. Isu penolakan Singapura dari Malaysia ini merupakan isu yang besar tetapi ia tidak memecahkan UMNO. Tunku tidak memecat Tun Ismail kerana Tunku mempunyai jiwa besar dan tidak ada apa-apa kepentingan peribadi yang beliau hendak lindungi. Beliau tidak terlibat dengan rasuah berbillion ringgit, maka beliau mudah untuk membuat keputusan dalam hal kenegaraan. Beliau tidak perlu berlakon seperti pemimpin sekarang ini. Sehingga akhir hayatnya Tunku seorang yang lebih miskin dari waktu beliau belum menjadi Perdana Menteri.
Walaupun dalam perbezaan politik yang begitu besar Tunku tetap memahami jiwa Tun Dr Ismail dan akhirnya Tun Dr Ismail telah kembali kepangkuan rakan-rakan dan bersama Tunku setelah keadaan reda dan akhirnya Tun Dr Ismail telah menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa Tun Razak mengetuai kerajaan Malaysia. Tunku dan Tun Razak dan seterusnya Hussein Onn tidak perlu menukar AG kerana kepentingan peribadi. Pemimpin-pemimpin ini tidak perlu menguasai Ketua Polis Negara untuk mempertahankan mereka kerana mereka tidak mempunyai kesalahan ‘criminal’ yang mereka lakukan.
Tunku adalah orang yang ‘sporting’ dan memahami jiwa semua ahli Jemaah kabinetnya. Saya sendiri dapat berapat dengan almarhum Tunku semasa beberapa tahun akhir hayatnya semasa beliau dalam persaraan. Banyak yang beliau ceritakan kepada kami dalam siri mengulangi lawatan beliau semasa beliau sudah uzur dan tidak mempunyai penglihatan yang baik lagi. Tetapi pemikiran beliau tetap mantap dan ingat segala-gala yang berlaku semasa beliau menjadi PM.
Pernah beliau bercerita bagaimana bagaimana Tan Siew Sin, Menteri Kewangan, datang menemui beliau untuk bercuti melebihi sebulan dan bertanya kepada Tunku siapa yang akan memangku Kementerian Kewangan. Tunku menjawab Siew Sin biarlah beliau sendiri (Tunku) memangku Kementerian Kewangan semasa ketiadaan Siew Sin. Siew Sin tidak bersetuju kerana beliau tidak berapa yakin Tunku boleh mengendalikan Kementerian Kewangan dan takut Tunku akan berbelanja banyak. Akhirnya Siew Sin hanya mengambil cuti pendek sahaja dan kabinet tidak perlu melantik Menteri Kewangan.
Tunku tidak berkecil hati dengan Siew Sin kerana Tunku memahami sifat dan tanggungjawab yang dipegang oleh Tan Siew Sin. Malahan semasa bercerita kepada kami Tunku tidak berhenti ketawa bagaimana seronoknya beliau mempunyai ahli Jemaah kabinet yang jujur dan berterus terang dan Tunku tidak pula meminta Majlis Tertinggi UMNO atau Perikatan untuk membuang Tan Siew Sin seperti apa yang berlaku kepada Muhyiddin.
Berdasarkan kepada cerita pendek ini apa yang membezakan pemimpin dahulu dengan sekarang ialah tahap jiwa pemimpin itu. Tunku mempunyai jiwa yang besar sedangkan Najib mempunyai jiwa yang fakir yang tidak kisah dengan kehidupan yang bakal dilaluinya semasa persaraannya nanti. Najib terlupa satu anoloji. Dalam perlumbaan 100 meter yang penting ialah berjaya sampai kepenamat. Hidup manusia ini yang penting kita disayangi oleh masyarakat di kariah kita. Apalah gunanya hidup kaya raya tetapi dibenci masyarakat sekeliling kita. Kasih sayang dan hormat masyarakat itu adalah doa buat bekalan semasa kita meninggalkan dunia ini.
No comments:
Post a Comment