Oleh Muammar Qaddafi
Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memecat 
Datuk Seri Mukhriz Mahathir disamakan dengan kisah Saidina 
Umar Al Khattab memecat gabenornya oleh pemimpin Umno lain.

Ya benar, tindakan memecat pemimpin bawahan oleh pemimpin 
atasan itu tidak salah jika pemimpin atasan merasakan itu yang 
lebih baik untuk kepimpinannya walaupun pemimpin bawahan 
itu tidak melakukan kesalahan besar.

Saidina Umar juga pernah memecat panglima perang terbaik 
Islam Khalid Al Walid sejurus beliau mengambil alih peranan 
khalifah mengantikan Abu Bakar as-Siddiq.

Maka memecat Mukhriz adalah hak Najib, tidak mengapalah.

Namun suka untuk saya menyeru Najib sebagai pemimpin negara 
untuk mencontohi Umar lebih daripada sekadar memecat 
pemimpin bawahan beliau kerana banyak lagi contoh kepimpinan 
Umar yang wajar dicontohi berbanding 1 tindakan memecat 
pemimpin bawahan.

Kenyangkan perut rakyat!

Pada zaman pemerintahan Umar, Azerbaijan diperintah seorang 
gabenor bernama Utbah bin Farqah dan satu hari rakyat beliau 
menghadiahkan makanan yang sungguh sedap lalu beliau mahu 
sang Khalifah juga merasainya.

Apabila anak buah Utbah menghantar makanan tersebut kepada 
Umar, lalu Umar bertanya “Adakah seluruh rakyat Azerbaijan 
dapat merasai makanan ini?”

Anak buah Utbah menjawab tidak semua boleh menikmatinya. 
Lalu Umar menyuruh anak buah Utbah pulang membawa 
makanan itu dan Umar mengirimkan surat kepada gabenornya,

“Makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada duit 
ayah dan ibumu! Kenyangkan perut rakyat sebelum engkau 
mengenyangkan perutmu!”

Kisah Umar yang diabadikan dalam kitab Manaqah Amirul 
Mukminin karya Ibnu Qayyim ini lebih wajar diikuti Najib dan 
pemimpin Islam seluruhnya.
Gambar sumber Anak Sungai Derhaka Blog
Gambar sumber Anak Sungai Derhaka Blog
Setiap pemimpin harus mengutamakan rakyatnya daripada 
segala soal, bukan hanya menggunakan slogan rakyat diutamakan 
tetapi menindas kehidupan rakyat dengan cukai dan undang-
undang menindas tetapi sang menteri hidup mewah hasil cukai 
rakyat.

Kita lihat contoh lain Umar yang wajar dicontohi dalam konteks 
perut rakyat.

Apabila negara umat Islam didatangi musim kemarau yang 
panjang sehinggakan ramai rakyat datang ke Madinah untuk 
mendapatkan bantuan, maka bahan keperluan makin berkurangan 
dan sampai satu saat Madinah menghadapi kemuncak kelaparan.

Namun, satu hari Umar dihidangkan roti dicelup zaitun, lalu Umar 
memanggil seorang Badwi untuk makan bersama.

Umar hanya menyuap roti itu apabila Badwi itu terlebih dahulu 
memakannya lalu kemudian beliau bertanya, “Agaknya kamu 
tidak pernah menikmati makanan sesedap ini?”

Badwi itu menjawab benar, dia tidak pernah memakannya 
bahkan sudah lama tidak melihat orang ramai memakannya 
(kerana kesempitan hidup).

Sejurus mendengarnya Umar bersumpah tidak akan memakan 
lemak (zaitun) sehinggalah setiap rakyat memakannya.

Kata-kata Umar diabadikan sehingga kini iaitu, “Kalau rakyatku 
kelaparan, maka aku ingin menjadi orang pertama merasai 
kelaparan itu, kalau rakyatku kekenyangan, maka aku ingin 
menjadi orang terakhir merasai kekenyangan itu”.

Padahal ketika itu Umar boleh sahaja hidup mewah dengan 
kekuasaan beliau ketika itu.

Tidak hairanlah seorang sahabat beliau menangis apabila 
terkenang sikap Umar dengan mengatakan, “Ya Umar,
sesungguhnya engkau meletakkan aras yang tinggi dalam 
kehidupannya yang pastinya menyukarkan pemimpin selepasmu 
mengikuti jejakmu.”

Maka, berbekal sedikit kisah Umar dari 1001 lagi kisah kepimpinan 
Umar, saya menyeru Najib untuk lebih mengutamakan untuk 
dirinya mencontohi Umar dalam konteks menjaga perut rakyat 
berbanding kisah beliau memecat gabenornya. – TMI

KOMEN: Najib sebenarnya berpeluang mengambil hati rakyat 
dengan hanya mengurangkan walau 1% kadar GST bagi 
menunjukkan dia mendengar keluh kesah rakyat.

Malah sekiranya memiliki penasihat bijak kadar GST akan 
diletak tinggi 8% dan apabila berlaku rungutan ia dikurangkan 
kepada kadar asal yang dikuasakan sekarang 6% sebagai helah 
namun ia tidak berlaku dan kini hanya ternampak angkuhnya 
keputusan polisi yang membebankan ini.

Manakala Mukhriz menyetujui menurut laporan Sinar Harian 
bahawa antara punca dia disingkir ialah kerana mahukan 
pengurangan kadar GST di Kedah.

Ringkasnya dipesankan dengan kebenaran sempurnakanlah 
timbangan untuk rakyat sebagaima kamu para menteri 
menyempurnakan timbangan mewah untuk diri sendiri. 
– Ana Ghoib Al Hina

“Takutlah kepada Allah SWT dan sempurnakan timbangan. 
Ini disebabkan golongan yang mengurangkan timbangan itu 
pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran 
Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan 
mereka.” – Syaidina Umar al-Khattab

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang. (Yaitu) 
orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain, 
mereka minta dipenuhi. Dan apabila mereka menakar atau 
menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidakkah 
orang-orang itu yakin bahwa sesungguhnya mereka akan 
dibangkitkan. Pada suatu hari yang besar. (Yaitu) hari (ketika) 
manusia berdiri menghadap Rabb semesta alam (Al Quran Surah 
Al-Muthaffifîn/83:1-6)

*Gambar ilustrasi oleh Majalah Review Malaysia – MRM
Nota Ana Ghoib:  Wasiat Khalifah Umar Kepada Sa’ad bin 
Abi Waqqash

“Janganlah engkau merasa bangga dengan kedudukanmu sebagai 
anak saudara Rasulullah dan sekaligus sebagai sahabatnya. 
Sesungguhnya Allah tidak akan menghapuskan keburukan dengan 
keburukan, tetapi Dia akan menghapus keburukan dengan 
kebaikan. Sesungguhnya tidak ada manfaatnya berbangga 
dengan keturunan di sisi Allah kecuali dengan kepatuhan yang 
tulus kepadaNya. ”

“Seluruh manusia baik yang berasal dari keturunan mulia mahupun 
dari keturunan yang hina hakikatnya adalah sama dalam pandangan 
Allah. Mereka semua adalah Hamba Allah dan Allah Rabb (Pencipta 
dan Pengurus) mereka. Tahap mereka akan berbeza-beza sesuai 
dengan kemaafan yang diberikan Allah padanya dan sedikit 
banyaknya ketaatan mereka kepada Allah.”

“Lihatlah seluruh perkara yang telah diperbuat (sunnah) Rasulullah 
sejak dia di utus hingga berpisah dengan kita, kemudian ikuti 
jejaknya kerana sesungguhnya itulah kebaikan yang hakiki. Inilah 
nasihatku padamu dan jika engkau menolaknya dan membencinya 
maka amalanmu akan gugur sia-sia dan engkau akan menjadi 
orang yang rugi. “
source : malaysianreview