NUFFNANG

Monday 8 September 2008

Sama rata Tapi Nafikan Keadilan.

Sama rata Tapi Nafikan Keadilan.

Dr Novandri Hasan Basri

Di sini penulis sertakan beberapa bahagian di dalam wawancara Mingguan Malaysia dengan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz mengenai Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis mendapati hujah-hujah yang diberikan oleh Dr Sham perlu dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Penulis tertarik dengan kenyataan Dr Sham :-

Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik.

Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita.

Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil.

Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau.


Penulis bersetuju dengan pandangan Dr Sham bahawasanya kebanyakan rakyat memandang pemansuhan Perkara 153 kononnya akan berlaku kesamarataan tetapi mereka lupa bahawa ianya tidak akan membawa keadilan kerana bangsa Melayu belum lagi setanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Kesamarataan tetapi menafikan keadilan merupakan satu perkara asas yang perlu di beritahu kepada sesiapa sahaja yang mempertikaikan Perkara 153.

Dr Sham juga berkata :-


Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa.

Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?


Kepada soalan 'Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?'

Dr Sham menerangkan :-

Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri.

Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan.

Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Selain daripada 'Kesamarataan tapi menafikan keadilan', pengkritik-pengkritik Perkara 153 juga lupa bahawa apabila mereka mencemuh, memperlekeh dan mengutuk Perkara 153, mereka sebenarnya telah mempertikaikan sistem beraja di dalam negara ini.

Dan oleh kerana itu, mereka itu juga telah menafikan 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara' yang termaktub di dalam rukunegara Malaysia.

Dr Sham berkata :-

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi?

Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik.

Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah doktrin sah yang perlu dihormati dan didokong sepenuhnya oleh setiap warganegara Malaysia, tidak kira bangsa dan agama seperti juga kita menghormati doktrin-doktrin asas negara ketika negara kita hendak merdeka seperti kelayakan warganegara dan sebagainya.

Berikut adalah petikan Perkara 153 Perlembagaan untuk peringatan kita bersama:-

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(Mingguan Malaysia)

kzso - masih ramai yang buta sejarah atau yang buat-buat lupa pada sejarah?

No comments: