NUFFNANG

Saturday, 10 September 2016

Jika benar Dr Mahathir melakukan onar............

Jika benar Dr Mahathir melakukan onar............

Bahagian 2

Dari sekarang elok kita membuat keputusan dalam pemikiran kita yang isu 1MDB dan tindakan rasuah yang tidak terperi besarnya itu dilakukan oleh pimpinan kita yang bertanggungjawab keatas pengwujudan 1MDB itu. 1MDB itu seolah-olah sememangnya dari ‘day one’ telah wujud semata-mata untuk menyelongkar kekayaan negara kita untuk kepentingan kewangan dan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang mewujudkannya.

Tetapi sebesar mana sekali pun isu 1MDB ini kita perlu memahami yang negara kita telah tidak terurus dengan baik sejak  tiga dekad dahulu. 1MDB hanyalah kemuncak kepada onar dan kesalahan pimpinan sejak tiga dekad itu dalam memimpin negara dan sikap minum sambil menyelam untuk kekenyangan tompolok masing-masing. Ada pemimpin yang menggunakan rasuah untuk mengekalkan kepimpinan tetapi jika kita selidik dengan baik, ada pemimpin yang boleh dirasuah untuk melayakkan jawatan bagi kepentingan perasuah yang mengambil alih kepimpinan itu.

Sejak tiga dekad dahulu tidak ada lagi semangat untuk menjayakan misi ‘nation building’ dan disebaliknya istilah ‘nation building’ itu ditakrifkan pembangunan fisikal dengan bangunan tertinggi di dunia, jambatan yang panjang-panjang dan tiang bendera yang tertinggi serta gong yang paling besar didunia yang pernah wujud diperkarangan angkasapuri suatu ketika dahulu.

Tidak mereka dan rakyat yang menyokong mereka itu sedar bahawa pembangunan fisikal itu merupakan sebahagian kecil komponan dalam konsep ‘nation building’ itu. Oleh kerana itu kita sudah hampir hilang identiti sebagai bangsa-bangsa timur seperti bangsa Melayu. Mereka lebih mengutamakan pembangunan material sehinggakan bangsa Melayu sudah tidak dikenali lagi. Mereka mengambil sikap identiti bangsa itu tidak penting kerana yang lebih penting ialah pembangunan material yang besar kepada setiap orang khususnya bangsa Melayu itu.

Mereka tidak menyedari bangsa Jepun bertambah maju tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri bangsa Jepunnya. Budaya mereka tetap kekal walaupun sebesar mana sekali pun perubahan zaman dan waktunya yang melanda setiap manusia dari dulu hingga sekarang. Tetapi sebaliknya ciri-ciri Melayu kita sudah hilang hampir kesemuanya kerana mereka menganggapkan untuk maju kita perlu menghilangkan budaya dan ciri kemelayuan itu. Tetapi yang dicita-citakan untuk maju dalam segala bidang itu tidak juga tercapai dan sekarang bangsa Melayu masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa lain di negara ini. Akhirnya yang dikendung berciciran dan yang dicita-citakan tidak juga tercapai.

Yang jelas berkembang ialah budaya rasuah yang tidak terkawal kerana budaya baru untuk mengumpulkan kekayaan sudah menjadi budaya kita sekarang ini. Oleh kerana tidak ada kemampuan untuk menjadi kaya maka mereka menggunakan kuasa dan pengaruh politik yang mereka mahir untuk mengaut kekayaan itu tanpa memiliki moral dan nilai kemanusiaan yang baik walau kecil mana sekali pun. Memegang kuasa politik melalui parti politik tunggangan mereka sudah menjadi perkara yang sudah diterima dan dibudayakan oleh bangsa Melayu khususnya mereka yang mempunyai otot kuasa dan pengaruh besar dalam kerajaan. Kedudukan dalam kerajaan dan parti yang memerintah merupakan modal perniagaan mereka dan budaya rasuah itu adalah budaya yang sangat mudah bagi mereka mengaut dan membina kekayaan dan kuasa yang tidak terkawal itu.

Najib tidak mahu berundur sedangkan rata-rata rakyat mahukan beliau meninggalkan jawatan beliau di Putrajaya itu dan disebaliknya beliau melaungkan yang beliau disokong oleh partinya dengan kuat dan tidak ada sebab beliau untuk meletakkan jawatan. Beliau berkata yang beliau dipilih oleh rakyat tetapi itu tidak benar. Sesungguhnya beliau dipilih oleh parti-parti dalam komponen BN yang rata-rata memiliki budaya rasuah yang besar. Mereka lebih selesa untuk memilih seorang Perdana Menteri yang mudah dirunding tentang hal rasuah dan penyalah gunaan kuasa itu.

Belum lagi ada sejarah yang seorang Perdana Menteri dipilih secara ‘direct’ oleh pengundi-pengundi dalam persekutuan ini.  Itu sebabnya amat mudah bagi seorang Presiden Umno untuk mengekalkan kuasa kerana yang perlu dilakukannya ialah dengan menekankan pengaruh dan kuasa kewangan yang diperolehi melalui rasuah itu untuk memegang dan mengekal jawatan Presiden UMNO itu. Bangsa-bangsa lain seperti bangsa Cina dan India serta dayak dan bidayuh tidak pernah mempunyai peluang untuk memilih seorang Perdana Menteri di negara ini. Hanya segelintiran Melayu Umno yang boleh dibeli dan disogok sahaja yang berkuasa untuk menentukan siapa Perdana Menteri itu.

Itu sebabnya UMNO itu merupakan parti yang penting untuk dibersihkan kerana Presiden parti itu secara otomatik menjadi Perdana Menteri jika BN diberikan mandat dalam pilihanraya umum negara ini. Sekarang ini Umno telah gagal untuk mengenengah dan menonjolkan pemimpin yang dihormati dan boleh diyakini rakyat ramai yang sentiasa memerhati dan meneliti tingkah dan laku kepimpinannya. Sekarang Umno itu tidak lagi menjadi pembela rakyat malahan parti itu merupakan parti yang memusuhi rakyat kerana pimpinan parti itu sentiasa melakukan onar terhadap rakyat termasuk terhadap ahli-ahli partinya yang sentiasa memberikan sokongan kerana kenaifan mereka untuk memahami keadaan negara yang sebenarnya.

Umno tidak boleh lagi menjadi tunjang pemerintahan selagi pimpinan hari ini tidak dialih dan dianjak. Hanya dua pilihan sahaja yang ada kepada rakyat khususnya orang Melayu. Pertamanya menurunkan pimpinan hari ini secepat  mungkin dengan menggunakan apa sahaja ‘instrument’ yang boleh digunakan atau pimpinan itu sendiri berundur. Satu lagi pilihan ialah dengan menolak Umno terus dan jangan dibiarkan menjadi tunjang pemerintahan negara lagi.

Ramai pimpinan UMNO yang menyokong Najib secara membuta tuli berkata yang Najib akan hanya boleh diundurkan jika rakyat melakukannya dalam pilihanraya. Tetapi dengan cara ini bermakna mereka sendiri sudah tidak mahukan UMNO lagi kerana UMNO akan ditolak untuk menjatuhkan Najib dari terus memimpin negara. Jika mereka penyokong tegar UMNO sekarang ini, ‘argument’ seperti itu adalah ‘argument’ yang amat bodoh kerana mereka sendiri akan hanyut bersama Najib dan partinya nanti.

(bersambung)

No comments: