NUFFNANG

Thursday 1 October 2015

Pemenjaraan Dr Khir dan Implikasi Terhadap Skandal 1MDB

Pemenjaraan Dr Khir dan Implikasi Terhadap Skandal 1MDB

A Kadir Jasin


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

BEKAS Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Dr Mohamad  Khir Toyo, berkata beliau tidak melakukan kesalahan rasuah.  Betullah tu.

PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Dalam sistem penghakiman kita, adalah hak mutlak yang tertuduh untuk menafikan tuduhan ke atasnya dengan mengaku tidak bersalah (plead not guilty).

Malah orang yang bersalah dan bersedia mengaku salah pun diingatkan (cautioned) oleh hakim jangan mengaku salah. Tapi kalau hendak mengaku juga, dia akan diingatkan dan dibagi amaran padah pengakuan salahnya itu.

Dalam sistem kehakiman Inggeris yang menjadi asas kehakiman kita, penghakiman hanya boleh dibuat oleh mahkamah. Hanya mahkamah berhak menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Malah keadilan (justice) memihak kepada tertuduh (the accused). Mula-mula sekali, tertuduh tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty). Jadi Dr Khir “tidak bersalah” sehinggalah “dibuktikan bersalah”.

Beban mutakhir adalah di bahu pihak pendakwa. Pendakwa wajib membuktikan “tanpa sebarang keraguan” (beyond reasonable doubt) akan kesalahan tertuduh. Maksudnya tanpa syak wasangka.

Pihak pembela pula hanya perlu mewujudkankeraguan yang berpatutan (reasonable doubt) bagi membebaskan anak guaman mereka daripada sabit kesalahan.

Dr Khir dan pasukan pembelaannya gagal cetuskan "reasonable doubt"
Jadi, walaupun Dr Khir “bersumpah” beliau tidak bersalah, pihak pendakwa berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa beliau telah melakukan jenayah yang dituduh manakala peguam beliau gagal menimbulkan keraguan yang berpatutan.

Sekarang sahlah kesalahan beliau. Penafian beliau tidak bermakna lagi di segi undang-undang. Maka dengan itu, Dr Khir dipenjarakan selama 12 bulan dan harta yang terlibat dirampas.

Dengan itu juga, jadilah beliau Menteri Besar Selangor yang kedua dipenjarakan kerana rasuah dan menjadi antara segelintir pemimpin kanan kerajaan yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Natijahnya:

1. Sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Dr Khir telah dibuktikan terlibat dengan rasuah.

2. Pemimpin politik masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang Negara.

3. 0rang baik dan berprofil rendah menjadi alpa, bongkak dan hilang akal apabila mendapat kuasa. Dr Khir boleh dikatakan tidak dikenali sebelum dilantik entah dari mana (out of the blue) menjadi Menteri Besar pada tahun 2000.

4. Pemenjaraan Dr Khir memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata iaitu tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law).

5. Kesabitan kes Dr Khir memberi makna yang istimewa dan tersendiri dalam kaitan dengan penyiasatan dalam negara dan antarabangsa membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone ) Mohd Najib Abdul Razak.

6. Ada beberapa persamaan di antara kes rasuah Dr Khir dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib, khususnya alasan politik dan dakwaan rakyat jelata tidak rugi apa-apa.

7. Tidak seperti Dr Khir yang menafikan keterlibatannya, Mohd Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu sebaliknya para penyokong beliau mendakwa wang itu adalah “derma” daripada seorang dermawan misteri Arab.

8. Para peguam Mohd Najib juga masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan hal itu walaupun telah mengeluarkan ancaman itu hampir tiga bulan lalu (8 Julai).

9. Pemenjaraan Dr Khir pastinya menaikkan tahap kebimbangan mereka yang terbabit atau dikaitkan dengan skandal 1MDB dan tabung peribadi Mohd Najib.

Anekdot 1: Jumpa Mohd Najib buat kali pertama pada tahun 1977 untuk temu bual bagi pihak akhbar Business Times sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan. Berbual mengenai beliau berjalan kerluar daripada bayang raksasa (giant shadow) bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bayang raksasa adalah padanan tajuk filem Kirk Douglas (bapa Micheal Douglas) “Cast A Giant Shadow” (1966).

Anekdot 2: Jumpa Dr Khir di Pejabat SUK Selangor, Shah Alam ketika beliau di puncak kuasa. Beliau dan kakitangannya berasa saya terlalu kritikal terhadap beliau. Waktu itu sudah timbul cakap-cakap yang tidak menyenangkan mengenai tindak-tanduk beliau. Saya mengingatkan Dr Khir agar berhati-hati sambil merujuk kepada “sumpahan” (curse) jawatan MB Selangor.

Akhirulkalam, bukan mudah menjadi saksi kepada sejarah dalam suasana di mana sejarah diabai dan dinafikan!

Wallahuaklam.

No comments: