NUFFNANG

Monday 12 October 2015

[berita terkini!] KENYATAAN MEDIA BERSAMA

[berita terkini!] KENYATAAN MEDIA BERSAMA


Penahanan peguam Matthias Chang dan sebelum ini anak guamnya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012, adalah satu penyalahgunaan kuasa serta tindakan terdesak untuk mendiamkan pengkritik. 

Penggunaan SOSMA untuk menahan kedua-dua individu ini juga adalah bertentangan dengan semangat dan tujuan Akta ini diluluskan oleh Parlimen.

Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.

Pada akal yang sihat, tindakan ini juga memperlihatkan apabila ada pihak yang didakwa melakukan kesalahan dan apabila laporan dibuat terhadapnya, apa jua peruntukan undang-undang yang ada akan digunakan untuk menutup kesalahan pihak yang didakwa.

Tidakkah amat memalukan apabila seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak berusaha membuktikan kebenaran ataupun “his innocence” tetapi sebaliknya orang yang melaporkan kesalahan ditahan.

Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan, maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan.

SOSMA yang diperbuat menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah khusus untuk menghalang sebarang tindakan  atau ancaman oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

1)​untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;

(2)​untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;

(3) ​yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

atau

(4)​untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Matthias Chang adalah peguam yang mengiringi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia. Tindakan ini tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh SOSMA.

Malahan laporan-laporan yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Justeru, kami menegaskan bahawa penahanan Matthias Chang dan Khairuddin Abu Hassan di bawah SOSMA adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa yang jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen.

Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Apatah lagi, YAB Perdana Menteri sendiri ketika membentangkan Rang Undang-Undang SOSMA 2012 di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 memberikan jaminan bahawa setiap individu “bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan”. Malahan, beliau berjanji “tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara”.

Berdasarkan janji ini, maka kedua-kedua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan serta mengambil apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamd
YABhg Tun Ling Liong Sik 
YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj Mohd Yassin
YB Datuk Seri Shafie Apdal
YBM Tengku Razaleigh Hamzah
YBhg Tan Sri Ong Tee Keat 
YBhg Tan Sri Sanusi Junid

No comments: