Itu persoalan yang bermain dalam fikiran pemerhati politik negara apabila konflik dalaman PKR semakin merun­cing ketika ini.
Walaupun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mempunyai sokongan yang cukup untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila masanya tiba, situasi menunjukkan sebaliknya.
Sejak pagi lagi suapan berita media sosial mahupun portal berita dipenuhi berita ‘teguran’ yang diberikan 28 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR kepada Presiden parti mereka.
Seperti dijangka, sebaik sahaja Anwar membuka mulut menyatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali patut meletakkan jawatan sekiranya disahkan terlibat dalam skandal video seks songsang yang mengganggu fikiran rakyat Malaysia sejak Syawal lalu, pasti akan wujud reaksi balas negatif dalam kala­ngan pemimpin dan ahli PKR.
Mana tidaknya, PKR itu sendiri ditubuhkan untuk mem­bela seorang ahli politik yang  dituduh melakukan perbuatan jijik. Sudah 20 tahun pemimpin dan ahlinya diajar untuk menolak politik jijik.
Tiba-tiba sahaja semalam, Presiden parti yang sama seolah-olah tunduk kepada permainan politik jijik yang sudah ‘tabu’ dalam kalangan ahli PKR.
Anwar mempertahankan dirinya dengan baik apabila menegur Azmin yang tidak membaca kenyataannya secara penuh, tetapi apabila Anwar dengan yakin berkata dia masih ada sokongan yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri, pasti ada yang mengerut dahi.
Menurut sumber yang rapat dengan barisan pemimpin PKR, hanya pendukung kuat Anwar yang masih memberikan soko­ngan padu kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.
“Boleh dikatakan, semua mereka yang sebelum ini berada dalam kem Anwar sudah mula ada rasa marah dan kecewa kepada beliau kecuali ahli keluarga dan pengikutnya sejak awal penubuhan PKR.
“Mereka marah kerana kenya­taan Anwar terhadap Mohamed Azmin. Selama ini mereka mempertahankan Anwar bukan sahaja sewaktu dituduh, malah selepas dijatuhkan hukuman mereka tetap menganggap Anwar tidak bersalah dan menjadi mangsa konspirasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber tersebut mendakwa, pendukung Anwar yang terdiri daripada ahli keluarga serta pengikut setianya jika dijumlahkan hanya kira-kira 10 Ahli Parlimen.
Namun, pengesahan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa kebarangkalian ketulenan video yang dikaitkan dengan Azmin adalah tinggi, pasti akan me­nimbulkan senario baharu berhubung tahap sokongan kepada Timbalan Presiden PKR itu.
Tidak mustahil Azmin akan lebih banyak kehilangan soko­ngan daripada Ahli Parlimen.
Ini bermakna terdapat kira-kira 20 Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini berada dalam kem Anwar sudah mula ‘berpaling tadah’.
“Mereka melihat situasi ini secara negatif. Mereka fikir, jika Anwar boleh buat begini kepada Mohamed Azmin, adakah dia akan bela mereka apabila menjadi Perdana Menteri nanti,” tanya sumber tersebut. - UTUSAN ONLINE