NUFFNANG

Monday 8 July 2019

Pelawaan parti politik Melayu sertai BERSATU bukan perkauman - Tun M


Isnin, 8 Julai 2019 | 9:34pm
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan turut bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi BERSATU Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Yayasan Kepimpinan Perdana. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pelawaan parti politik Melayu sertai BERSATU bukan perkauman - Tun M

PUTRAJAYA: Pelawaan semua parti politik Melayu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan berasaskan sentimen perkauman, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata pelawaan beliau sebelum ini adalah kerana tidak mahu melihat orang Melayu berpecah dan ketinggalan kerana tidak bersatu, akibat penubuhan banyak parti untuk kaum itu.
“Saya sudah terangkan bahawa orang Melayu ini tak pandai politik, seronok nak jadi presiden (parti), bila nak jadi presiden (maka) buka parti baharu, lama-kelamaan semakin banyak parti, orang Melayu jadi tidak ada kuasa kerana semua parti kecil.
“Mereka boleh masuk parti mana pun yang sudah ada (tidak semestinya BERSATU), cukuplah ada empat parti (mewakili Melayu), ini bukan ‘racist sentiment’ (sentimen perkauman).
“Kita nak selamatkan semua orang, kita nampak Melayu ketinggalan bukan kerana parti, bukan kerana saya, tetapi kerana (orang Melayu) tak mahu bersatu. Jadi parti kita nama BERSATU, lebih baik kita bersatu,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, lewat petang tadi.
Jumaat lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU dilaporkan berkata penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada beberapa parti.
Difahamkan, empat parti utama mewakili Melayu yang dimaksudkan Dr Mahathir ialah BERSATU, Parti Amanah Negara (AMANAH), UMNO dan PAS.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pemimpin dan ahli parti pembangkang mewakili orang Melayu boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam PH dan bukan menjadi rakan baharu atau parti komponen gabungan itu.
“PH tak boleh terima parti lain lagi, kalau nak sertai atas parti sedia ada, OK,” katanya sambil menafikan pelawaan beliau adalah disebabkan bimbang kononnya sokongan orang Melayu terhadap PH merosot.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU turut menafikan beliau ‘dibelasah’ oleh kepemimpinan rakan parti komponen dalam PH berkaitan pelawaan parti politik Melayu menyertai BERSATU.
“Saya sakit belakang kena belasah (dengan pemimpin parti komponen PH),” katanya sinis dipercayai merujuk kepada laporan media tertentu kononnya mesyuarat Majlis Presiden akan menjadi medan untuk membelasah beliau susulan kenyataan berhubung penyatuan Melayu.
source : beritaharian

No comments: