Menteri Besar, Amirudin Shaari ketika mengumumkan keputusan kerajaan negeri itu menegaskan ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama jelas beliau, isu papan tanda jalan dalam bahasa Melayu juga sudah dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Kerajaan negeri menetapkan bahawa semua papan tanda jalan negeri Selangor akan menggunakan bahasa Melayu sahaja.
“Ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967 dan perihal ini turut mendapat perhatian Tuanku Sultan yang telah memberi titah dan nasihat agar kerajaan negeri memartabatkan bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan apa sudah jadi dengan titah Sultan Selangor apabila papan tanda jalan di Tanjong Sepat masih menggunakan dwi bahasa sedangkan Sultan Sharafuddin menitahkan hanya bahasa Melayu.
Titah berkenaan dibuat baginda pada November tahun lalu, susulan isu serupa di Shah Alam. -

source : UTUSAN ONLINE