NUFFNANG

Wednesday 12 April 2017

Pelantikan Hisham: Tempua Bersarang Rendah

Pelantikan Hisham: Tempua Bersarang Rendah




KALAU tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah.

Kalau tidak ada sesuatu yang “mendesak” masakan (Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein dilantik Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Pelantikan yang berkuat kuasa hari ini diumumkan oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, melalui satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, Mohd Najib yang berupa sepupu Hishammuddin berkata ahli Dewan Rakyat Sembrong itu kekal sebagai Menteri Pertahanan.

"Pelantikan ini akan membolehkan YB Datuk Seri Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan," kata Mohd Najib. (Baca di sini)

Tugas-tugas Khas kukuhkan kedudukan Hishammuddin
Tanda Tanya

Apakah tugas-tugas lain yang akan Hishammuddin jalankan yang belum dilaksanakan oleh menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Mengapakah Mohd Najib memerlukan sepupunya menjalankan “tugas-tugas khas” di JPM sedangkan beliau sudah pun mempunyai timbalan iaitu (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi?

Sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid tentulah lebih daripada layak dan mampu untuk membantu PM dalam apa-apa jua tugas – khas atau umum.

Malah kalau perlu, TPM boleh dilantik memangku jawatan PM. Pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, dua daripada timbalan beliau – (Tun) Musa Hitam dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim – pernah dilantik menjadi pemangku PM.

Jadi tidak ada masalah Ahmad Zahid diberikan tugas tambahan bagi meringankan beban PM melainkan Mohd Najib mempunyai pertimbangan-pertimbangan lain. 

Misalnya beliau tidak lagi yakin sepenuhnya kepada Ahmad Zahid dan mahu Hishammuddin mempunyai bidang kuasa yang lebih luas bagi mengimbangi pengaruh Ahli Dewan Rakyat Bagan Datok itu.

Atau ada sesuatu yang lebih sensitif dan rumit seperti kedudukan Mohd Najib yang semakin lemah dalam Umno dan Barisan Nasional serta cakap-cakap berkenaan kemungkinan pilihan raya umum diadakan secara mengejut.

Pelantikan tiba-tiba Hishammuddin turut membawa kembali ingatan wartawan generasi saya kepada peristiwa pemergian sulit Almarhum Tun Abdul Razak Hussein ke London untuk rawatan perubatan pada bulan Disember 1975. Almarhum meninggal dunia di ibu negara British itu pada 14 Januari 1976.

Boleh jadi Mohd Najib memerlukan Hishammuddin untuk menjaga hal ehwal negara dan beliau (Mohd Najib) turun padang berkempen untuk mengekalkan kuasa dan beliau tidak mahu membebankan lagi Ahmad Zahid.

Tetapi pemberian tugas tambahan di JPM kepada Hishammuddin boleh juga dilihat sebagai isyarat bahawa Mohd Najib mempunyai “reservation” (syak wasangka) terhadap kesetiaan dan komitmen Ahmah Zahid.

Kalau kita dalami kenyataan dan pendirian Ahmad Zahid sejak beberapa waktu kebelakangan ini, kita akan dapati yang beliau cuba memberi gambaran bahawa manakala beliau setia kepada Mohd Najib, beliau tidaklah membuta-tuli mengikut telunjuk bosnya.

Misalnya beliau mengambil pendirian yang agak terbuka dalam isu bahas Dr Mahathir-Mohamed Nazri Abdul Aziz yang diharamkan polis. Beliau memberi gambaran seolah-olah beliau tidak keberatan membenarkan bahas itu berlangsung.

Kita tidak perlu berteka-teki berkenaan pendirian Mohd Najib mengenai bahas itu. Walaupun beliau berdiam diri, beliau tentunya tidak mahu bahas itu berlangsung.

Kita tentu masih ingat bagaimana beliau lari daripada dialog Nothing2Hide tahun 2015 apabila mengetahui Dr Mahathir berada dalam dewan bahas.

Biar sehebat mana pun beliau memperkecilkan Dr Mahathir, Mohd Najib tahu bahawa Dr Mahathir boleh dengan mudah mengalahkan Mohamed Nazri dalam perbahasan bebas.

Langkah Mohd Najib membawa Hishamuddin JPM tidak syak lagi akan mengukuhkan kedudukan sepupunya itu dalam hierarki Umno dan kerajaan.

Serentak itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai bakal pengganti (heir apparent) menjadi kabur sedikit walaupun beliau nyata lebih berpengaruh daripada Hishammuddin dalam parti.

Perkembangan terbaru ini juga pastinya akan menghangat dan merancakkan perang saraf di antara kem Ahmad Zahid dan kem Hishamuddin yang sudah berlangsung sekian lama.


Wallahuaklam.

No comments: