NUFFNANG

Wednesday, 12 April 2017

[hmmmm...] ... JIKA PH MENANG, PERDANA MENTERI TETAP MELAYU, KENAPA?

[hmmmm...] ... JIKA PH MENANG, PERDANA MENTERI TETAP MELAYU, KENAPA?


"Cumanya kali ini Perdana Menteri Melayu bukan dari UMNO yang menjadi komponen utama BN, sebaliknya kemungkinan daripada PPBM yang menjadi parti dominan dalam PH yang turut diwakili DAP, PKR dan AMANAH."

Perdana Menteri Melayu?

Tidak kira siapalah, yang pasti keputusan pilihan raya umum kelak akan menentukannya.

Sudah berbuih mulut Lim Kit Siang menjelaskan akan tiada Perdana Menteri bukan Melayu. Beliau tidak berminat menjawat jawatan itu.

Kenyataannya itu bersandarkan kesedarannya bahawa bukan Melayu berdepan keadaan sukar menjadi Perdana Menteri kerana sebab-sebab tertentu atau beliau tahu  kekuatan sebenar partinya.

Kit Siang yang kebelakangan ini berhadapan dengan serangan bertubi-tubi UMNO, sudah berulang kali memberitahu,  PRU14 adalah pertempuran antara PH melawan BN. Jika UMNO hilang kuasa kerajaan persekutuan, perdana menteri bukan kalangan orang Cina, tetapi Melayu.

Walaupun membuat penjelasan dan menafikan ‘serangan’, Kit Siang terus dikatakan akan menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) jika memenangani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan daripada pemimpin BN, khususnya UMNO tidak lain dan tidak bukan kerana kebimbangan mereka yang amat sangat akan orang Melayu Islam menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Gambaran yang diberikan begitu menakutkan seolah-olah bukan Melayu akan menindas orang Melayu dan bukan Islam akan menghalang agama Islam daripada kedudukannya seperti sekarang.

Isunya kenapa menjadi begini?

Untuk kali pertamanya kini BN, khususnya UMNO menjadi parti yang menggembleng rakyat supaya mewujudkan syak wasangka yang tinggi bahawa bukan Melayu dan bukan  Islam akan menguasai politik Malaysia.


Cara menakut-nakut dan mengugut orang Melayu agar mengundi hanya BN/UMNO adalah suatu perbuatan tidak bertanggungjawab dalam proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

Malah, Kit Siang dijadikan sebagai ‘sasaran panah’ yang begitu kejam, walaupun rakyat Malaysia terutamanya Melayu mula mempersoalkan taktik jahat BN/UMNO ini.

Memang sukar untuk mengubah persepsi orang Melayu yang rata-rata melihat Kit Siang sebagai pejuang bukan Melayu yang ‘ultra’, namun jika sebelum ini Melayu dalam PAS dan PKR boleh menerimanya sebagai ‘rakan’,  kenapa kini perlu membenci dan ‘meludah beliau’?

Dan kenapa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mulai menerima Kit Siang dan DAP sebagai sekutu, pemimpin dan parti ini juga menjadi mangas serangan BN/UMNO?

Malah PAS yang kini putus hubungan dengan DAP, juga tidak selesa dengan hubungan semakin akrab antara Dr Mahathir dan Kit Sinag.

Sebabnya tidak lain dan tidak bukan kerana ketakutan dan kebimbangan amat sangat oleh pemimpin BN/UMNO bahawa ‘alignmen sokongan orang Melayu kini berubah kepada PH'.

Demi mempertahankan kuasa pemerintahan, BN/UMNO akan  melakukan apa sahaja. 

Sementara PAS yang dilihat ‘berusaha untuk bersendirian’ seolah-olah mahu mensucikan ‘dosa lamanya kerana berpelukan dengan DAP dan Kit Siang’ kini berusaha memperlihatkan bahawa ia putih bersih daripada 'noda sebelumnya'.

Dengan kata lain, apa sahaja sebab dan alasan PAS,  ia berusaha menggambarkan DAP dan Kit Siang sebagai parti dan pemimpin yang sangat teruk dan hina!


Jika tidak terdesak untuk menunjukkan ia ‘parti Islam tulen dan suci’, selain demi membuang dan berpisah dengan  orang bukan Islam dalam DAP dan Kit Siang, mana mungkin Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  melemparkan kecaman paling keras pernah dibuat dengan  menganggap parti berkenaan sebagai "butir tahi" Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.

Kata-kata itu dilemparkan Hadi pada majlis  di Rusila malam kelmarin di mana Hadi berkata parti yang memerintah Singapura adalah PAP dan ia adalah "bapa DAP".

"Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi DAP ini anak butir taik PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia," katanya di majlis ceramah perdana sempena kejayaan pembentangan rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).

Kata-kata Hadi ini jelas menggambarkan bahawa PAS tidak akan ‘menjilat ludahnya’ dalam konteks hubungan dengan DAP.

Berbalik kepada BN/UMNO, serangan bertalu-talu terhadap Hadi membuktikan parti itu kini benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam seperti PAS pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Isunya ialah, apakah BN/UMNO hanya melihat suasana di Semenanjung dan gagal menilai sensitiviti di Sarawak dan Sabah?

Mengecam dan menyerang Kit Siang juga bermakna menyerang Cina dan bukan Melayu, selain yang bukan Islam. Apakah masyarakat Sarawak dan Sabah sama seperti di Semenanjung?

BN/UMNO boleh meletakkan harapan besar untuk menang melalui politik perkauman dan agama di Semenanjung tetapi bagaimana pula kedudukannya  di Sabah dan Sarawak? Bermain watak 'talam dua muka'?

Kit Siang sendiri juga sudah menjelaskan banyak kali bahawa beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri dengan menyedari keupayaan sokongan orang Cina dan bukan Melayu kepada DAP.


Apakah DAP akan menjadi parti dominan dalam PH? Berapa kerusi Dewan Rakyat yang akan DAP menang pada PRU-14 nanti?

Pada 9 April lalu, Kit Siang menegaskan beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, sebaliknya DAP ditubuhkan lebih 5 dekad lalu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil dan progresif bagi semua.

Malah katanya, jawatan perdana menteri tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana warganegara boleh menyandang kerusi itu.

Malah beliau memberitahu, DAP bukan sebuah parti Cina tetapi parti di Malaysia yang terdiri mereka yang mencintai Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Semalam pula, Kit Siang dengan tegas mengatakan bahawa Perdana Menteri dari PH adalah Melayu dan cakap-cakap mengatakan orang Cina akan menjadi Perdana Meneri hanyalah perbuatan yang sengaja digembar-gemburkan.

Inilah suatu keadaan yang ‘menyedih dan mengejutkan’ apabila parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang memerintah ketika ini terus mengamalkan POLITIK PEMBOHONGAN, KEBENCIAN SERTA MENGUGUT bagi mewujudkan kebimbangan dan ketakutan di kalangan rakyat.

Di sebalik semua ini, yang nyata, PPBM kini akan hanya mengintai kerusi UMNO untuk menyertai PRU14.

Berasaskan pilihan raya lalu, UMNO yang menjadi komponen utama kini memilik 86 kerusi (asalnya 88 kerusi) selepas kehilangan Parlimen Pagoh dan Semporna yang ‘berpindah sarang’.

Sementara di Sabah UMNO yang dikatakan kuat apabila menang 11 daripada 22 kerusi Parlimen dipertandingkan BN (kini tinggal 10) dan  ternyata  kedudukan kini nampaknya jelas terumbang ambing dengan kehadiran Parti Warisan Sabah di Sabah.


Kemenangan 2013 itu  membolehkan Sabah  kekal menjadi negeri simpanan tetap UMNO berdasarkan analisis yang mendapati  BN  mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus,

Persoalannya, apakah UMNO akan mengekalkan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan iaitu 121 kerusi termasuk di Sabah selain  mampukah ia mencapai kemenangan seperti PRU13? (Pada PRU12 UMNO bertanding 117 kerusi dan menang 79 kerusi).

Dengan kedudukan di mana UMNO kini diasak kuat oleh PPBM, kemungkinan PPBM mendapat banyak kerusi untuk bertanding di Parlimen adalah cerah.

Ini bermakna, PPBM sudah boleh mengira-gira setidak-tidaknya 80 kerusi UMNO di Semenanjung, walaupun tidak membabitkan dirinya untuk bertanding di Sabah ( UMNO tidak bertanding di Sarawak).

Apa signifikannya angka ini?

Sekiranya PPBM memenangi lebih 60 kerusi Parlimen, bukankah itu bermakna ia kini menjadi seperti UMNO dalam BN, iaitu parti dominan dalam PH?

Jika kedudukan ini berlaku, tidakkah apa yang disebut oleh Kit Siang itu benar belaka dan wajarlah beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk orang Cina menjadi Perdana Menteri.

Kerana perkiraan inilah mungkin BN/UMNO begitu tersangat bimbang dengan PPBM dan berusaha untuk memujuk PAS bergabung dengannya.

Persoalannya PAS yang mengatakan akan bertanding 80 kerusi bolehkah mereka mencapai keputusan lebih baik berbanding pencapaiannya iaitu kemenangan 21 kerusi pada PRU13?

Apakah kerjasamanya dengan UMNO seperti dalam isu Rohingya serta pembentangan RUU355 oleh Presiden PAS akan membantu partinya menang besar? Apakah orang bukan Melayu dan Islam akan menyokong PAS kali ini?

Di pihak UMNO pula, apakah ia mampu menghalang PPBM dengan isu menakut-nakutkan orang Melayu dengan isu perkauman dan agama akan berjaya an terus mendapat sokongan besar?

Sedangkan, hakikatnya Kit Siang tidak minat menjadi Perdana Menteri dan jika kemenangan cemerlang dicapai di Dewan Rakyat dan menjadi parti utama dalam PH, bukankah tradisi pemimpin Melayu menjadi Perdana Menteri akan diteruskan?

Cumanya kali ini Perdana Menteri Melayu bukan dari UMNO yang menjadi komponen utama BN, sebaliknya kemungkinan daripada PPBM yang menjadi parti dominan dalam PH yang turut diwakili DAP, PKR dan AMANAH.

Atau mungkin juga dari PKR dan amanah jika ia turut menang besar.

Sementara PAS yang kononnya bersendirian menyerahkan dirinya kepada UMNO sedangkan UMNO sendiri sudah berada dalam keadaan amat sukar menahan badai PPBM yang semakin menggunung!!!!

No comments: