[satu soalan yang menarik!...] ...Kenapa Hanya Chong Wei
Kenapa hanya Chong Wei? (SH 29.8.16)
Kenapa hanya berita Chong Wei yang diperbesarkan sedangkan orang lain pun dapat pingat juga dalam Sukan Olimpik? Bagaimana perasaan atlet lain seperti Pandelela Rinong, Azizulhasni dan lain-lain. Layak ke Olimpik itu adalah suatu kejayaan besar.
Apakah kita sudah lupa kepada anak remaja, Khairul Idham Pawi, juara perlumbaan Moto3 Grand Prix Jerman. Sebelum ini di Argentina. Beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kejohanan tersebut.
Sejujurnya, saya akan rasa lebih bangga jika Chong Wei beraksi di final dengan rubber game, tetapi dia kalah straight sets. Nasib yang sama menimpa pasangan beregu. Maknanya, kita masih jauh lagi untuk mendapatkan emas, ketika negara lain juga bersedia pada masa depan? Kita selalu beranggapan kita jauh lebih bagus, hakikat sebenar belum tentu lagi.
Banyakkan kerja daripada berpolitik. Saya tidak kisah jika pihak swasta memberikan imbuhan. Habuan yang dijanjikan selama ini sudah mencukupi. Jangan bandingkan dengan imbuhan Singapura. Mereka negara kaya. Ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan wang rakyat (negara).
Kita perlu berlaku adil kepada semua. Saya sangat kasihan kepada atlet lain seperti Zulfadli (badminton), yang dahulu bakatnya sangat menyerlah, sehingga mampu menggugat Chen Long. Kini, senyap sepi. Mana pergi semua atlet Melayu? Kita perlu berlaku adil.
Sukan pada hari ini sudah menjadi perniagaan, mencari populariti, lubuk duit, bukan lagi patriotisme. Patriotisme hanya di bibir bukan di hati.
Sukan bolasepak dan hoki misalnya, terlalu sukar menarik perhatian orang bukan Melayu seperti dahulu. Kenapa? Jangan bandingkan bola tampar dan bola keranjang yang sudah sinonim.
Hari ini, kita lebih mengejar acara individu kerana di situ lubuk duit. Manakala berpasukan seperti bola sepak memerlukan kekuatan jamaah.
Sebab itu, semua mahu fokus kepada acara individu daripada berjamaah kerana ganjaran lebih besar. Inilah sifat individualistik yang ada kaitan dengan ultra kiasu yang selalu saya perkatakan.
Orang Melayu masih dengan sifat suka berkenduri. Memang tepat jenaka Melayu sebelum ini. Jika seorang dia tidur, berdua, mengumpat, ramai main kenduri. Nampak lawak, tapi bagus.
Sempena Kemerdekaan ke 59, marilah kita melakukan muhasabah patriotisme. Pertama, keselamatan negara. Banyak rahsia negara bocor kepada musuh hanya kerana benci kepada pemimpin negara, sehingga memudahkan musuh untuk campurtangan. Teruja melihat PM Singapura rebah ketika berucap. Tidak ada satupun kamera yang fokus kepada kejadian tersebut kerana itu adalah aib. Lihat cara ultra kiasu menjaga pemimpin mereka.
Kedua, perkemaskan ATM. Berikan latihan sepenuhnya supaya perut mereka tidak buncit. Maklumlah tidak ada peperangan. Buat latihan peperangan tanpa henti di kawasan strategik seperti Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan bandar-bandar besar. Sedih kadangkala melihat pegawai kanan ATM lebih buncit daripada PDRM. Wal hal profesion PDRM lebih mencabar daripada ATM. Walaupun tiada perang, PDRM bekerja siang malam meskipun imbuhan ATM lebih baik daripada PDRM. Saya hanya tersenyum bila ada tentera pencen mahukan lebih gelaran dan pingat berbanding atlet. Yakinlah, malaikat tidak tanya gelaran, pangkat dan pingat, melainkan sumbangan kepada agama, negara dan bangsa.
Kedua, dalam sukan, utamakan sukan berpasukan. Berikan insentif seperti yang dilakukan oleh pasukan Johor. Tetapi jangan pulak terlalu kenegerian sehingga bergaduh, berdarah-darah. Untuk atlet individu, pelbagaikan warna. Ke mana hilangnya atlet Melayu?
Ketiga, cintakan alam. Hijaukan bumi ini. Ambil tindakan terhadap mereka yang rakus pembalakan haram, bauksit dan sebagainya. Kitar semula. Jangan biarkan alam marah kepada sehingga ditonggang-terbalikkan suatu masa nanti. Banyakkan program gotong-royong menghijaukan alam melibatkan semua kaum.
Keempat, perpaduan nasional. Perhebatkan program komuniti melibatkan semua kaum. Kenal antara satu sama lain. Berinteraksi menggunakan bahasa kebangsaan. Perkuatkan JKKK dan Rukun Tetangga. Tangkap PATI. Hapuskan gangsterisme. Banteras dadah.
Kelima, fahami kontrak sosial dan perlembagaan. Hari ini, semua mahu dilupakan. Semangat ultra kiasu sayangkan bangsa daripada negara sangat tinggi. Asyik-asyik mahu tambah kerusi dan pulangkan kerusi yang ‘dipinjamkan’. Saya ulas minggu depan.
Keenam, tangkap perasuah dan penerima rasuah hingga ke lubang cacing. Mereka inilah yang menjahanamkan negara. Ramai lagi dalam PBT, Pejabat Daerah, Kastam, Imigresen, Polis, ahli politik dan masih berleluasa. Isytiharkan harta mereka tanpa berkecuali. Setakat ini hanya penerima rasuah yang ditangkap. Pemberi rasuah macam mana?
Kita tidak akan ke mana-mana jika semua bidang mahu dipolitikkan. Negara Asean lain sudah mula meninggalkan kita. Kita masih perasan kita lebih bagus.
Biarkan pakar dengan kerja kesepakarannya. Jangan ganggu mereka. Orang politik berilah sokongan, tidak perlu campurtangan berlebihan. Ini tidak, orang politik, mahu ke depan sokmo.
Biarkan yang pakar berfikir siang malam untuk memajukan sukan, bukan berpolitik dalam sukan. Masalahnya bila orang politik mengetuai sukan, dia akan berfikir soal kepentingannya dalam politik. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 59. Majulah sukan untuk negara.
source : ridhuan tee
No comments:
Post a Comment