NUFFNANG

Monday, 22 August 2016

[ buat semua umat Melayu Islam ...nak tahu...?] Rahsia Kekuatan SJKC

[ buat semua umat Melayu Islam ...nak tahu...?] Rahsia Kekuatan SJKC

POSTED BY RIDHUAN TEE 
Rahsia kekuatan SJKC (Sinar Harian 22.8.16)

Walaupun selama ini saya dilihat sering ‘menyerang’ SJKC kerana kedegilan mereka melaksanakan agenda kerajaan terutama berkaitan dengan BM, itu bukan bermakna saya menafikan kekuatan SJKC dan bangsa Cina itu sendiri.

Pertama, Cina sudah sinonim dengan sifat rajin. Struggle for survival. Sifat ini diwarisi turun-temurun. Ada beberapa SJKC tinggalan sejarah, terutama di ladang, boleh dikatakan pelajar keseluruhan pelajar dan pelajar Cinanya sangat sedikit, tetapi masih survive.

Semangat berkorban atas nama bangsa sangat tinggi. Jika mereka bersungguh-sungguh dalam mempelajari BM, sudah tentu bilangan yang mendapat straight A akan mengatasi Sekolah Berasrama Penuh. BM adalah subjek killer kepada prestasi SJKC.

Itupun kerajaan amat bertolak ansur dengan memudahkan subjek BM, dengan menjadikan BM di SJKC lebih mudah berbanding dengan BM di SK. Jika subjek BM diseragamkan mengikut kurikulum SK, sudah tentu lebih banyak kelas peralihan terpaksa diwujudkan kerana ramai yang akan mendapat markah rendah atau gagal. Peliknya, kenapa Bangla, Myanmar dan Nepal boleh menguasai BM dengan cepat, rakyat kita begitu sukar?

Kedua, Cina berpendirian urusan pendidikan, terutama melibatkan kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), tidak boleh diharapkan kepada kerajaan semata. Mereka akan memberi sokongan moral, wang ringgit dan tenaga terhadap kemajuan pendidikan.

Ibu bapa Cina tidak teragak-agak untuk berbelanja untuk pendidikan anak mereka, walaupun dalam kalangan tidak berada. Meskipun SJKC dibantu sepenuhnya oleh kerajaan, SJKC masih mengenakan yuran tambahan yang lain seperti yuran sewa komputer dan peralatan ICT, kelas tambahan, kelas khas BM dn sebagainya. Jika di SK, sudah tentu kita melompat bila dikenakan yuran tambahan. Yuran PIBG yang setahun RM20 sudah melenting.

Ketiga, setiap tahun mereka akan mengadakan fund raising. Kutipannya mencecah jutaan ringgit. Bangunan tambahan, dewan dan kemudahan ICT kebanyakan ditampung melalui wang ini. Mereka tidak berputus asa menambah dana. Bertemu dengan menteri, wakil rakyat, Majlis Perbandaran dan lain-lain agensi swasta. Mereka berbaik dengan semua pihak, sama ada kerajaan pusat mahukan kerajaan negeri (pembangkang). Kiri kanan makan, masuuk. Jangan terkejut jika ada kelas berhawa dingin. Guru-guru SK disibukkan dengan acara-acara politik yang kadangkala membebankan.

Keempat, kualiti P&P subjek matematik. Cina telah mewarisi sistem P&P matematik yang pantas dengan ringkas. Sehingga kini, anak saya membuat pengiraan matematik (darab) dalam Bahasa Cina (BC) walaupun telah meningkat dewasa. Latihan matematik dalam BC lebih mudah diingat daripada BM.

Kelima, Kesatuan pengurusan. Sekolah Cina sering mengamalkan corak 3 serangkai yang menggabungkan Lembaga Pengelola Sekolah, Guru Besar dan guru serta PIBG. Gabungan ini amat mantap dikenali sebagai Dong Jiao Zong.

Keenam, SJKC sanggup berkorban dengan mengadakan kelas tambahan, terutama killer subject, BM dan BI. Sejujurnya, SJKC lebih banyak mengadakan kelas pada hari Sabtu, yang diisytiharkan sebagai cuti umum, berbanding SK.

Ketujuh, bertemu ibu bapa. Bagi kelas peperiksaan (UPSR), dalam setahun, paling kurang ada tiga kali perjumpaan dengan ibu bapa. Di SK dan SRA, sekali dah dikira mujur. Perjumpaan lain lebih kepada solat hajat, air yasin, jamuan puasa dan raya. Itupun tidak ramai ibu bapa yang datang.

Kelapan, soal keselamatan. Jarang sekali berlaku kemalangan jiwa berlaku di SJKC. Pengawal keselamatan mereka dilatih bertugas dengan baik, dan bertanggungjawab. Bukan seperti SK dan SRA, bila berlaku kemalangan jiwa, baharulah langkah keselamatan diambil.

Kekuatan lain, jika ada dalam kalangan anak mereka tidak mahu belajar, dengan segera mencari kemahiran tangan. Tidak mahu melihat anak membuang masa dan melepak. Mereka akan disuruh duduk dibengkel-bengkel sebelum menjadi taukeh bengkel. Manakala yang perempuan sanggup menjadi “shampoo girl” sebelum menjadi taukehso.

Banyak lagi faktor lain, cukuplah setakat ini untuk pengajaran kepada kita semua. Niat bukan mahu memperlekehkan SK atau SRA, tetapi kita mahu keluar daripada zon selesa. Sebenarnya SJKC sudah berusaha untuk memastikan pelajar mereka dapat menguasai BM dengan baik, tetapi masih gagal disebabkan sosialisasi di luar sekolah yang masih perkauman.

Anak Melayu macam mana? Usahkan yang tercicir, yang boleh dikira bijak pun terjebak dalam kegiatan tidak bermoral, penagihan dadah dan merempit. Cina berpandangan SK dan BM yang menjadi bahasa rasmi tidak menepati citarasa ekonomi, bukan soal kemelayuan atau keislaman. 

Sehingga kini terdapat lebih 60,000 pelajar Melayu berada di SJKC. KPM hendaklah membuat kajian menyeluruh akan pengaliran pelajar Melayu ke SJKC dan kemerosotan kemasukan pelajar Cina ke SK. Saya dan pasukan di UniSZA bersedia melaksanakan misi ini.

Bila lalu bila saya sentuh mengenai SMKA aliran mandarin, malang disalahfahamkan ultra kiasu. Melayu di SJKC tidak mampu  melahirkan pendakwah. Tetapi SMKA Cina boleh melakukan sedemikian. Sebab itu bertanya jika tidak tahu, jangan menganggap diri pandai walhal sebenarnya tidak.


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Profesor, INSPIRE/FUPL, UniSZA

source : ridhuantee

No comments: