KUALA LUMPUR 26 Julai - Pertemuan tidak dirancang itu berlaku ketika Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersiar-siar di pantai berhampiran Istana Sri Mersing pada Rabu 20 Julai lalu sebelum terserempak dengan sekumpulan pelajar.
Menurut laman Facebook rasmi Sultan Johor, apabila melihat Sultan Ibrahim memandu sebuah Land Rover berwarna jingga dengan nombor pendaftaran ZZZ 1, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkar Pulai, Mersing yang sedang mengikuti kursus di Kem Pusat Kecemerlangan Pembangunan Islam Yayasan Pelajaran Johor di Sekakap berasa teruja dan mengejar kereta itu sambil memanggil “Tuanku, Tuanku’’, untuk mendapatkan perhatian Sultan Ibrahim.
Tanpa banyak soal, Sultan Ibrahim memberhentikan kenderaan terus melayan pertanyaan dan permintaan pelajar terbabit termasuk berselfie dengan baginda.
Sikap bersahaja dan tanpa banyak protokol ibarat seorang ayah sedang melayan kerenah anaknya itu menyebabkan ramai pengguna media sosial berasa terharu dan bangga dengan sikap Sultan Ibrahim berjiwa besar itu.
Berikut antara perbualan Sultan Ibrahim dengan pelajar terbabit:
Sultan Ibrahim: Makan sedap tak semua?
Pelajar: Belum makan lagi.
Sultan Ibrahim: Ala... kesian. Nak saya belanja makan?
Pelajar: (agak terpinga-pinga)
Sultan Ibrahim: Nanti saya suruh hantar KFC.
Pelajar: (Bersorak gembira)
Sultan Ibrahim: Berapa orang semua?
Pelajar: 80... 90 orang
Sultan Ibrahim: (arahan kepada pegawai baginda) Buat 150 paket lah. Dinner.
(selepas merakam gambar perbualan diteruskan ringkas)
Pelajar: Nak pergi mana ni
Sultan Ibrahim: Round round (sambil memusing jari telunjuk di udara)
Yang pasti pengalaman itu akan menjadi kenangan paling indah pelajar terbabit. Lebih-lebih lagi hidangan KFC tersebut juga datang dengan sedikit pesanan daripada baginda Sultan Ibrahim:
“Nikmati hidangan malam anda, belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa hormati ibu bapa dan guru-guru anda.” -
No comments:
Post a Comment