ImageKUALA LUMPUR: PAS membantah sekeras-kerasnya hasrat Majlis Peguam mengadakan forum awam bertajuk "Memeluk Islam" Sabtu ini kerana ia mampu mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara umat Islam dan penganut agama lain di negara ini, lapor agensi berita Bernama.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika Majlis Peguam masih meneruskan tindakannya itu, ia akan merugikan semua pihak.

"Sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa  kerana Islam berdiri berteraskan sumbersumbernya sendiri," katanya dalam laman web parti itu.

Abdul Hadi berkata, Majlis Peguam perlu membatalkan forum itu demi menjamin kestabilan dan keharmonian hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata forum awam  itu tidak sepatutnya diadakan secara terbuka.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, forum yang akan diadakan dalam tempoh yang singkat akan menimbulkan prasangka dan prejudis di kalangan umat Islam di negara ini.

"Untuk fahamkan isu sensitif ini, ia tidak akan boleh selesai dengan forum yang selama satu jam sahaja. Ia memerlukan diskusi yang panjang dan bersiri.

"Kita (PAS) bimbang ia akan memberikan reaksi yang tidak sihat sekaligus akan menimbulkan ketegangan. Ini juga akan turut mengundang kemarahan di kalangan masyarakat terutamanya umat Islam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Majlis Peguam ingin membincangkan isu itu, perlulah mengadakan forum secara tertutup dan eksklusif.

"Isu ini memang sensitif di kalangan umat Islam dan saya tidak setuju ia dibuat secara terbuka dan dalam hal ini, mereka (Majlis Peguam) perlu memanggil mufti, tokoh-tokoh agama ataupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapatkan pandangan yang betul serta tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam," katanya. 




Pemuda Islam Wilayah dan Selangor turun bantah forum “memeluk Islam”


Ogos 8, 2008




Pemuda Islam Wilayah dan Selangor akan turun berhimpun bagi membantah forum bertajuk “memeluk Islam” yang dianjurkan oleh majlis peguam pada esok hari, 9 Ogos 2008 (Sabtu). Bantahan tersebut sebagai tanda protes dan amaran kepada majlis peguam yang dilihat cuba untuk mempertikaikan hak agama Islam.
Program ini juga amat merbahaya dan boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara umat Islam dan penganut agama lain. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam kenyataan medianya sebelum ini membantah sekeras-kerasnya forum tersebut.
“Perkara ini juga berlaku akibat daripada kelemahan pemimpin-pemimpin Islam yang tidak dapat menjaga Islam walaupun telah memegang tampuk kekuasaan. Sehingga Islam boleh dipertikaikan dan diperlekehkan”
Berikutan itu semua Pemuda PAS Wilayah dan Selangor telah mengarahkan ahlinya turun bersam-sama membantah pada esok hari. Pemuda PAS juga menyeru dan mengajak semua umat Islam lain yang prihatin untuk turun bersama-sama bagi menunjukkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap program tersebut.
Semua Pemuda dan umat Islam diminta berkumpul di hadapan LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi esok dan berjalan beramai-ramai ke perkarangan Majlis Peguam.
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu..(Al-Maidah :3)