NUFFNANG

Sunday, 14 March 2010

Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi (Siri 1 dan Siri 2)


Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi (Siri 1)

1. Bulan ini genap dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Selama dua tahun ini saya melihat peralihan kuasa yang diuar-uarkan sebagai "Merakyatkan Ekonomi Selangor" sebagai tidak lebih daripada pentadbiran dan pengurusan ekonomi berasaskan andaian.

2. Pelaburan di Selangor berjumlah RM 11.18 bilion pada 2007, RM 11.87 bilion pada 2008 dan jatuh ke RM 6.7 Bilion pada 2009.

3. Bukan untuk mengungkit, namun pelaburan pada 2007 dan 2008 jelas merupakan hasil usaha kerajaan di bawah BN dengan kerjasama para pegawai kerajaan serta SSIC berikutan pelancaran beberapa projek besar seperti Selangor Science Park 2.

4. Pelaburan yang dicatatkan di atas ialah jumlah yang telah diluluskan pelaburannya. Selalunya usaha menarik pelaburan terutama pelaburan asing memakan masa satu hingga tiga tahun sebelum ia dicatatkan oleh MIDA. Ini bermakna jumlah pelaburan pada 2008 merupakan hasil usaha menarik pelaburan pada 2006 dan 2007.

5. Sebab itu saya merasa sangat aneh apabila pada tahun lalu, kerajaan Selangor di bawah Pakatan dengan bangga mengisytiharkan pencapaian pelaburan tahun 2008 yang tertinggi dalam sejarah Selangor sebagai bukti kejayaan kerajaan Pakatan. Tidak sedikit pun penghargaan diberikan kepada kerajaan BN yang berusaha mendapatkannya.

6. Pada 2009 pula pelaburan jatuh sehingga hampir separuh. Saya percaya sebahagian jumlah pelaburan asing pada 2009 juga adalah hasil usaha kerajaan BN pada tahun 2007 dan 2006 yang lalu. Ini kerana lebih RM 3 Bilion daripada pelaburan di Selangor yang diluluskan pada 2009 merupakan pelaburan tambahan (expansion/diversification)daripada perniagaan sedia ada.

7. Lebih mengejutkan saya dimaklumkan bahawa YAB Menteri Besar dan EXCO YB Teresa Kok mendakwa pencapaian 2009 ini melebih sasaran awal kerajaan negeri sebanyak RM 4 bilion. Ia mengejutkan kerana dalam pembentangan Bajet 2009, Tan Sri Khalid menyasarkan jumlah pelaburan ke Selangor pada 2009 sekitar RM 12 bilion.

Kerajaan Negeri berusaha mensasarkan pelaburan bagi tahun 2009 melebihi RM12 bilion dan yakin dapat mencapai sasaran pelaburan melebihi RM35 bilion dalam tempoh RMK-9. - Ucapan Bajet Negeri Selangor 2009 yang dibentangkan pada 20 Oktober 2008.

8. Apakah erti sikap berpura-pura sebegini? Tampaknya kerajaan negeri sama seperti pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih berada dalam keadaan sindrom penafian (denial syndrome).

9. Saya bangkitkan perkara ini bukan kerana ingin mendapat pujian dan sebagainya. Sebaliknya ia sekadar mengulangi kebimbangan saya sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak melakukan usaha yang cukup aggresif bagi menarik pelaburan dari Timur Tengah dan Eropah. Dan ternyata peratusan FDI selangor pada 2009 jatuh dengan banyak.

10. Malahan berdasarkan kegagalan kerajaan negeri melakukan usaha menarik pelaburan yang serius pada 2008 dan 2009, tidak mustahil jumlah FDI baru ke Selangor akan jatuh lagi.

11. Saya berharap pada tahun ini kerajaan negeri akan lebih aggresif mengadakan misi perdagangan ke luar negara agar kemajuan negeri Selangor akan dapat dikekalkan.

12. Namun jika dilihat tindak tanduk pentadbiran negeri hari ini dan Penasihat Ekonomi Negeri yang lebih berminat berceramah politik setiap minggu, saya fikir sukar untuk Selangor kembali meraih pelaburan yang tinggi dalam beberapa tahun mendatang ini.

13. Pelaburan yang datang bukan ibarat yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang, tapi perlu ada usaha usaha dan kerja keras meyakinkan pelaburan baru masuk ke Selangor. Kerajaan negeri perlu ingat jika tidak dipecahkan ruyung, mustahil ada sagunya.

No comments: