NUFFNANG

Thursday 18 March 2010

Anwar tidak berani hadapi kritikan Zahrain

Anwar tidak berani hadapi kritikan Zahrain

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak berani menghadapi kritikan apabila bertindak keluar dari Dewan Rakyat ketika bekas rakan politiknya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memulakan ucapan sulung sebagai wakil rakyat Bebas.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, tindakan Anwar tidak menunggu sehingga Zahrain menghabiskan ucapan membuktikan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seorang hipokrit.

Menurut beliau, seorang hipokrit tidak akan mampu bertahan apabila diasak dengan pelbagai kritikan yang sebenarnya betul tetapi tetap cuba dinafikan.

"Saya bukan bercakap kosong tetapi ia dibuktikan daripada kajian akademik sudut psikologi mengenai sifat seorang hipokrit yang tidak akan mampu bertahan apabila diasak dengan kritikan.

"Lenggok tubuh juga menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku, sekiranya kita tidak bersalah dan berada di pihak yang benar, meskipun pelbagai tuduhan dilemparkan kita pasti mampu bertahan kerana memang yakin tidak bersalah," katanya.

Tambah Ibrahim, sebelum ini banyak cendekiawan mengatakan jangan tengok siapa yang bercakap tetapi lihat kepada kandungan ucapannya.

"Dunia dan situasi sudah berubah, selain melihat kepada kandungan ucapan kita amat perlu juga mengenal pasti siapa yang mengeluarkan ucapan itu. Dalam kes ini, Anwar ialah contoh terbaik yang menyokong teori saya ini," katanya.

Beliau mengulas tindakan Ketua Pembangkang itu bertindak keluar dewan ketika Zahrain yang baru sahaja memulakan ucapan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, membuat pendedahan mengenai 'misi rampasan kuasa 16 September yang tidak kesampaian'.

Seperti diduga, Anwar yang diminta mengulas pendedahan Zahrain itu menyalahkan UMNO sebagai punca masalah dalam pakatan pembangkang.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen berkata:

"Inilah bahananya apabila diberi banyak duit oleh UMNO, awak boleh kata macam-macam. Dia (Zahrain) digunakan oleh UMNO secara murahan, dia marah kerana orang tuduhnya mengenai kontrak. Dia kenalah jawab, itu isu yang sebenar."

Dalam pada itu, rakan baik Zahrain, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff (PKR- Balik Pulau) yang tidak mengikut ahli-ahli Parlimen pembangkang lain keluar dewan menghormati pendirian Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan Zahrain membangkitkan isu 16 September sebagai sesuatu yang terlewat kerana ia sudah berlalu hampir dua tahun.

Sementara itu Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menyifatkan Anwar seorang penglipur lara yang hanya pandai menyampaikan hujah menarik walaupun tidak semestinya betul.

''Beliau tidak berani menghadapi ahli Parlimen lain apabila kisahnya didedahkan. Tindakannya meninggalkan dewan amat tidak profesional.

''Saya percaya ini permulaan kepada pendedahan politik yang dimaksudkan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu),'' katanya.

source : utusan

No comments: