NUFFNANG

Tuesday, 23 May 2017

che'det : PENYOKONG SAYA


che'det : PENYOKONG SAYA 


Image may contain: 1 person, text
1. Terdapat ramai yang mendakwa saya sokong mereka. Nama saya diguna untuk memberi kekuatan kepada apa yang hendak dilakukan oleh mereka. Ini termasuk kempen untuk menggagalkan usaha saya untuk mengalahkan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib.

2. Tindakan mereka secara langsung atau tidak langsung akan memesongkan tumpuan ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia daripada menjatuhkan Najib kepada masalah buatan mereka. Kononnya ketua bahagian yang diberi watikah tidak baik, tidak mendapat sokongan ahli parti dan rakyat. Kononnya ini semua disebabkan ada pemimpin tertentu.

3. Sekarang ia sudah naik ke tahap menolak kepimpinan tertinggi parti. Kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin patut disingkir sebagai presiden parti. Kononnya dia mengguna saya untuk kepentingan dirinya. Kononnya dia ingin dapat jawatan tertentu baginya.

4. Kita semua tahu bahawa amatlah sukar untuk memujuk pemimpin UMNO, terutama yang memegang jawatan dalam Kerajaan, menjadi Menteri terutamanya meninggalkan UMNO. Kalau meninggalkan pun atau menjadi bekas menteri, tidak sanggup mereka menyertai gerakan melawan UMNO. Sudah tentu mereka tidak berani mendekat diri dengan parti seperti PPBM yang secara lantang mendesak supaya Najib disingkir.

5. Tetapi Muhyiddin memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menjadi Timbalan Presiden UMNO. Jika Najib turun kerana apa-apa sebab Muhyiddinlah yang akan jadi Perdana Menteri.

6. Baginya dan bagi Shafie Apdal membenar diri disingkir dari jawatan-jawatan menjadi korban yang amat besar. Umum tahu yang Muhyiddin mengkritik Najib semasa masih menjadi Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya dia disingkir.

7. Setelah disingkir, tidak seperti orang lain yang kehilangan jawatan, Muhyiddin tidak jauhkan diri dari saya. Sebaliknya beliau bersedia untuk bersama menubuh Parti Pribumi Bersatu dan menjadi Presidennya. Beliau menerima cadangan saya supaya saya menjadi Pengerusi Parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya.

8. Banyaklah kerja yang dibuat oleh beliau untuk menjayakan Parti Pribumi Bersatu, jauh lebih dari orang yang bercadang menyingkirnya.

9. Jika hari ini ia disingkir, parti akan berpecah kerana ramai ahli parti yang menyokongnya. Maka akan gagallah usaha memenangi PRU 14.

10. Saya percaya mereka yang mencadang tindakan ini berhasrat untuk menggagalkan perjuangan parti PPBM. Sekaligus mereka ingin lihat saya gagal dan Najib berjaya.

11. Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib. Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan dari parti. Penyokong Najib tidak ada tempat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

source : chedet

No comments: