Singapura Cungkil Ulat Daripada Kaki Reput 1MDB
DALAM bahasa yang mudah, cara Singapura bicarakan kes-kes tipu yang libatkan duit 1MDB samalah dengan kita cungkil ulat daripada kaki yang reput.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Satu demi satu Singapura tarik keluar dan ditunjukkan kepada dunia sebagai bukti yang kaki 1MDB memang reput (septic) akibat telur lalat jenis langau yang menetas jadi ulat.
Orang sekarang tak tahu lah. Tapi zaman saya budak-budak di kampung pada tahun 1940-an dan 50-an, kes kaki buruk perkara biasa. Tahap kebersihan teruk dan penyakit kulit berleluasa.
Saya ingat lagi kami budak-budak beramai-ramai tolong Tok Tosa, nenek salah seorang kawan kami, korek keluar ulat daripada luka di kakinya.
Gambar hiasan: Ulat di luka badan manusia |
Banyak tak ada, tapi sepuluh, dua puluh ekor ada. Bau memanglah busuk.
Cara elak dan ubati luka daripada dihinggapi lalat adalah dengan menutupnya menggunakan sejenis ubat kapur yang orang kampung panggil MB.
Yang sebenarnya, MB itu adalah singkatan nama pembuat ubat antiseptik tersebut iaitu May & Baker. Syarikat Inggeris yang ditubuhkan pada tahun 1839 itu masih ada sampai hari ini.
Itulah yang sedang berlaku di Singapura dengan ulat-ulat (dalam bahasa Inggeris “maggots”) yang menetas di betis reput 1MDB.
Kerajaan Singapura, melalui mahkamahnya, sedang bedah dan tarik keluar satu demi satu ulat itu untuk buktikan betapa buruk dan busuknya skandal 1MDB.
Sehingga ini ia telah bicarakan lima orang dan jatuhkan hukuman penjara serta denda ke atas tiga daripada mereka. Ia juga tutup dua buah bank yang terlibat mengubah duit haram hasil penyelewengan 1MDB.
Dalam semua kes ini, duit haram yang mereka ubah itu adalah sama atau kena mengena dengan duit “derma Arab” yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak, ketika Pilihan Raya Umum 2013.
Ulat paling besar dan busuk sedang dicungkil sekarang adalah perbicaraan bekas pengurus Falcon Private Bank AG cawangan Singapura, Jens Sturzenegger. Eksekutif berbangsa Swiss itu hadapi 16 tuduhan.
Pendakwa telah pun kemukakan fakta-fakta yang kaitkan Sturzenegger dengan kegiatan pengubahan haram duit yang dicuri daripada 1MDB dan menghantarnya balik ke Malaysia untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Falcon Bank juga sedang disiasat oleh pihak berkuasa Switzerland.
Sebab itulah kita susah nak bezakan mana duit 1MDB yang bersih dan mana yang kotor. Lalat bila ia hinggap, makanan bersih pun jadi kotor. Dalam Islam benda kotor haram.
Tapi yang kita tahu, 1MDB bagi duit untuk orang pergi ke Makkah buat haji. Macam mana tu?
Saya tak boleh salahkan mufti, lebai dan haji kalau mereka tak faham. Mereka mungkin pandai agama tapi mereka tak tahu urus niaga.
Satu Malaysia rosak: Jangan sekali-kali lupa wajah sahabat Najib ini |
Orang pandai pun kalau tak dalam ilmu undang-undang, ekonomi, kewangan, perbankan dan perakaunan susah nak faham cara tipu dan seleweng 1MDB oleh Jho Low ni.
Oleh sebab itulah Jho Low jadi orang yang paling dilindungi dan dirahsiakan pergerakannya. Dia pegang kunci ke penjara.
Tapi tupai yang pandai melompat pun ada kalanya jatuh juga ke bumi. Kerajaan Singapura ada sumpit ajaib. Soalnya ia hendak guna atau tidak terhadap Cina kepercayaan Najib ini. Boleh jadi Singapura ada agenda lain dengan Jho Low.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment