NUFFNANG

Tuesday 4 January 2011

Kenyataan Akhbar Istana Selangor & Apa la Yang Anwar Dendangkan Di Labis ?

UPDATED - Kenyataan Akhbar Istana Selangor & Apa la Yang Anwar Dendangkan Di Labis ?



Semasa Majlis Mesra Bersama Rakyat di Dataran Niaga, Felda Cempelak di Labis malam tadi, Anwar Ibrahim telah menuduh bahawa Umno dan Barisan Nasional sanggup membelakangkan perundangan negara demi menjayakan agenda politik jijik pimpinan mereka.

Beliau juga berkata :-
"Pagi tadi Menteri Besar mengadap Tuanku Sultan dan Tan Sri Khalid (Ibrahim) diberitahu baginda tidak masuk campur dalam perlantikan ini. Jadi sekarang mudah bagi Menteri Besar untuk terus berunding dengan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk selesaikan masalah ini," kata Anwar.
Putar belit dan dakwaan Anwar Ibrahim itu jelas bercanggah dengan laporan berita yang mengatakan bahawa Sultan Selangor murka dan berkecil hati ekoran sikap pentadbiran Abdul Khalid yang mempertikaikan dan enggan menerima pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah diperkenankan oleh baginda.
Publish Post
Di antara laporan tersebut :-

Menurut Mohamad Munir, semasa perjumpaan Sultan Selangor dengan Menteri Besar hari ini, baginda ada bertanya mengapa kerajaan negeri tidak mahu menerima pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK.

‘‘Tuanku ada bertanya, mengapa tidak suka Khusrin, adakah dia ada melawan tetapi Menteri Besar tidak kata apa-apa,” katanya.

Beliau juga berkata baginda dilaporkan bertitah, tindakan sebegitu boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik, di samping mewujudkan suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Anwar Ibrahim berbohong lagi!

Penulis simpati kepada penduduk di Felda Cempelak, Labis kerana telah diberi informasi yang salah terhadap isu Khusrin Munawi.


Isu SUK negeri Selangor begitu senang dimanipulasi terutamanya jika kita tidak faham tentang kronologi isu dan klaus-klaus di dalam Perlembagaan. Ianya ibarat telur dan ayam, siapa yang dahulu?

Satu perkara pokok yang rakyat mesti faham ialah isu SUK negeri adalah disebabkan oleh kesalahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang tidak mahu mematuhi undang-undang! Merekalah penyebab kepada bermulanya krisis yang berlaku sekarang.

Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di peringkat Kerajaan Persekutuan. Bab 3 LII (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menyebut:

“Maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan perlantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.”

Dan apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengingkari dan mencabuli undang-undang di atas, merekalah pihak yang sepatutnya membetulkan kesalahan mereka dan bukan berdolak-dalih seperti sekarang.

Tetapi mereka tidak berbuat demikian dan mengharapkan agar rakyat terlupa dengan perkara asas ( Bab 3 LII (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor) yang telah mereka cabuli sejak hari pertama isu ini bertukar menjadi krisis perlembagaan.

Malah, tindakan Khalid Ibrahim yang akan mengadakan sidang tergempar DUN juga merupakan satu tindakan terdesak tetapi tidak ada kick nya kerana menunjukkan Khalid Ibrahim engkar kepada Perlembagaan Persekutuan dan gila kuasa.

Kerana itulah beliau menyelitkan juga agenda kuasa kepada Sultan Selangor sebagai agenda di dalam sidang tergempar tersebut. Sungguh pathetic kerana sekarang pun Khalid Ibrahim sudah melawan Sultan beliau sendiri!

TERBARU !

Kenyataan Akhbar Istana Selangor


Kenyataan akhbar ini dibuat untuk menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang timbul berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan. Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M. Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Dato’ Haji Mohamed Khusrin bin Haji Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada Majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M. Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke 65 D.Y.M.M. Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M. Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Selain daripada itu, pada Majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.

Majlis tersebut bukanlah merupakan majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi merupakan Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada Negeri Selangor.

Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Negeri Seri Muda, Y.B. Shuhaimi bin Haji Shafiei pada 30 haribulan Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau. Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55(1)(1A). Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor seolah-olah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati” adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai “Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA” oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B. Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di Negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B. Dato’ Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat. Apa yang sebenarnya berlaku, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor. Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di Negeri Selangor.

Mengenai cadangan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M. Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B. Dato’ Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan. Tindakan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu.

(DATO HAJI MOHAMAD MUNIR BIN BANI)

Tarikh : 4 Januari 2011

source : MIM

No comments: