NUFFNANG

Sunday, 31 October 2010

Pakatan rahsia tuntut korban/DAP dan Melayu/Perjanjian dan misteri

Pakatan rahsia tuntut korban

HAKIKATNYA pendedahan Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru, Zulkifli Noordin tentang `konspirasi syaitan’ antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bukan perkara baru. Keserasian kedua-dua parti itu umpama rahsia yang diketahui umum.

Apabila sesuatu rahsia yang sepatutnya bersifat eksklusif menjadi umum maka tiada rahsia lagi. Apatah lagi dalam memperkatakan perihal `kerjasama’ antara barisan pemimpin PKR dan DAP. Tiada siapa boleh menolak jauh sekali menafikan betapa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng amat sebulu. Justeru apabila ada pendedahan tentang perjanjian rahsia antara PKR dan DAP, ia menguatkan lagi fakta yang biarpun telah diketahui umum tetapi tidak mahu dipercayai jauh sekali mencetuskan kesedaran di pihak tertentu.

Dalam satu ceramah semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir tahun lepas, Anwar yang juga Penasihat PKR bersungguh-sungguh memuji Guan Eng. Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum itu menghebahkan kepada dunia bahawa idolanya adalah Khalifah Umar Al-Aziz. Dalam erti kata lain, bukan sahaja pemimpin-pemimpin Pas boleh menjadikan Khalifah Umar sebagai idola, Guan Eng yang partinya menolak hudud dan qisas juga boleh berbuat demikian. Itu sebenarnya yang cuba ditonjolkan di sebalik terlontarnya nama Khalifah Umar Al-Aziz dari mulut pemimpin DAP. Beliau bijak meraih sokongan orang Melayu beragama Islam. Tetapi dalam banyak hal sepanjang dua tahun menerajui pulau mutiara itu adakah Guan Eng bijak menjaga hati pemimpin Pas? Atau selepas dua tahun, kedua-duanya - hati orang Melayu beragama Islam dan pemimpin Pas tidak dijaga jauh sekali mahu dihormati?

Tidak seperti PKR dan DAP, hubungan Kit Siang atau Karpal dengan barisan pemimpin Pas sentiasa berbeza pendapat terutama dalam hal pembentukan negara Islam. Undang-undang Islam ditentang hebat oleh DAP. Manakala barisan kepimpinan PKR tidak mahu ulas banyak tentang hudud dan qisas. Sangat terang tanpa perlu bersuluh - PKR lebih berminat menjaga hubungannya dengan DAP. Manakala antara DAP dan Pas sukar mencari titik pertemuan. DAP tidak pernah tunduk, berlembut jauh sekali akur terhadap cadangan itu. Biar sekeras mana pun suara Datuk Seri Abdul Hadi Awang melaungkan perjuangan Pas mahu menobatkan hudud dan qisas dalam pemerintahan negara Islam yang bakal dibentuk pakatan pembangkang, namun semuanya itu tidak ada harga di mata pemimpin DAP. Lama-kelamaan semua orang melihat betapa Pas semakin membisu tentang penubuhan negara Islam. Suara Pas semakin perlahan apabila memperkatakan tentang hudud dan qisas. Atas alasan kepimpinan DAP semakin memahami apa itu negara Islam, mereka tidak perlu lagi menguar-uarkan hasrat murni itu. Mereka tidak perlu lagi bercakap tentang hudud dan qisas lantaran yakin hukuman itu dapat dilaksanakan apabila pakatan pembangkang memerintah kelak. Sama ada Pas bertoleransi atau bertolak-ansur atau memendam perjuangan parti kerana mahu menjaga hati DAP tidaklah diketahui, namun tidak mustahil itulah yang sebenarnya berlaku. Atau sebenarnya Pas telah kalah dan bukannya mengalah.

Umum juga mengetahui bahawa gabungan kerjasama antara PKR-DAP-Pas semata-mata untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 mac 2008. Mereka tidak mempunyai agenda lain. Ketika itu PKR-DAP-Pas memang saling memerlukan. Paling jelas semasa pilihan raya PKR memerlukan Pas, begitu DAP memerlukan Pas. Nasib menyebelahi mereka. Lima negeri jatuh ke tangan pakatan pembangkang. Lantas masing-masing mahu membina empayar. Oleh kerana Pas sudah ada Kelantan sebagai jajahan, maka Pulau Pinang diserahkan kepada DAP dan Selangor menjadi milik PKR.

Gagal

Cuba analisis persoalan ini? Apa yang pemimpin Pas mampu suarakan di kedua-dua negeri itu? Di Pulau Pinang, kuasa wakil rakyat Pas amat terbatas. Di Selangor exco negeri dari parti Pas juga tidak boleh bersuara banyak. Mahu diselongkar kes penjualan arak secara terbuka di kedai serba guna cepat saja disergah dan disanggah. Malah ada pemimpin muda Pas di Selangor berkeluh-kesah tentang perjuangan parti itu yang kelihatan agak gagal dan terencat di Selangor. Sedangkan PKR dan DAP begitu menonjol, hingga ada ketikanya mereka umpama bersultan di mata dan beraja di hati. Jadi di mana untungnya Pas dalam mempunyai ikatan dengan PKR dan DAP selain bergelar pakatan pembangkang yang kini semakin menampakkan rebahnya? Atau umpama habis madu sepah dibuang - selepas pakatan pembangkang menang besar dalam pilihan raya umum lalu, peranan Pas dikesampingkan begitu saja. Pas nampaknya seakan tidak belajar. Atau Pas memang tidak mahu belajar. Di Kelantan, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar di situ terlalu banyak menunjukkan sokongan melampau kepada barisan kepimpinan PKR dan DAP. Atas nama `pakatan pembangkang yang bekerjasama’, DAP adalah lebih mulia di mata pemimpin Pas berbanding pemimpin BN biar pun sama agama serta bangsanya. Ada masanya yang haram menjadi halal semata-mata sebagai tanda sokongan kepada apa yang dilakukan oleh rakan sepasukan. Biarpun hakikatnya, PKR dan DAP sendiri adakalanya begitu berat menunjukkan sokongan kepada apa yang mahu dilakukan oleh Pas. Seolah-olah hati para pemimpin Pas tidak pernah terguris jauh sekali meninggalkan parut apabila perihal negara Islam, hudud dan qisas dibangkang keras oleh pemimpin DAP. Sedangkan terbentang di hadapan mata bahawa sebenarnya Pas tidak memerlukan PKR jauh sekali DAP di Kelantan. Mereka boleh berdiri sendiri.

Pendedahan Zulkifli secara terbuka mengenai perjanjian rahsia yang antara lain DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang juga pernah diperkatakan selepas negeri itu jatuh ke tangan pakatan pembangkang. Pulau Pinang dikatakan bakal menjadi Singapura kedua dengan kuasa autonomi dipegang oleh DAP. Percaturannya tidak mudah. Adalah sangat jelas untuk menjadi Singapura kedua Pas tidak diperlukan. Memberi kuasa yang lebih kepada Pas akan menjadikan Pulau Pinang seperti selatan Thailand bukan Singapura. Semestinya PKR dan DAP tidak mahu kuasa autonomi di Pulau Pinang sama seperti yang diminta di selatan Thai. Mereka mahu menjadi Singapura kedua. Maka sekali lagi di mana pentingnya Pas kepada PKR dan DAP?

Di situ mungkin timbulnya istilah `perjanjian syaitan’ atau `konspirasi syaitan’. Ini kerana kebiasaannya perjanjian syaitan menuntut korban. Menuntut darah keluarga terdekat atau orang tersayang bagi membolehkan dua pihak yang menandatangani perjanjian itu melunaskan harapan masing-masing. Persoalannya siapa `syaitan’ dan siapa pula yang bersetuju menuruti kehendak syaitan itu? Siapa pula mangsa yang dikorbankan untuk memenuhi impian kedua-duanya.

Apa yang dibangkitkan oleh Zulkifli banyak kaitannya dengan persetujuan awal yang dicapai oleh PKR-DAP dan kemudiannya Pas. PKR tidak mampu bermain bersendirian. DAP juga begitu. Kedua-duanya memerlukan pihak ketiga untuk melunaskan impian serta cita-cita. Maka Pas adalah kuda paling sesuai yang boleh ditunggang untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju. Biar pun barisan pemimpin Pas menafikan menjadi kuda tunggangan PKR-DAP dan menuduh Zulkifli melakukan pembohongan tetapi apa yang tersurat dalam hubungan ketiga-tiga parti menceritakan segala-galanya. Biar pun ada pemimpin Pas menyatakan mustahil wakil rakyat DAP menjadi Menteri Besar seperti mana insiden di Perak tetapi mereka lupa bahawa Zulkifli bercakap mengenai `jika pakatan pembangkang berjaya mengambil-alih Kerajaan Persekutuan’. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru itu tidak bercakap tentang perjanjian sulit untuk masa sekarang . Lantaran sememangnya mustahil untuk memberi kuasa autonomi kepada DAP di Pulau Pinang atau melantik wakil rakyat DAP sebagai menteri besar di mana-mana negeri kerana Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan itu semua berlaku. Pendedahan Zulkifli menyentuh tentang perancangan PKR dan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak Itulah perencanaan mereka lantaran yakin kemenangan sekali lagi akan memihak kepada pakatan pembangkang dan mungkin lebih besar daripada kejutan semasa Mac 2008.

Perjanjian yang meminggirkan Pas itu mempunyai matlamat yang sangat besar. Ia berhubung kait dengan misi menakluk Putrajaya. Ia juga menguatkan ura-ura adanya usaha untuk meminda perlembagaan. Pastinya pindaan itu bagi membolehkan apa yang Zulkifli sifatkan sebagai `perjanjian syaitan’ menjadi kenyataan. Kesemuanya itu bukan dongeng. Zulkifli ada saksi, begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang pernah mendedahkan usaha untuk menggubal perlembagaan baru. Untuk apa itu semua jika bukan untuk menghalalkan apa yang selama ini diharamkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Biar apa pun hujah yang menyebut Perlembagaan tidak boleh diubah lantaran menuntut perkenan raja-raja Melayu tetapi jika PKR dan DAP mendapat kuasa segala-galanya tidak mustahil. Pastinya PKR, DAP dan Pas menunggu saat-saat itu. Namun adakah keterujaan PKR dan DAP menyamai paras keterujaan Pas untuk terus kekal dalam pakatan pembangkang lantaran pembohongan rakan pakatan semakin terserlah. Mungkinkah Pas akan terus mempertahankan rakan-rakannya sebagaimana kenyataan dua Naib Presiden parti itu kelmarin yang kemudiannya menuduh Zulkifli sebagai pencacai UMNO?

Hakikatnya, perencanaan PKR dan DAP boleh dibaca tanpa pendedahan Zulkifli. Beliau sekadar menggunakan kanta supaya pakatan PKR dan DAP dapat dilihat dengan lebih jelas. Namun kanta itu tidak membantu orang buta melihat apa-apa sebaliknya menuduh orang lain berbohong.

source : utusan


DAP dan Melayu

KETIKA membelek edisi terbaru Suara Perkasa, Awang tertarik dengan kenyataan bekas calon DAP Pulau Pinang, A. Rahman Manap.

Menurut beliau, perjuangan DAP adalah total kepada kepentingan kaum Cina dan parti itu sebenarnya mahu meruntuhkan penguasaan politik Melayu di tanah air ini.

Katanya, walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang sering menyatakan bahawa DAP hanya memusuhi UMNO tetapi realitinya parti itu bersikap anti-Melayu. ‘‘Mereka hanya mahu menjadikan Melayu sebagai alat mereka mencapai cita-cita politik.”

Rahman menjadi aktivis DAP pada dekad 90-an dan telah menubuhkan tiga cawangan DAP Melayu. Antara jawatan yang pernah disandang ialah Ahli Jawatankuasa DAP Bayan dan Exco DAP Pulau Pinang. Beliau pernah bertanding atas tiket parti itu di kawasan Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 1995 tetapi tewas.

Beliau mengaku digunakan untuk berdepan dengan orang Melayu dan pegawai kerajaan. ‘‘Mereka akan terus berlakon kononnya boleh menerima orang Melayu tetapi hakikatnya mereka mahu melihat Melayu lemah dan tidak bermaya.

‘‘Kadang-kadang mereka sanggup melakukan sesuatu yang lebih baik daripada pemimpin Melayu hanya mahu memperdayakan pemikiran Melayu,” itulah antara luahan beliau. Menurut Rahman, beliau membuat pendedahan tersebut kerana tidak mahu orang Melayu tertipu dengan segala muslihat DAP.

Awang harap ia menjadi renungan orang Melayu dan umat Islam. Lebih-lebih lagi DAP kini memperhebatkan usaha untuk menarik sokongan Melayu termasuk menjanjikan peluang menjadi calon pilihan raya dan pelbagai jawatan.

Strategi DAP untuk terus mendampingi orang Melayu antara lain kerana tidak mahu bergantung kepada Pas dan PKR. Mereka bimbang Pas akan berpaling tadah daripada pakatan. PKR pula dilihat semakin goyah.

Sesungguhnya DAP adalah parti paling rasis di dunia. Pada Awang, ancaman DAP adalah jauh lebih berbahaya daripada apa-apa ancaman sekalipun yang pernah dihadapi dalam sejarah tanah air. Cuma bentuk penjajahan mereka lebih halus, berselindung atas slogan demokrasi dan tanpa menggunakan senjata. Tetapi implikasinya amat besar. Perlembagaan termasuk kedudukan Islam dan institusi beraja menjadi taruhan, yang akhirnya membawa Malaysia menuju negara republik. Apakah itu yang kita mahu?

source : utusan


Perjanjian dan misteri

PENDEDAHAN Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Zulkifli Noordin baru-baru ini bahawa terdapat perjanjian rahsia antara DAP dan PKR berhubung pegangan kuasa politik tanpa diketahui oleh Pas, menarik perhatian ramai.

Zulkifli mendakwa perjanjian tersebut didalangi oleh pemimpin kedua-dua parti itu, yang beliau sifatkan sebagai konspirasi syaitan. Desas-desus yang Awang dengar, ramai pemimpin DAP tidak tahu mengenainya kerana ia dikatakan lebih membabitkan Dinasti Lim dalam parti itu.

Antara inti pati perjanjian ialah DAP akan diberi kuasa autonomi di Pulau Pinang jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan pusat.

Awang sedikitpun tidak terkejut. DAP dan PKR mempunyai reputasi sanggup melakukan apa sahaja demi menawan Putrajaya. DAP sebenarnya hanya meyakini PKR dan bukannya Pas.

Dasar Pas menjadikan Islam sebagai teras politik adalah berlawanan dengan agenda sebenar DAP. Awang melihat kerjasama DAP dan Pas adalah ibarat tabiat sekawan singa yang akan bermuafakat untuk memburu dan menjatuhkan haiwan lain sebelum dibaham. Tetapi apabila waktu untuk melapahnya, mereka akan bersaing sehingga ke tahap bersengketa. Singa yang kuat biasanya akan menang dan menguasai daging yang dilapah. Begitulah DAP melihat Pas iaitu sekadar rakan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Tetapi apabila tiba saat sebenar, Pas tidak berdaya untuk menghalang kerakusan DAP yang dibantu oleh PKR.

Pada Awang, bukan setakat perjanjian tersebut, sebenarnya banyak lagi hal tersembunyi, yang perlu digali. Daripada mana PKR khususnya Anwar mendapat banyak wang untuk menaja aktiviti parti termasuk bagi melakukan lawatan ke luar negara?

Jumlah lawatan beliau ke luar negara bukan sedikit. Lebih banyak daripada Perdana Menteri. Tiada ketua pembangkang di negara lain yang seghairah beliau untuk asyik ke luar negara. Sebahagian lawatan pula lengkap dengan delegasi termasuk tukang membancuh kopi, sebagaimana didedahkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohd. Hashim.

Awang turut tertanya-tanya apakah ada pihak luar yang mempunyai motif tertentu ke atas Malaysia, membiayai kos lawatan Anwar. Menarik untuk diketahui negara, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi antarabangsa mana yang menaja beliau. Ini memandangkan Anwar lebih ghairah memburuk-burukkan negara ke mana sahaja beliau pergi. Apakah juga kemungkinan wang tersebut diperolehi daripada kerajaan PKR Selangor atas kapasiti Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri, yang bermakna menggunakan wang cukai rakyat untuk lawatan yang tidak berfaedah?

Atau kemungkinan beliau mendapat bantuan secara terancang daripada sebahagian syarikat dan tokoh perniagaan kaum Cina di negara ini, yang ganjarannya dituntut kemudian selepas Anwar berkuasa?

Persoalan yang lebih menarik, mengapa terlalu banyak ke luar negara. Sebagai ketua pembangkang beliau sepatutnya menumpukan perhatian di dalam negara terutama kepada partinya, PKR yang bermasalah dan berbakti di kawasan pilihan raya di Permatang Pauh. Sewajarnya beliau berusaha turun padang meningkatkan momentum sokongan rakyat yang diperolehi oleh PKR dan pembangkang pada pilihan raya umum lalu. Janganlah hanya aktif berceramah pada musim pilihan raya dan selebihnya lebih berminat menghabiskan masa di luar negara. Rakyat di dalam negara perlu diutamakan dan bukan audiens antarabangsa.

Maka ramai musykil, apa lagi aktiviti yang dirahsiakan dalam lawatan beliau ke luar negara. Banyak persoalan yang berlegar. Nampaknya seperti ada misteri yang belum terbongkar.

source : utusan

No comments: