NUFFNANG

Wednesday 11 March 2009

Jangan tafsir perlembagaan negara ikut kepentingan peribadi - Sultan Selangor

Jangan tafsir perlembagaan negara ikut kepentingan peribadi

SHAH ALAM 10 Mac - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) mengingatkan semua pihak supaya tidak menafsir Perlembagaan Persekutuan dan Undang- Undang Tubuh Kerajaan Selangor mengikut kepentingan dan manfaat golongan tertentu sahaja.

Titah baginda, semua pihak bukan sahaja perlu menghormati setiap undang-undang tersebut malah mengangkat martabatnya ke tahap tertinggi, mengatasi segala kepentingan peribadi dan fahaman politik masing-masing.

"Beta yakin kita semua akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sekiranya sikap hormat-menghormati antara kaum dan mematuhi undang-undang dijadikan amalan kehidupan seharian.

"Beta dapati sejak kebelakangan ini telah banyak berlaku insiden melibatkan perbalahan yang dicetuskan segolongan kelompok dan demonstrasi jalanan yang menjejaskan keamanan, keharmonian serta perpaduan kaum di negara tercinta ini," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 di sini hari ini.

Sehubungan itu baginda menyeru semua pihak agar memberhentikan segala tindak-tanduk yang boleh menjejaskan imej negara dan menumpukan perhatian terhadap usaha memupuk perpaduan erat di kalangan semua kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

Sehubungan itu baginda mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan bersidang sehingga 17 Mac ini menghormati satu sama lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing kerana matlamatnya adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri.

"Beta juga mahu keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Yang Berhormat disampaikan secara telus kepada rakyat supaya mereka dapat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut," jelas baginda.

Dalam ucapan kira-kira dua jam itu, Sultan Selangor turut menyatakan harapan baginda untuk melihat penambahbaikan tadbir urus kerajaan negeri dengan lebih cekap termasuk mengambil kira pandangan rakyat.

"Apa gunanya kerajaan negeri beta melancarkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor jika pandangan rakyat tidak diberikan tempat sewajarnya.

"Oleh itu proses perbincangan awam seharusnya diperbanyakkan untuk setiap keputusan dan kerangka utama pembangunan negeri. Kerajaan negeri beta juga mesti mencuba menggunakan kepakaran yang ada dalam memajukan Selangor," titah baginda.

Sultan Selangor juga mahu kerajaan negeri mencari alternatif untuk meningkatkan taraf hidup golongan petani kepada kehidupan lebih selesa dan hasrat pertanian satu perniagaan perlu dibuktikan hasilnya termasuk membantu mereka meningkatkan pendapatan kepada RM3,000 sebulan.

Harapan itu sejajar dengan cadangan baginda supaya perlu ada pendekatan baru bagi menyelesaikan masalah kemiskinan bandar yang mesti mengambil kira akses terhadap peluang, sumber, pendidikan dan kemudahan mencukupi.

"Tiada maknanya hidup di negeri terkaya di Malaysia tetapi terasing daripada keputusan yang menentukan kehidupan mereka dan keluarga.

"Beta mahu kerajaan beta menyediakan rumah yang selesa dan kondusif termasuk pelan tindakan khas berhubung program pencerobohan kawasan setinggan iaitu ia digabungkan dengan keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PPBT) dan agensi kerajaan dalam menyediakan kediaman sementara," titah baginda.

Sultan Selangor turut mahu melihat penambahbaikan tadbir urus tanah dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat bagi memastikan transaksi dapat dilaksanakan selain pasukan khas ditubuhkan dalam usaha memperbaiki perancangan dan operasi sistem pengangkutan awam di Selangor.

sumber : utusan malaysia 11hb Mac 2009


No comments: