NUFFNANG

Tuesday 26 June 2007

Anwar Diktator, Azmin Macam KJ - EZAM

Anwar Diktator, Azmin Macam KJ - EZAM

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinannya, termasuk mentornya dan ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ezam yang telah bersama parti pembangkang itu sejak penubuhannya pada 1999, juga tidak menolak kemungkinan menyertai PAS atau kembali semula ke pangkuan Umno.

Ezam, 40 - bekas setiausaha politik Anwar sebelum bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat dari Umno dan kerajaan, juga memberitahu yang beliau sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua parti tersebut.

Ezam telah meletakkan jawatan ketua AMK dan ketua PKR Shah Alam, empat bulan ago.

Sebelum beberapa pemimpin PKR, termasuk Datuk KS Nallakarupan dan bekas bendahari agungnya, Abdul Rahman Othman, telah meninggalkan parti tersebut.

Menurut Ezam, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada ibupejabat PKR Shah Alam melalui surat bertarikh 4 April.

“Saya tidak nampak keikhlasan di kalangan pucuk pimpinan parti itu untuk menyelesai krisis dalam PKR. Saya sudah hilang kepercayaan terhadap keikhlasannya (Anwar) untuk memperkukuhkan parti," katanya ketika dihubungi.

Ezam juga menuduh Anwar bersikap seperti seorang “diktator” tetapi menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang "lemah". Beliau juga mendakwa, Anwar berada "di bawah telunjuk" Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Ezam turut memberi beberapa insiden yang berkaitan dengan pemilihan parti itu bulan lalu, di mana beliau mendakwa, Anwar memberi sokongan kuat kepada Azmin.

Ezam dan Azmin - kedua-duanya bekas setiausaha sulit Anwar - memang diketahui umum tidak lagi sehaluan apabila Azmin sebelum ini mahu bertanding jawatan timbalan presiden, sedang Ezam mahu status quo dikekalkan.

Mengikut Ezam, beliau sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku apabila Anwar dikatakan telah mengarah bahagian Permatang Pauh supaya tidak membuat sebarang pencalonan bagi jawatan timbalan presiden.

“Bagi saya, (Dr) Syed Husin (Ali) adalah penyandangnya (timbalan presiden), jika dia (Anwar) meminta bahagian tersebut supaya jangan mencalonkan Syed Husin, itu bermakna Anwar menyokong Azmin.

“Mengapa Anwar tidak boleh bertindak tegas dan kata 'tidak' kepada Azmin?” soalnya.

Ezam mendakwa, arahan Anwar itu juga merupakan salah satu sebab ketua PKR Permatang Pauh, Anuar Shaari keluar parti.

Azmin kemudiannya menarik balik hasratnya untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu dan mempertahankan jawatan naib presiden. Dia dikatakan mengambil keputusan itu selepas Anwar menasihatkannya supaya berbuat demikian selepas Syed Husin mahu mempertahankan jawatannya itu dan bertanding dalam pilihanraya umum.

“Memandangkan Anwar telah menghalang Azmin daripada bertanding jawatan timbalan presiden, maka dia (Azmin) kemudiannya menghalang Anwar daripada bertanding jawatan tertinggi parti itu," dakwa Ezam.

Beliau merujuk kepada keputusan Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada saat-saat akhir.

Anwar pada mulanya bertegas mahu bertanding jawatan tersebut walaupun dia dilarang aktif dalam politik sehingga April tahun depan, selepas disabitkan dengan kesalahan salahguna kuasa. Bagaimanapun beliau menarik diri selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak mahu parti itu berdepan dengan risiko pendaftarannya dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Tiada sebarang usaha dibuat untuk berbincang dengan Abdul Rahman Othman (calon jawatan presiden) sejak dari mula lagi. Tetapi Abdul Rahman menarik diri (pada hari pemilihan) selepas Anwar berbincang dengannya sehari sebelumnya.

“Ini bermakna Abdul Rahman telah menarik diri (lebih awal) sekiranya mereka telah menemuinya (lebih awal) dan Anwar sudahpun menjadi presiden sekarang.

“Kita boleh mencabar peraturan ROS itu...adalah penting bagi Anwar menjadi pemimpin yang dipilih, beliau kini seperti seorang dictator apabila menjadikan dirinya pemimpin de facto," tambahnya.

Ezam juga menuduh Azmin menghalang Anwar daripada menemui Abdul Rahman.

Mengenai masa depannya, ezam berkata, beliau merahsiakan keputusannya meninggalkan PKR selama dua bulan kerana pilihanraya kecil Ijok dan kongres nasional parti.

Menurutnya, Anwar mahu menemuinya beberapa sebelum kongres itu diadakan tetapi beliau menolaknya.

Buat masa ini, katanya, beliau tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti atau bertanding dalam pilihanraya umum.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mengadakan perbincangan dengan PAS dan Umno.

“Saya telah menemui beberapa pemimpin mereka di peringkat negeri dan bahagian," katanya.

Sementara itu, Ezam berkata, beliau akan membuat temujanji dengan Perdana Menteri Jumaat ini untuk menyerahkan bukti rasuah terhadap seorang menteri kanan.

Ditanya sama ada ianya ada kaitan dengan masa depan politiknya, Ezam berkata: "Jika setiausaha (Abdullah) mahu bercakap tentang poltik, saya tiada masalah."

Sumber: Malaysiakini.com

No comments: