110 Tahun Terpisahnya Segenting Kra Dengan Tanah Melayu
Ibnu Rusydi
1. Entah mengapa hati ini seakan terusik apabila melihat peta semenanjung Melayu tahun 1895 ini.
2. Ini kerana 14 tahun selepas itu, British dan Siam menandatangani Anglo-Siamese Treaty 1909 tanpa melalui perundingan dan persetujuan dengan Raja-raja Melayu yang menyebabkan terpisahnya segenting Kra dengan Tanah Melayu yang berlanjutan hingga ke hari ini.
3. Sedangkan beberapa wilayah ketika itu yang termasuk ke dalam negara Siam masih memiliki penduduk yang majoritinya Melayu-Islam seperti tujuh (7) negeri-negeri kecil Patani, Chana, Thepa dan Setul.
4. Kesan perpisahan tersebut menyebabkan warisan sejarah Srivijaya yang terdapat di Chaiya seakan terpinggir. Sedangkan Chand Chirayu Rajani (1987) dan Takashi Suzuki (2012) dengan tegas menyatakan 'Fo-Shih' yang dilawati oleh I-Tsing sebelum ke Mo-Lo-Yu (Malayu di Jambi) adalah Jaya (Chaiya), dan bukannya Palembang. Mencadangkan bahawa Srivijaya asalnya bermula dari segenting Kra yang kemudian turun ke bawah semenanjung dan akhirnya barulah bertapak di Palembang, Sumatera (Ingat kisah Raja Suran?).
5. Perpecahan segenting Kra dari Tanah Melayu juga menyebabkan Nagara Sri Dharmaraja (NSD) terus 'hilang' dari buku-buku sejarah tempatan. Sedangkan NSD merupakan sebuah kerajaan milik orang-orang yang digelar sebagai 'Javaka' (Melayu segenting Kra yang mengekalkan anutan agama Buddha).
6. Tetapi ramai juga yang tidak mengetahui, selepas tamat Perang Dunia ke-2, British pernah bercadang untuk memasukkan segenting Kra ke dalam British Malaya.
7. Menurut Chalou (1995) di muka surat 346, Perdana Menteri Britain iaitu Winston Churchill berhasrat melaksanakan cadangan tersebut atas alasan keselamatan, disamping sebagai 'hukuman' terhadap Thailand yang telah bertindak menyebelahi Jepun dalam Perang Dunia ke-2.
8. Namun begitu, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan, antara lain kerana tidak mendapat sokongan dari negara kuasa dunia yang lain seperti Amerika Syarikat.
9. Sejarah Tanah Melayu pada hari ini pastinya berbeza sekiranya British berkeras untuk menggabungkan segenting Kra ke dalam pentadbiran British Malaya selepas Perang Dunia ke-2.
10. Namun dengan tahun 2019 tinggal beberapa hari sahaja lagi, maka genaplah 110 tahun terpisahnya segenting Kra dengan Tanah Melayu hingga ke hari ini!
source : ibnu rusydi
No comments:
Post a Comment