NUFFNANG

Tuesday, 6 June 2017

TOLAK PEMIMPIN YANG MENGANGGAP PELUANG UNTUK DIRI, KELUARGA DAN KRONI...

TOLAK PEMIMPIN YANG MENGANGGAP PELUANG UNTUK DIRI, KELUARGA DAN KRONI...

 

Siapakah dan dari parti manakah selain PAS yang meminta menjadi pemimpin,  sama ada peringkat cawangan, daerah atau bahagian, negeri dan Perdana Menteri di Malaysia hari ini?

Jika menurut kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “adapun ahli dan penyokong PAS yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calon sama ada jawatan penghulu kampung, anggota dewan undangan negeri, parlimen dan jauh sekali siapa calon perdana menteri.”

Menurutnya, selepas mengikuti perbincangan hangat di kalangan semua parti yang berjuang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan begitu galak menamakan calon perdana menteri, nyata sekali hanya PAS yang tidak mencalonkan sesiapa.

Apakah ini menggambarkan bahawa mereka yang dipilih dalam kepimpinan PAS adalah yang ‘menolak-nolak untuk dilantik’ tetapi tercalon dengan sendiri?

Maka kerana dicalonkan mereka menerima jawatan yang ditawarkan itu?

Juga apakah dengan kenyataan ini bermakna PAS tidak berminat untuk menonjolkan calonnya sebagai Perdana untuk memerintah negara ini jika ditakdirkan berpeluang?

Ini kerana kerana jika menonjolkan tokoh pemimpinnya ia tidak memcerminkan kedudukan sebenar dan tidak selari dengan slogan Muktamar PAS terakhir. Sejahtera Bersama Islam.


Meneliti kenyataan Presiden PAS seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam yang bertajuk, “Polemik calon PM: Tolak tokoh meminta-minta jawatan” membawa kepada suatu keadaan di mana setiap individu perlu merasa takut untuk dinobatkan sebagai pemimpin.

Kata Hadi, “orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah.”

Beliau turut menyatakan “semua para Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah”.

Malah beliau turut menyebut  Firman Allah SWT (bermaksud): Ikutlah orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Yasin: 21)

Berdasarkan kepada pandangan Hadi ini, siapakah sebenarnya yang layak untuk memimpin masyarakat Malaysia yang terdiri daripada 52 peratus orang Islam ketika ini?

Membandingkan antara parti yang bertanding dalam pilihan raya akan datang (Pilihan Raya Umum ke-14) nanti – jika berasaskan kepada kenyataan Hadi – apakah UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional, PKR, AMANAH atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh menonjolkan pemimpin mereka yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri?


Maknanya ketua bagi parti-parti berkenaan seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Mohamad Sabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak sewajarnya menjadi Perdana Menteri.

Malah Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut diperkatakan akan diletakkan sebagai ‘Perdana Menteri sementara’ juga tidak layak, walaupun beliau tidak mencalonkan dirirnya?

Apakah yang diperkatakan Hadi ini sebagai suatu sindiran kepaada ketua-ketua parti politik bagi mengatakan dirinya (Hadi) tidak berebut untuk menjadi Perdana Menteri?
         
Atau bagi Hadi sendiri beliau mungkin mempertimbangkannya hanya jika beliau dalam keadaan seperti Umar Abdul Aziz yang diminta menjadi khalifah, dengan menganggap pelantikan itu sebagai bala bencana buat dirinya, namun tetap menjadi amanah Allah.

Apabila diminta berbuat demikian, Hadi akan terus ke masjid, menaiki mimbar dan menyampaikan ucapan: “Saya telah dicalonkan menjadi pemimpin kamu. Jawatan ini adalah juga hak kamu yang tidak boleh dipermainkan. Adakah kamu semua bersetuju saya yang dipilih?”

Apabila seluruh jemaah bersatu suara dengan kuat mempersetujuinya maka Umar menerima pelantikan itu dan bertugas dengan cemerlang.

Dalam konteks Malaysia hari ini, apakah masjid itu boleh digantikan dengan Dewan Rakyat (Parlimen) untuk mengesahkan perlantikannya.

Ini kerana di situlah boleh didapatkan persetujuan semua parti politik, khususnya yang mempunyai majoritI selepas PRU14.


Namun persoalannya, jika PAS tidak mendapat majoriti atau disokong melalui pakatan dengan parti lain, apakah Hadi berpeluang mendapat peluang untuk melakukan seperti Umar Abdul Aziz?

Lalu peluang itu berpindah kepada orang lain tetapi prosesnya tetap sama di mana walaupun seseorang itu meminta, merayu atau mendabik dada mengatakan dia boleh menjadi Perdana Menteri tetapi kalau partinya tidak mendapat majoriti di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimana mereka akan dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar?

Sukar untuk mencari seseorang yang benar-benar berciri dan mematuhi qudwah (contoh) Rasulullah yang yang benar-benar ‘tidak meminta-minta jawatan’.

Apabila seseorang bertanding jawatan presiden parti atau menang tanpa bertanding, atau dilantik atau melantik dirinya sendiri, mereka sebenarnya sudah bergelut dengan jawatan.

Apabila Hadi menyebut ‘orang yang meminta jawatan dan terlalu inginkannya adalah orang yang meringankan kewajipan menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah dan Allah tidak menolongnya. Tetapi kalau orang itu tidak meminta-minta namun diberi jawatan supaya memegang amanah, nescaya diberi pertolongan Allah’, bagaimanakah caranya mencari tokoh atau pemimpin yang bercirikan sebegini di zaman ini?

Memanglah semua Khulafa ar-Rasyidin tidak mencalonkan diri masing-masing menjadi khalifah tetapi bagaimana melaksanakan proses pelantikan ini jika ada pemilihan dalam parti?

Juga bolehkah Hadi terangkan bagaimana pelantikan itu boleh dibuat seperti di era Khulafa ar-Rasyidin dalam kedudukan orang Islam dan bukan Islam hampir sama jumlahnya di Malaysia ketika ini?

Jika apa yang diperkatakan oleh Hadi itu sebagai pernyataan akademik semata-mata dan dalam PAS sendiri pun ada pertandingan dan penonjolan bahawa ‘aku boleh menjadi itu dan ini’, pandangan beliau itu  sebenarnya semakin mengelirukan bukan menjernihkan proses pemilihan seseorang pemimpin.

Yang diperlukan ketika ini ialah pemimpin yang boleh memerintah dengan adil, saksama dan menjadikan negara ini dalam keadaan harmoni dan makmur.


Prasyaratnya jangan dia seorang yang mementingkan kroni, sahabat dan kaumnya semata-mata, apa lagi memerintah dengan zalin.

Rakyat berbagai kaum perlu mendapat pembelaaan sewakarnya dan melalui kejujuran dan sifat amanahnya, negara akan terjamin makmur dan sejahtera.


Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatupadukan rakyat, mempunyai wawasan dan mampu membawa negara ke tahap yang cemerlang yang mana ciri-ciri keIslaman itu diterjemahkan menjadi dasar dan pentadbiran, bukan slogan politik semata-mata.

Kita bukan mahu mengagungkan negara bukan Islam tetapi persoalannya bagaimana sesetengah negara berkenaan  mempunyai ciri-ciri amalan Islam melebihi Malaysia, walaupun akidah rakyatnya bukan Islam.

Persoalannya juga, sebagai orang Islam kita memang mahukan pelantikan pemimpin dilandaskan kepada tuntutan Islam.

Namun dalam kedudukan sekarang, bilakah aganya kita akan mencapai keadaan yang membolehkan seseorang yang dilantik itu selari dengan sabda Baginda SAW iaitu “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan.”


Yang kita cari dan harapkan ialah TIDAK BERTEMU dan TERLEPAS daripada pemimpin yang disebutkan oleh Baginda melalui hadisnya: “Antara kemusnahan umatku pada akhir zaman (ialah) apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni.”

Jika rakyat Malaysia dapat membebaskan dirinya daripada memilih pemimpin dalam kategori seperti itu pada PRU14 nanti, rasanya ia sudah memadai.

Kita perlu berusaha dan berdoa kepada Allah swt supaya mengabulkan permintaan kita. 

Bersatu dan berdoalah agar dihantar kepada kita pemimpin yang beramanah dan berwawsan!

No comments: