NUFFNANG

Wednesday 7 August 2019

I : Bicara SRC: Ahmad Husni dijangka beri keterangan. II : Najib minta jangan campur pelaburan 1MDB. III : Kerajaan Switzerland beku dana SRC - Ahmad Husni


BEKAS Menteri Kewangan II dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bicara SRC: Ahmad Husni dijangka beri keterangan



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II dan bekas Pengurus Perhubungan AmBank antara saksi yang dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak bermula esok.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Joanna Yu antara nama yang sering disebut saksi sebelum ini melalui keterangan yang mereka kemukakan dalam perbicaraan kes berprofil tinggi itu.
Minggu lalu, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Datuk Fauziah Yaacob iaitu saksi ke-53 pendakwaan, selesai memberikan keterangan, bermakna saksi baharu akan dipanggil pada prosiding kali ini.
Melalui keterangan saksi sebelum ini, menyatakan bahawa Ahmad Husni yang ketika itu Menteri Kewangan II menandatangani surat Jaminan Kerajaan bagi pinjaman pertama RM2 bilion yang dibuat SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada tahun 2011.
Saksi itu, bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan & Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, berkata Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi surat jaminan pinjaman tambahan RM2 bilion pada 2012, bagaimanapun dibawa terus kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk pertimbangan dan tandatangan.
Saksi itu berkata, prosedur biasa Kementerian Kewangan bagi mana-mana MJM, ialah ia dikemukakan kepada Menteri Kewangan II untuk pertimbangan dan tandatangan.
Melalui keterangan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, Memo dan MJM bagi suraf jaminan pinjaman kedua itu disokong Ahmad Husni, sebelum dibawa kepada Perdana Menteri untuk dipersetujui.
Sementara itu, mahkamah turut diberitahu bahawa terdapat nama ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, dalam transkrip perbualan melalui telefon Blackberry Joanna yang dirampas pihak berkuasa.
Ia dikemukakan melalui keterangan Pegawai Forensik Digital Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara (BNM) Shuzairizman Shuib. Joanna pegawai yang mengendalikan akaun peribadi Najib di Ambank.
Melalui keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, saksi dicadangkan peguam bela, bahawa perbualannya dengan Joanna yang merujuk seorang individu sebagai ‘kawan’, sebenarnya Jho Low.
source : bh

BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Najib minta jangan campur pelaburan 1MDB - Ahmad Husni



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, memberitahu mahkamah beliau diminta oleh Datuk Seri Najib Razak supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd.
Ahmad Husni, 67, yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-56 pendakwaan hari ini, berkata bekas Perdana Menteri itu meminta beliau tidak terbabit dalam hal itu ketika menyuarakan kebimbangan mengenai pelaburan berkenaan.
“Najib berkata kepada saya ‘Kamu jangan bimbang Husni, dari hari ini dan seterusnya jangan terbabit dan saya tidak mahu kamu campur tangan,” katanya.
Ahmad Husni berkata, selepas beliau mendapat tahu mengenai rancangan pelaburan itu pada 2009, beliau berjumpa Najib untuk menyuarakan kebimbangan berdasarkan beberapa alasan.
“Saya beritahu Najib, kita tidak boleh melabur kerana syarikat itu (PetroSaudi) masih baharu dalam proses cari gali dan kalau tidak jumpa minyak, seluruh pelaburan akan habis.
“Saya kata, orang 1MDB tiada pengalaman dalam bidang minyak dan gas, jadi saya beritahu mengapa tidak ambil PETRONAS saja,” katanya.
Ahmad Husni turut memberitahu mahkamah mengenai kebimbangannya dengan keadaan negara dan Najib berikutan penubuhan 1MDB, sehingga membuatkan beliau menghantar surat peribadi kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada Ogos 2010.
Melalui surat dengan pembuka kata ‘1MDB mengundang kontroversi’, Ahmad Husni berkata beliau menzahirkan kerisauan mengenai prosedur, peraturan dan pengurusan lebih-lebih lagi 1MDB syarikat baharu yang tiada pengalaman.
Ahmad Husni yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Izzat Fauzan pada sesi pemeriksaan utama, berkata beliau turut membangkitkan mengenai risiko operasi iaitu dokumen yang tidak diberikan ketika diaudit.
“Saya tanya kenapa kita memberikan pinjaman daripada badan kerajaan, Najib beritahu ia untuk memperkasakan bidang tenaga... Saya kata biarlah arang batu dibekalkan oleh syarikat swasta.
“Ketika itu saya sedar ada elemen autokratik (kuasa mutlak) dan kita hanya menerima arahan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Husni menyifatkan peranan beliau dalam kelulusan surat jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), hanya semata-mata sebagai ‘budak pejabat’.
Katanya, ia kerana semua keputusan mengenai surat jaminan itu sudah diputuskan terlebih dulu.
“Saya percaya keputusan itu dibuat Datuk Seri Najib Razak. Saya sedar saya tiada apa-apa dalam keputusan ini.
“Kamu tengok Memorandum Jemaah Menteri dibentangkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang turut mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan SRC.
“Surat jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion pertama, Nor Mohamed yang tandatangan, (dan) kenapa yang kedua bukan dia yang tandatangan juga?. Maknanya, saya ini macam budak pejabat saja, bukan ada bincang apa pun tetapi saya tandatangan saja,” katanya.
Ahmad Husni berkata, beliau juga tidak dimaklumkan mengenai penubuhan 1MDB dan itu menyebabkannya bertemu Najib untuk menyuarakan pendapatnya.
“Saya ini jujur dan ikhlas, (Allahyarham Tun Razak (Hussein) adalah bapa angkat saya dan saya kenal kenal Najib sejak 1983. Bila saya tahu 1MDB hendak ditubuhkan, saya beritahu Najib kita tidak boleh lakukan tanpa kajian dari segi risiko industri dan sebagainya.
“Saya beritahu, kita kena buat unjuran kewangan bagi tempoh 10 dan 20 tahun akan datang bagi memastikan ia berdaya maju.
“Najib bagaimanapun beritahu saya, “Saya tahu apa yang saya lakukan,”. Mulai dari itu saya tahu pembabitan saya tidak diperlukan,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis ini.
source : bh

SAKSI, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi.

Kerajaan Switzerland beku dana SRC - Ahmad Husni



KUALA LUMPUR: Dana pelaburan Syarikat SRC International Sdn Bhd yang disimpan di sebuah bank di Switzerland dibekukan oleh kerajaan negara itu atas kesalahan Pengubahan Wang Haram.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, 67, mendedahkan perkara itu dalam keterangan SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Ahmad Husni, dalam pernyataan bertulisnya, berkata, beliau kemudian bertemu dengan Najib dan meminta keizinan untuk membawa delegasi daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membawa dokumen bagi membuktikan wang berkenaan adalah pinjaman daripada KWAP, dan tidak sepatutnya dibekukan di bawah kesalahan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, saksi ke-56 pendakwaan itu, berkata, Najib tidak memberikan persetujuan kepada beliau untuk bertindak sedemikian.
Ahmad Husni, berkata sepanjang penubuhan SRC, beliau tidak dirujuk dan diberikan sebarang dokumen mengenai syarikat itu dan pelaburan yang dilaksanakan.
“Saya kemudian meminta Dr Isa, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Pelaburan untuk membuat lawatan ke Jawa, Indonesia, bagi memastikan kewujudan pelaburan berkenaan, bagaimanapun ia tidak dilakukan.
Ahmad Husni, berkata beliau hanya mengetahui mengenai SRC pada pembentangan Mesyuarat Jemaah Menteri oleh Tan Sri Nor Mohamad Yakcop ketika syarikat itu perlu mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada KWAP.
“Selepas itu, saya menemui Najib untuk membangkitkan tentang tujuan memberi pinjaman yang besar kepada SRC yang juga anak Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa penubuhan SRC adalah bertujuan supaya bidang tenaga elektrik diperkasakan dengan adanya pemilikan oleh syarikat milik kerajaan yang mempunyai pembabitan dalam perlombongan arang batu,” katanya.
Ahmad Husni, berkata beliau kemudian memaklumkan kepada Najib bahawa perlombongan arang batu seharusnya membabitkan sektor swasta dan bukannya oleh syarikat milik kerajaan.
“Najib berkata pembabitan kerajaan dalam perlombongan arang batu akan dapat memperkasakan bidang tenaga elektrik.
“Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamad Yakcop diluluskan dan kerajaan bersetuju untuk memberikan jaminan tersebut,” katanya.
Ahmad Husni, berkata pegawai di Kementerian Kewangan kemudian menyediakan surat jaminan kerajaan untuk beliau tandatangan atas kapasiti Menteri Kewangan II.
Katanya, beliau mengetahui daripada pegawai MKD bahawa sejumlah RM4 bilion, iaitu keseluruhan pinjaman daripada KWAP, antaranya digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, Indonesia; pelaburan sumber asli di Mongolia dan simpanan bank di Switzerland dan Hong Kong.
source : bh

No comments: