NUFFNANG

Sunday, 16 March 2008

Kekecewaan Rakyat Semakin Memuncak

Kekecewaan Rakyat Semakin Memuncak
Pak Lah Undurlah Sebelum Diundurkan..

Ruhanie Ahmad

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, sesungguhnya mengambil satu langkah yang tepat, jelas, tegas dan berani bila beliau mengirimkan sepucuk warkah mendesak Datuk Seri Abdullah Badawi meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO untuk membolehkan “UMNO, BN dan negara” dipulihkan dengan jayanya.

Mukhriz bertindak begitu “atas sifat sayangkan bangsa dan negara” dan “dengan niat untuk menyelamatkan keadaan yang amat mencemaskan.” [kandungan penuh surat Mukhriz kepada Abdullah boleh diakses di lamanweb http://www.mykmu.net/]

Apa yang Mukhriz suarakan menerusi suratnya adalah sesuatu yang benar dan hakiki. Ia mewakili aspirasi majoriti rakyat jelata Malaysia yang memang marah dan kecewa dengan Abdullah. Keputusan PRU12 adalah manifestasi kemarahan dan kecewaan ini secara hitam-putih, terang dan nyata.

Saya sendiri merupakan antara ahli UMNO yang sejak November 2007, telah mendesak Abdullah meletakkan semua jawatan parti dan kerajaan demi agama, bangsa dan tanah air. Contohnya, adalah beberapa posting saya selepas peristiwa gelombang kuning akhir tahun lalu.

Beberapa komen pembaca yang saya paparkan di sidebar blog ini adalah bukti-buktinya. Contohnya, saya bertanggungjawab memaparkan komen Kakitidur sejak 30 November 2007, untuk tatapan pengunjung blog ini hingga ke saat ini.

Gelombang Rakyat

Komen berikutan kebangkitan gelombang rakyat mulai akhir 2007, berkata: (Abdullah) bertaubatlah dengan melepaskan jawatan kerana sekarang anda telah jauh menyimpang dari apa yang anda laungkan dahulu. Anda tersesat jalan kerana dipimpin oleh seorang anak muda yang tiada berilmu akhirat. Kita rakyat Malaysia tidak mahu melihat anda kelak kecundang dengan limpahan fitnah dan dosa. Ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan, menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudia tiada gunanya!

Saya juga siarkan komen Kamal-Kamal sejak 18 Disember 2007, hingga sekarang. Katanya: Rakyat Malaysia tidak kerugian sekiranya Abdullah berundur dengan cara terhormat. Sebagai anak dan cucu ulama, saya rasa elok Abdullah bertindak sedemikian. Abdullah patut sedar, sebelum beliau melakukan lebih banyak kesalahan terhadap rakyat Malaysia, ada baiknya beliau berundur.

Komen Politica dalam blog ini pada 25 November 2007, saya cedok pula ke dalam buku saya Gelombang Kuning Gelombang Rakyat. Antara lain, Politica berkata: Rakayat makin derita berketuakan Abdullah. Negara tambah kucar-kacir dipimpin Abdullah. Demi rakyat dan demi negara, Abdullah kenalah korbankan jawatannya yang sedang jadi sumber rezeki seluruh lintah darat di sekelilingnya.

Satu lagi komen yang mendesak Abdullah berhenti seawal 26 November 2007, adalah daripada Penjaga Kandang Kuda. Komen ini juga saya siarkan dalam buku Gelombang Kuning Gelombang Rakyat. Antara lainnya, ia menyatakan: sambut dan terimalah cadangan rakyat jelata Malaysia dengan dada terbuka, dengan cara bermaruah, dan cara terhormat, meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan serta-merta.

Berikutan keputusan PRU12, saya poskan ke blog ini pada 4.56 pagi 9 Mac 2008, tulisan saya bahawa Abdullah wajar mengosongkan kerusi Pengerusi BN dengan serta merta dan tidak lagi layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kekecewaan Memuncak

Saya mengambil pendirian di atas kerana keputusan PRU12 membuktikan kekecewaan rakyat jelata terhadap Abdullah yang memuncak sejak demonstrasi gelombang kuning pada akhir 2007, bukannya ilusi.

Malangnya, sehingga kini, Abdullah tetap enggan menerima realiti ini. Beliau tetap yakin kepimpinannya masih mantap. Inilah dalilnya beliau memang dijangkiti sindrom penafian yang amat kronik.

Abdullah seharusnya sedar, BN hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Abdullah seharusnya insaf, prestasi BN di Wilayah Persekutuan amat menyedihkan. Abdullah seharusnya mengakui, gembar-gembor beliau untuk menawan semula Kelantan hanya berakhir dengan kekalahan teruk - yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran!

Namun begitu, pada Ahad, 9 Mac 2008, Abdullah berkata beliau “tidak akan meletakkan sebarang jawatan kerana tidak berasa tertekan."

Kini, warga maya Malaysia membuktikan wujudnya tekanan yang ditunggu-tunggu oleh Abdullah. Sejak tamatnya PRU12, berjuta-juta perkataan dikirimkan kepada berpuluh-puluh lamanweb tempatan pada setiap hari untuk menekan Abdullah supaya berhenti dengan serta-merta dan secara terhormat.

Sentimen marah dan kekecewaan rakyat jelata di peringkat akar umbi, termasuklah ahli UMNO dan pendukung BN, juga kian memuncak di seluruh negara.

Veteran UMNO

Beberapa veteran UMNO pula menghubungi saya bahawa UMNO akan hancur jika Abdullah tidak meletakkan jawatan dengan segera. Kata mereka, beberapa badan bertindak akan wujud. Mesyuarat cawangan-cawangan UMNO mulai April 2008, pula akan dijadikan saluran undi tidak percaya kepada Abdullah. Jika ini berlaku, Abdullah akan terguling secara hina.

Dalam konteks ini, Abdullah diingatkan bahawa veteran UMNO bukannya sekadar Tan Sri Aziz Tapa daripada Melaka. Veteran Ahli-Ahli Parlimen UMNO pula bukan sekadar Tan Sri Abu Zahar Ujang dari Negeri Sembilan. Jadi, jangan hanya berdasarkan kenyataan dua insan ini maka Abdullah berasa kumpulan veteran UMNO seluruhnya merestui beliau untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri sesudah PRU12.

Abdullah, insaflah. Apa yang saya suarakan menerusi blog ini sejak November 2007, sudah menjadi kenyataan. Iaitu, jika Abdullah terus dijebak sindrom penafian, BN akan kecundang dalam PRU12.

Desakan rakyat jelata yang mahukan Abdullah berhenti jadi Perdana Menteri juga sudah diterjemahkan dalam bentuk undi menerusi PRU12.

Kini Abdullah masih diberi peluang untuk mengundurkan diri secara terhormat dengan seberapa segera. Jika Abdullah gagal, kemungkinan besar beliau akan menerima pengadilan rakyat. Kemungkinan besar akan ada pihak yang akan melancarkan sesuatu tindakan aman, tetapi berkesan, untuk menyingkirkan Abdullah.

Warkah Desakan

Lantaran itu, Abdullah perlu akur kepada kehendak rakyat. Lantaran itu, janganlah Abdullah dan mana-mana pihak mempolitikkan warkah desakan daripada Mukhriz. Lantaran itu, Abdullah perlu bebaskan diri daripada belenggu denial syndrome dan mengosongkan kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan segera.

Kini banyak pihak menerima maklumat bahawa menantu Abdullah dikatakan sedang dalam persembunyian di sebuah “pulau” di selatan Semenanjung. Ini membuktikan dia mungkin sememangnya talibarut kepada kuasa “di pulau” berkenaan.

Oleh itu, jangan diperlekehkan suara rakyat ketika ini. Suara ini berada di mana-mana. Suara ini muncul dalam bentuk warkah desakan Mukhriz, tulisan saya menerusi blog, kain rentang desakan yang mula dikesan terpampang di beberapa lokasi di seluruh negara, dan lebih penting lagi, terbukti menerusi keputusan PRU12.

Abdullah, insaflah. Kini sudah ramai rakyat jelata menyatakan bahawa anda adalah “merak buih” yang jadi punca kepada seluruh bencana mutakhir ini. Oleh itu, jangan anda tipu diri sendiri dan jangan anda terus terpedaya dengan kata-kata manis pencipta mimpi [the dream makers] dan kumpulan pedagang mimpi [the dream merchants] yang kini berada di sekeliling anda. Kelompok ini adalah sokong membawa rebah.

Abdullah. Dengarlah kehendak rakyat. Hormatilah tuntutan rakyat. Akurlah kepada suara hati rakyat. Kosongkanlah kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan serta-merta demi agama, bangsa dan negara!


comment : well pak lah...the rakyat have spoken. you did asked the rakyat to 'voice' them in the ballot box!"

No comments: