Dipetik dari Malaysiakini.com
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) akan “dimasuki oleh perompak dan penyangak dan orang Melayu menjadi hamba”.
Katanya, apabila WPI tidak menggunakan pasport, semua orang dari mana sekalipun boleh masuk ke wilayah tersebut.
WPI adalah kawasan pembangunan seluas 2,200 km persegi di Johor yang membabitkan pelaburan RM47 bilion bagi menjana pertumbuhan dan aktiviti ekonomi antara tahun 2006 dan 2010, serta RM335 bilion lagi dalam tempoh 15 tahun (2011-2025).
“Siapakah yang akan melabur dan membina bangunan di kawasan itu? Sudah tentu orang Israel kerana mereka ada kedutaan di republik itu (Singapura),” kata Dr Mahathir lagi.
“Apabila bebas masuk, tidak ada ada orang periksa, perompak dan penyangak pun bebas masuk (WPI).
“Apabila orang tidak periksa, mana kita tahu ada perompak dan penyangak masuk WPI,” katanya ketika berucap di majlis forum rakyat mengenai kepimpinan Melayu dalam era globalisasi anjuran Umno cawangan Kulai Besar di Kulai, Johor hari ini.
Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan menjadi hamba kerana tanah milik mereka terpaksa dijual kepada pelabur asing yang menawarkan harga yang tinggi.
Katanya, adakah orang Melayu boleh menolak jika tanah mereka ditawarkan harga tiga kali ganda daripada harga semasa.
Dijajah semula
“Saya ingin bertanya kepada orang Johor, adakah mereka rela tanah mereka digadai kepada orang asing itu (Singapura),” katanya.
Tetapi, katanya, orang Johor tidak membantah seolah-olah mereka rela negeri mereka dijajah semula.
Dr Mahathir berkata, beliau percaya kepada kebolehan orang Melayu tetapi mereka tidak boleh bersaing apabila berada dalam WPI..
Bekas Perdana Menteri juga menyindir jika WPI dibuka kepada semua orang luar, mengapa kawasan lain tidak berbuat demikian.
“Pergilah buka kampung-kampung Melayu kerana kawasan itu tidak ekonomik kepada pembangunan Negara.
“Serahkan kawasan tersebut kepada orang asing dan biar orang Melayu tinggal atas pokok,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment