"I love you" ungkapan terakhir pramugara kepada isteri
SHAH ALAM: "I love you" adalah kata-kata terakhir diungkapkan pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan kepada isterinya Intan Maizura Othaman beberapa jam sebelum pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Kata-kata itu jugalah akan sentiasa menjadi kenangan manis buat Intan Maizura, 34, yang kini sarat mengandung anak kedua mereka. Menceritakan mengenai detik beberapa jam sebelum pesawat dinaiki suaminya hilang, wanita itu berkata Mohd Hazrin terlepas kenderaan disediakan oleh pihak MAS untuk kakitangan bertugas pada malam 7 Mac.
Beliau berkata suaminya yang komited dengan tugas kemudian meminta beliau menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Intan Maizura berkata dalam perjalanan ke lapangan terbang, mereka bersembang seperti biasa dan Mohd Hazrin ada memegang tangan serta mencium tangannya.
"Kata-kata terakhirnya pada saya malam itu ialah "I Love you". Kata-kata itu akan sentiasa menjadi memori yang manis dengan dia.
"Mohd Hazrin bukan sahaja seorang suami malah adalah sahabat karib saya. Saya terlalu merinduinya, namun saya redha dengan apa yang berlaku dan menganggap dia pergi ke destinasi berikut seperti biasa tetapi jika dia kini berada di Lautan Hindi, bersemadilah dengan tenang," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini malam ini.
Intan Maizura berkata anak sulung mereka, Iman, 4, kerap bertanya mengenai bapanya sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai perkembangan terbaru penerbangan MH370 pada Isnin lepas.
"Sehari selepas pengumuman itu saya beritahu anak saya bahawa bapa pergi kerja dan kapal terbang dinaiki bapa rosak serta tidak akan balik kerana bapa sudah berada di syurga.
"Bila dia (Iman) meminta berjumpa dengan bapanya, saya beritahu supaya banyak berdoa dan akan berjumpa. Alhamdulillah, dia faham dan tidak pernah bertanya lagi," katanya.
Walaupun sedih mendengar pengumuman Perdana Menteri bahawa penerbangan pesawat dinaiki suaminya berakhir di Lautan Hindi, Intan Maizura redha dan menerimanya dengan hati terbuka.
Wanita itu juga yakin beliau mampu meneruskan kehidupan terutama dalam membesarkan anak-anaknya kelak dengan sokongan daripada anggota keluarga serta rakan-rakan.
"Sebagai orang Islam, kematian itu sudah pasti dan merupakan janji Allah jadi, kita harus redha serta sentiasa mendoakan orang tersayang," katanya. - BERNAMA
source : bh
No comments:
Post a Comment