Anwar Dijangka Tukar MB Selangor Dalam Tempoh Terdekat – Ketua AMK
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membawa cadangan perubahan dalam kerajaan negeri Selangor terutamanya dalam percaturan PKR meletakkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar ke peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin berkata cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat tertinggi Pakatan untuk dibincangkan dan diputuskan secara bersama antara PAS-PKR-DAP.
Ujar beliau, persetujuan konsensus Pakatan penting bagi melengkapkan dan meneruskan agenda ‘Kajang Move’ ekoran kemenangan Wan AZizah pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 23 Mac lalu menewaskan calon BN yang juga Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.
“Saya fikir Datuk Seri Anwar akan panggil tindakan menggunakan perbincangan, kita sekarang masih lagi dalam suasana kempen untuk Balingian.
“Mungkin selepas pilihan raya kecil Balingian akan diadakan beberapa sesi perbincangan dan pertemuan tentang bagaimana kaedah untuk kita melengkapkan langkah Kajang (Kajang Move),” katanya kepada Antarapos.
Sebelum ini, desas-desus mengenai perubahan jawatan yang disandang oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim timbul di sebalik peletakan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pada 27 Februarilalu.
Malah, keputusan PKR meletakkan Anwar yang juga ketua umum parti itu pada peringkat awal sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang kemudiannya digantikan oleh isterinya Wan Azizah sebelum ini juga turut dikaitkan dengan usaha parti itu untuk menukar Menteri Besar Selangor yang dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’.
Kemenangan Wan Azizah dalam pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac memperlihatkan bibit-bibit perubahan jawatan Menteri Besar Selangor terus kedengaran selain diperkuatkan dengan kenyataan Anwar bahawa PKR tidak menolak kemungkinan perbincangan itu akan diadakan.
Bagaimanapun PAS melalui naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perubahan jawatan Menteri Besar setakat ini tidak perlu kerana ia bukan keperluan utama.
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abd Samad mengambil sikap berhati-hati dengan mahu mendapatkan pengesahan dan juga makluman rasmi daripada PKR sebelum memberikan respons balas.
Dalam laporan Antarapos hari ini, Tuan Ibrahim meminta PKR menghormati kerjasama politik dalam Pakatan dengan membawa segera cadangan itu ke peringkat tertinggi gabungan itu.
Ini kerana jelas beliau, perkara itu perlu dilakukan sekiranya PKR benar-benar berhasrat melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Perubahan perlu dilakukan demi menjayakan ‘Kajang Move’
Menurut Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, perbincangan awal di peringkat parti telah selesai dan perkara itu akan dibincangkan secara lebih terperinci pada peringkat seterusnya.
Tambah beliau lagi, PKR melihat keperluan untuk melakukan perubahan dan perancangan komprehensif perlu bagi merealisasikan agenda ‘Langkah Kajang’.
“Saya fikir itu pandangan peribadi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara ini seperti mana saya sebutkan kita masih belum bincang lagi secara teliti untuk fasa yang kedua.
“Ini tentunya memerlukan perancangan yang komprehensif yang bukan sahaja membabitkan PKR tetapi juga komponen Pakatan Rakyat iatu PAS dan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, wakil rakyat penggal pertama ini berkata kemenangan PKR di Kajang lebih bermakna sekiranya beberapa perubahan penting dilakukan.
“Tentunya ia memerlukan ruang perbincangan yang agak selesa, pada saya oleh kerana langkah Kajang ini bertujuan untuk memperkasakan serta merancakkan lagi agenda politik di Selangor saya fikir tentunya akan ada perubahan.
“Kalau tidak (ada perubahan), kita tidak akan membuangkan apa yang kita sebut menggunakan sumber-sumber kewangan dan tenaga yang begitu banyak untuk menjayakan langkah Kajang kalau tidak ada apa-apa perubahan yang ‘significant’ dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Ujar Shamsul Iskandar lagi, perubahan dalam barisan kepimpinan biasa berlaku dan ia bukan satu perkara yang perlu diperbesarkan.
Tambahnya, PKR akan membincangkan perkara itu di peringkat tertinggi Pakatan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil parti itu.
“Jadi tentunya ini akan berlaku cumanya kaedah pendekatan, persefahaman dan persetujua itu akan dilakukan dalam suasana Pakatan Rakyat,” katanya.
PKR mempertahankan kerusi DUN Kajang yang dimenangi sejak 2008 pada pilihan raya kecil kali ini dengan majoriti lebih rendah iaitu 5,379 undi berbanding 6,824 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Wan Azizah memperoleh 16,741 undi mengatasi Mei Fun yang meraih 11,362 undi manakala sebanyak 176 undi ditolak – Antarapos
source : aidc
No comments:
Post a Comment