Soalan untuk dijawab MCA
(Sinar Harian 12.10.15)
Pemimpin MCA berkata saya buta politik dan mahukan saya masuk dalam parti mereka untuk diajar lebih mendalam tentang politik dan cara hidup orang Cina. Sila semak daftar ahli MCA.
Sebelum MCA mahu mengajarkan saya, saya cadangkan MCA baca bahan ilmiah saya bertajuk persepsi Cina terhadap Umno, untuk mengetahui sama ada saya memahami budaya politik Cina atau tidak.
Saya sebenarnya bukan mahu jadi begini, sebagaimana dipersepsikan oleh MCA dan ultra kiasu yang lain. Saya tetap Cina sampai mati kerana itulah hakikat ciptaan Allah. Tidak ada ertinya saya memeluk Islam jika saya anti Cina.
Saya terpaksa jadi begini, sehingga dituduh rasis atau anti Cina, kerana ultra kiasu terlalu mengasak Islam, sehingga ruang untuk Islam bernafas menjadi sempit. Berpolitik boleh, tetapi jangan campurtangan dalam hal ehwal Islam, kerana kami tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama lain.
Suka atau tidak, MCA dan ultra kiasu yang lain kena menerima hakikat bahawa warna-warni Malaysia tidak dapat lari dari bertunjangkan kepada sistem kenegaraan Melayu Islam (Malay polity atau Malaya canopy). Itulah sejarah dan asal-usul semua negara yang berasaskan bangsa.
Apapun, sebelum MCA mahu mengajar saya tentang politik Cina, mohon jawab dahulu beberapa persoalan ringkas yang saya kemukakan.
Pertama, soalan politik. Apakah kerusi yang dimenangi hari ini kerusi kawasan majoriti Cina atau Melayu? Majoriti undi yang diperolehi di kawasan yang ditandingi sebelum ini, sebelum dipinjamkan kepada Umno, terutama kerusi Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju, undi Cina atau undi Melayu yang memberi kelebihan? Kepada siapa MCA sepatutnya berterima kasih?
Apakah MCA mempunyai pengaruh di kalangan orang Cina? Jika MCA kuat, kenapa semua kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Cina, kalah teruk? Kenapa tidak meletakkan calon Cina Muslim bertanding kawasan majoriti Melayu? Adakah MCA prejudis terhadap Islam?
Kedua, soalan Pendidikan. Kenapa MCA bersekongkol dengan ultra kiasu bermati-matian mempertahankan operasi SJKC dengan menolak penambahanbaikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)? Kenapa SJKC tidak mahu ikut arahan kerajaan agar masa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu BM) ditambah?
Ketika KPM mencadangkan agar subjek sejarah yang baru diperkenalkan di semua Sekolah Rendah diajar dalam BM, kenapa MCA tidak memberikan sokongan, malahan bersekongkolkan dengan ultra kiasu agar ia diajar dalam bahasa ibunda sehingga KPM terpaksa tunduk?
Kenapa Sekolah Wawasan (SW) gagal mendapat perhatian orang Cina walaupun SJKC ada di situ? Kenapa MCA tidak berkempen memperbanyakkan SW daripada SJKC? Kenapa MCA turut bersetuju dengan tuntutan ultra kiasu agar guru Melayu yang mengajar BI dan BM di SJKC, mesti mendapat kredit dalam bahasa mandarin di peringkat SPM? Kenapa syarat kredit mandarin dimestikan sehingga KPM terpaksa akur?
Kenapa MCA hanya senyap apabila silibus dan peperiksaan BM di SJKC lebih mudah daripada Sekolah Kebangsaan (SK)? Kenapa silibus dan peperiksaan BM tidak diseragamkan supaya kita berlaku adil? Mana lebih utama, BM atau bahasa ibunda?
Apakah MCA tidak tahu bahawa orang Melayu (Islam) yang menghantar anaknya ke SJKC bertujuan untuk menguasai bahasa lain bagi tujuan dakwah, bukan terlalu obses dengan SJKC seperti yang saya lakukan sendiri? Kenapa hujah ini selalu dijaja?
Jika MCA mengatakan sekolah vernakular bukan punca masalah perkauman, bolehkah MCA berikan statistik berapa ramai pelajar-pelajar yang gagal BM dalam UPSR dan berapa ramai pula yang langsung tidak boleh bertutur dalam BM. Termasuk juga di kalangan orang dewasa?
MCA, Gerakan dan ultra kiasu selalu mendesak kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina. Bolehkah MCA jelaskan apakah bentuk silibus dan kurikulumnya? Kenapa UEC tidak patuh kepada kehendak KPM?
Kini, Kerajaan Sarawak telah mengiktriraf UEC. Kenapa MCA mendesak agar kerajaan pusat mengikut langkah kerajaan Sarawak? Tidakkah MCA tahu bahwa EUC tidak berkiblatkan silibus dan kurikulum KPM? Majlis Peperiksaan UEC bukan datang dari KPM? Apakah kita boleh membina peperiksaan dalam peperiksaan, sama seperti membina negara dalam negara?
Hayati apa yang dikatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, The Chinese and Tamil schools are actually not protected under the constitution. The constitution only permits the right to learn the language but doesn't give you the right to learn in the language. There's a difference. Non-Malays conceded an electoral system with the rural weightage, they conceded the fact that there would be Islam, Malay language, Malay special position and that the royalty is all Malay (The Star 5 Mei 2013).
Kepada orang Melayu, fahamilah, bahawa ultra kiasu terpaksa bertindak sebegini kerana populasi mereka semakin sedikit disebabkan mereka tidak beranak ramai. Populasi mereka akan semakin mengecil dari tahun ke tahun. Jika trend terus berlaku, bermakna hak mereka akan semakin sedikit. Inilah yang menjadikan mereka terpaksa menjadi sedemikian rupa
source : ridhuan tee
No comments:
Post a Comment