[#najibiscracking : artikel menarik mesti baca oleh semua ahli umno demi agama, bangsa dan tanahair!] ... 5 Lagi Sebab Mengapa Kepimpinan Rejim Najib Ini Terburuk Dalam Sejarah
Di dalam artikel “10 Reasons Why Najib Razak And His Regime Is The Worst” yang lepas, kita sudah membincangkan 10 sebab pertama mengapa kepimpinan Dato Sri Najib Razak adalah yang paling teruk dalam sejarah Malaysia.
Berikut adalah pelbagai lagi contoh yang boleh menguatkan lagi anggapan tersebut.
Sebelum itu, dukacita dimaklumkan bahawa sebuah kaji selidik yang di jalankan dalam bulan Ogos lalu telah mendapati bahawa 4 dari 5 rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan kerajaan Najib Razak. Ini merupakan kedudukan terburuk yang pernah diraih di sepanjang pentadbiran rejim beliau.
Bagaimana ini boleh berlaku? Bagaimana majoriti penduduk Malaysia, dari peringkat Majlis Raja Raja hinggalah ke rakyat marhaen, boleh hilang kepercayaan kepada Najib Razak?
Ini kerana kerajaan ini diketuai oleh barisan kepimpinan yang tidak segan silu melakukan sesuatu perkara yang buruk secara sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh:
1) Mereka semua adalah hipokrit
Dalam bulan Februari 2012, Najib Razak telah membuat ucapan berikut:
“Setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik samaada di peringkat pusat mahupun negeri,hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti. Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian. Kerajaan percaya inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah dan penyelewengan..”
Akan tetapi, Najib sendiri tidak mengikut apa yang beliau cakap. Beliau sendiri berkata bahawa apa-apa sumbangan mesti masuk akaun rasmi parti, kerana ini akan mengelakkan perbuatan rasuah dan penyelewengan. Tetapi perbuatannya dengan selamba menerima ‘derma’ berbillion ringgit (RM2.6 billion) dari sumber yang tidak diketahui, malah tidak mahu dijelaskan dengan terperinci kepada umum telah mengakibatkan beliau sendiri dikecam teruk oleh masyarakat dalam dan luar negara.
Berita bahawa beliau menerima RM42 juta ringgit dari syarikat anak milik kerajaan bernama SRC International juga telah memeranjatkan semua pihak.
Seolah-olah seperti si Qarun tiba tiba mendapat harta karun yang banyak tetapi dibuat secara senyap-senyap hinggakan timbalan beliau dan semua ahli majlis tertinggi Umno pun tak tahu menahu pasal rahsia tersebut.
Ahli-ahli Umno tak malu ke ada Presiden macam ni?
Bila dah terhantuk, baru nak tengadah. Baru nak terhegeh-hegeh menerangkan pada orang ramai apabila rahsia kemasukan wang tersebut terbongkar. Punyalah kelam kabutrejim beliau nak pertahankan penerimaan wang tersebut dengan menggunakan pelbagai alasan; dari hendak pertahankan Malaysia dari ancaman Yahudi, sebagai terima kasih kerana melawan ISIS, hinggalah kerana Malaysia memegang ajaran Sunnah Wal Jamaah. Tidak masuk akal sama sekali!
Ini kerana hingga kini, Najib Razak tidak membentangkan apa-apa bukti tentang perbelanjaan yang beliau lakukan dari RM2.6 billion dan RM42 juta tersebut. Mana buktinya? Setakat cakap dengan air liur saja mana cukup. Kita rakyat Malaysia ingin tahu secara keseluruhannya baru lah kita boleh percaya bahawa Perdana Menteri tidak menggunakan sesen pun wang tersebut untuk kepentingan peribadi. Apabila siasatan dilakukan, dengan licik mereka menukar anggota penyiasat dan melambatkan siasatan.
Berani bentangkan kerana benar, takut bentangkan kerana memang dah terbelanja untuk kepentingan peribadi ke?
Sebarang usaha nak melindung kewajaran Najib menerima bertimbun-timbun wang tersebut memanglah tidak boleh diterima akal. Masakan tidak, pada awalnya Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan pun dengan keras berkata, “Perdana Menteri bodoh mana yang akan mengambil RM2.67 bilion untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Jika benar, ia adalah kebebalan yang terlalu amat sangat.”
Pada masa kini, terbukti sudah bahawa wang tersebut memang dimasukkan di dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Hairan juga kenapa Ahmad Maslan masih lagi nak bekerja di bawah Perdana Menteri yang menurut beliau, ‘bebal yang terlalu amat sangat’?
Mengapa juga rakyat Malaysia patut dipimpin oleh Perdana Menteri seperti ini?
2) Mereka lupa sejarah
Najib Razak dan kuncu-kuncunya adalah orang yang lupa sejarah. Kita ingat pada bulan lepas bila Najib cuba perli Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan mengatakan jawatan Menteri Besar Kedah tersebut diberikan juga kepada Mukhriz walaupun ramai lagi Adun yang lebih ‘senior’ dari Mukhriz sepatutnya jadi Menteri Besar.
Macam lah Najib masa jadi Menteri Besar Pahang dalam tahun 1982 ketika berumur baru 29 tahun tidak ada Adun yang lagi senior masa tu. Siapa Perdana Menteri yang lantik dia? Ada dia nak cakap terima kasih dan ingatkan diri sendiri pasal lantikan tu?
Semalam, seorang Menteri di Kementerian Blog ada menulis dalam blog dia mengenai betapa setianya Najib ketika menjadi Timbalan Presiden kepada Tun Abdullah Badawi. Ya, Najib Razak memang amat setia, sebab itu semasa Pak Lah umum tidak bertanding dalam Perhimpunan Agung Umno, dia langsung tak berkeras menyatakan kepada orang ramai supaya Pak Lah jangan letak jawatan.
Ada dia nak berlari-lari ke arah rostrum menghalang Pak Lah dari berbuat demikian seperti mana Tan Sri Rafidah Aziz lakukan terhadap Tun Dr Mahathir 13 tahun dahulu?
Ya, pada mulanya memang Najib menyokong Pak Lah sejurus selepas pilihanraya 2008. Tapi keadaan berubah lima bulan selepas itu,apabila akar umbi dan ketua-ketua bahagian menolak Pak Lah. Menteri blogger tu tak payah lah nak cerita sejarah sekerat-sekerat. Dia bukannya ada di tempat kejadian pun.
Faktanya di sini, Najib adalah penerima manfaat terbesar (greatest beneficiary) apabila Pak Lah turun dari takhta. Tak nak secara terbuka ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin? Sebab beliau lah, akhirnya tuan Presiden boleh dapat ‘derma’ RM2.6 billion ye tak? Kalau betul lah Najib tak mahu mengkhianati Pak Lah, kenapa dia tak berdiri teguh bersama-sama Pak Lah untuk menghadapi pilihanraya umum tahun 2013?
Di sini kita boleh lihat bahawa kita boleh menukar Perdana Menteri pada bila bila masa, tidak payah tunggu pilihanraya pun. Najib sendiri melakukannya dalam tahun 2009 apabila dia menurunkan Pak Lah. Tun Mahathir pun bersara bukan sebab kalah pilihanraya. Begitu juga Tun Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman. Peralihan kuasa dalam Umno tidak menyebabkan kerajaan Barisan Nasional tumbang.
Idealogi yang Najib war-warkan bahawa Perdana Menteri hanya boleh ditukar jika kalah pilihanraya umum sememangnya tidak berpandukan sejarah dan mempunyai elemen kediktatoran.
Takkan nak tunggu sampai pembangkang menang pilihanraya, dan Barisan Nasional dah jadi pembangkang baru terhegeh-hegeh nak tukar Presiden Umno? Siapa dalam Umno yang akan jadi Ketua Pembangkang ketika itu? Molek sangat ke untuk di dengar, yang Presiden Umno dah jadi ketua pembangkang selepas 2018?
Menteri Blogger usahlah nak jadi kaki bodek. Buat lah kerja betul betul. Jangan jadi buta dan tuli seperti para menteri yang lain. Semuanya sudah bisu dan penakut. Kalau yang bukan bisu pun, mereka bercakap tidak masuk akal. Ketika Muhyiddin Yassin dan Datuk Shafie Apdal menentang penyalahgunaan SOSMA, ada menteri berkata, dulu Muhyiddin Yassin jugak yang menyokong SOSMA. Punyalah gelihati kita mendengarnya. Rakyat Malaysia sememangnya ramai yang menyokong SOSMA kerana ianya untuk menentang keganasan dan terrorisma. Yang mereka berdua dan orangramai menentang adalah penyalahgunaan kuasa undang undang tersebut.
3) Mereka semua tidak boleh dipercayai
Di dalam ucapan Belanjawan 2016 Jumaat lepas, pandai pula Najib meminta rakyat mempercayai dan memberi keyakinan kepada kepimpinan beliau:
“Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah… letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan, bahawa inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.”
Bagaimana mungkin nak percaya pada kerajaan jika seringkali cakap tak serupa bikin? Nak beritahu hal sebenar pasal ‘derma’ berbillion pun susah, ini pulak nak suruh kita percaya pada dia bulat-bulat. Ingat tak dulu bila GST mula nak diperkenalkan? Apa yang mereka berjanji pada kita semua?
Bahawa GST tidak akan membebankan rakyat, kutipan tersebut untuk membina hospital dan infrastruktur yang lain. Tidak kurang juga ada yang berkata bahawa hasil kutipan GST akan dikembalikan kepada rakyat.
Tetapi di dalam Belanjawan yang baru ini tiba tiba Najib Razak berkata: “Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.”
Kesimpulannya, rakyat terpaksa membayar kadar tol lebih tinggi untuk menolong kerajaan membayar perbelanjaan belanjawan, GST pula dikenakan kepada rakyat untuk kerajaan mendapat duit lebih untuk membayar perbelanjaan negara, dan akhir sekali rakyat terpaksa bayar lebih mahal untuk petrol, gula dan sebagainya kerana subsidi telah dihapuskan agar kerajaan boleh berjimat supaya ada duit lebih untuk menampung dasar fiskal.
Ini melanjutkan kita kepada sebab berikutnya..
4) Rakyat pula yang kena bagi subsidi pada kerajaan!
Jika negara sudah dapat berbillion dari pengorbanan rakyat, mengapa janji-janji bahawa wang GST akan dikembalikan tidak boleh ditepati?
Najib sendiri berkata kutipan GST tahun ini adalah RM39 billion. Jika sistem SST tidak dihapuskan, ianya hanya boleh menjana kutipan sebanyak RM18 billion sahaja. Di situ, sudah ada tambahan pendapatan sebanyak RM21 billion.
Tak cukup dengan itu, kerajaan sudah berjimat ratusan juta kerana tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat-syarikat tol baru baru ini. Rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan tersebut. Jika kerajaan ini pandai dan bagus, dan tidak perlu menyelamatkan 1MDB dengan memberi RM950 juta kepada mereka awal tahun ini, mungkin kita semua tidak perlu terseksa membayar kadar tol yang lebih mahal sekarang ini.
Berbillion-billion ringgit juta telah dijimatkan kerana kerajaan tidak perlu menanggung kos subsidi bahan api dan gula. Tetapi mana pergi semua duit yang patutnya dah dijimatkan? Kabinet menteri semua ni ingat duit yang mereka belanja dan gaji mereka semua dapat tu sebab dipetik dari pokok-pokok di belakang Seri Perdana ke?
Dan hutang RM950 juta ‘standby credit’ tu bila 1MDB nak bayar balik pada MOF? Hutang RM42 billion tu siapa yang bakal tanggung? Nak kena jual tanah, jual balik IPP untuk langsaikan hutang? Akhirnya, tanah tergadai, aset semua jadi milik orang, tapi duit jualan semua tu diguna untuk bayar hutang saja. Bank-bank jugak yang tersenyum. Kalau duit dari hasil jualan tu masuk balik dalam perbendaharaan takpe juga. Ini tidak, orang Malaysia habuk pun tak dapat. Tanah yang dulunya milik kerajaan pun bakal jadi milik swasta atau pihak asing. Semuanya sebab nak bayar hutang bertimbun.
Patutnya kerajaan berkhidmat untuk rakyat, ini rakyat pulak yang kena menanggung beban kerajaan.
5) Kerajaan tidak tahu cermin diri
Kalau dah tahu tak pandai nak uruskan duit negara, tolonglah kurangkan waktu bermain golf. Pergilah cari ikhtiar dan pergi ke luar negara untuk cari lebih banyak foreign direct investment (FDI) atau pelaburan langsung asing.
Atau sekurang-kurangnya letaklah jawatan. Pak Lah pun pandai letak jawatan bila tak dapat undi dua pertiga sewaktu pilihanraya. Tak payah tunggu undi tak percaya pun..
Tak usahlah mendabik data menggunakan data-data yang terpilih cuma untuk mencantikkan resume sebagai Perdana Menteri. Hakikatnya, jika semuanya bagus, kerajaan patutnya tidak mengurangkan peruntukkan kepada mana mana kementerian di dalam belanjawan yang lepas.
Dan lagi satu, jika betul ikhlas dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, Najib patut memotong gaji beliau dan gaji para menteri untuk membuktikan kesungguhan bahawa beliau bersama rakyat.
Beliau juga berkata bahawa: “Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus inginmembuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat.” Oleh itu, buatlah dengan betul, bukan dengan menganiaya orang tidak bersalah dan melakukan pemborosan berterusan.
Seorang rakan memberi satu teori mengapa Najib Razak dan barisan pengampunya berkelakuan sebegini. Rakan tersebut berkata, ini adalah petunjuk dari Tuhan bahawa mereka yang munafik dan penipu akan dinampakkan sebagai bodoh, buta dan tuli di depan khalayak ramai. Sebagaimana ayat 9 hingga 20 dari surah Al-Baqarah:
9. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar.10. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.11. Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.”12. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sadar.13. Apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman. Mereka menjawab: “Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman? “Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak tahu.14. Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: ” Kami telah beriman”. Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok “.15. Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.16. Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk,maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.17. Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.18. Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar)19. Atau seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap gulita, guruh dan kilat; mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya, karena (mendengar suara) petir, sebab takut akan mati. Dan Allah meliputi orang-orang kafir.20. Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.
Najib Razak di dalam pembentangan belanjawannya pandai meletakkan sepotong ayat Quran dari surah al-Yusuf di akhir ucapan beliau.., mungkin surah al-Baqarah di atas perlu juga dirujuk.
Akhir kalam, nescaya dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.
source : jenatmustdie
No comments:
Post a Comment