Jalan Semangat Petaling Jaya dinamakan Jalan Profesor Khoo Kay Kim
SHAH ALAM: Jalan Semangat di Petaling Jaya dinamakan semula dengan nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim, sebagai menghargai jasa dan bakti mendiang kepada negara.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, penamaan semula nama jalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berkuatkuasa serta merta.
“Ia sebagai mengenang jasa dan ketokohan Profesor Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu.
“Pemergian mendiang meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya pembabitan beliau dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara selepas peristiwa 13 Mei 1969,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Amirudin berkata, sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar Kay Kim adalah dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad ke-19.
“Karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics menjadi kanun dalam penulisan sejarah Malaysia.
“Mendiang juga seorang intelektual awam yang aktif memberikan pandangan mengenai politik serta isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja.
“Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
“Perihal ini turut mendapat perhatian tuanku yang memberi titah dan nasihat agar Kerajaan Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan.
“Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu,
“Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
source : BH
No comments:
Post a Comment