Sekali lagi saya tersalah menilai Aznil...
- BY SAODAH ISMAIL
Ketika Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota (SKBBM) meminta nama artis yang sangat sinonim dengan kanak-kanak untuk Hari Kanak Kanak, saya tidak dapat memikirkan nama lain selain Datuk Aznil Haji Nawawi @ Paknil.
Walaupun ada beberapa nama dicadangkan, namun saya tetap pilih Paknil. Ternyata pilihan itu tepat.
Pertama kerana saya melihat beliau memiliki ciri-ciri penghibur yang disukai ramai dan disenangi oleh pelbagai lapisan bangsa, dari kanak-kanak hingga orang dewasa. Beliau mengingatkan saya pada Sudirman Haji Arshad; boleh berinteraksi dengan masyarakat walau dalam kelas apapun, baik kelas atasan mahupun orang biasa biasa. Itulah ciri penghibur yang baik, tidak canggung diletakkan di pentas apa sekalipun.
Kembali pada cerita sambutan Hari Kanak Kanak. Biarlah saya bercerita tentang bagaimana saya berurusan dengan penghibur bernama Aznil ini. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat, tidak sampai tiga minggu!
Sebagai orang yang lama terpisah dengan media arus perdana saya tidak mengharapkan Aznil akan melayani "lamaran" saya untuk beliau datang ke SKBBM, sebuah sekolah yang baru beberapa bulan beroperasi. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana saya bukan lagi pengarang hiburan akhbar besar. Jadi, saya hanya mencuba nasib dan bersedia untuk ditolak.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya hanya meminta nombor beliau dari seorang rakan di Astro dan hanya beberapa minit kemudian, telefon saya berbunyi. "Assalamualaikum Odah, awak cari saya?" itu mukadimmah dari tuan punya diri.
Saya pun nyatakan hajat dan sebaik saja disebut pihak sekolah memilihnya, beliau mengucapkankan syukur alhamdulillah. Semuanya jadi mudah dan beliau hanya minta diberi masa untuk melihat jadualnya yang saya sendiri faham, sangat padat memandang beliau bukan kecil anak di Astro..
Jujurnya, waktu itu pun saya tidak yakin beliau mahu hadir. Mungkin jawapan untuk tengok jadualnya sekadar untuk sedapkan hati saya. Jadi, saya tidak menaruh harapan yang tinggi, Apa lagi sekolah tidak sebut tentang bajet pada saya. Bagaimana jika beliau tanya tentang bayaran seperti mana sebelum ini saya bertanyakan pada seorang personaliti radio terkenal saya mencari ustaz muda XYZ untuk sekolah tersebut. Terus terang dia tanya yang mereka PARA imam muda itu bertanya "berapa bayarannya?".
Begitulah. Jadi sebab itu saya selalu menjauhkan diri jika diminta tolong dapatkan artis untuk menjayakan majlis-majlis tertentu yang tidak ada bajet kerana saya tidak mahu mereka (artis) itu rasa serba salah. Saya juga serba salah.
Sekali lagi saya tersalah menilai Aznil. Beliau langSung tidak sebut pasal bayaran. Tidak juga melalui pengurus atau pembantu peribadinya. Sehingga tiba pagi yang dijanjikan, saya telah diperingatkan oleh pembantunya bahawa beliau biasanya datang lebih awal dari masa yang ditetapkan. Memang itu cara beliau, kata pembantunya.
Memang benar. Beliau tiba setengah jam awal, iaitu 10.30 sedangkan acara beliau bersama kanak-kanak dijadualkan jam 11 pagi. Jadi memilih beliau sebagai Ikon kanak-kanak mahupun remaja memang sewajarnya; sekalipun ada suara dangkal yang mempersoalkan mengapa beliau dipilih kerana beliau hanya seorang artis yang rambut pun "bercolour colour". Memang ada orang yang otaknya begitu, apa boleh buat, jika tidak tentu takkan terhasil ungkapan Inggeris, 'dont judge a book by itys cover!"
Dan di hadapan lebih seribu kanak-kanak sekolah dan ibubapa serta guru, Paknil menguasai pentas dengan caranya yang sangat bersahaja, padat dengan isi dan nasihat - tentang buli, kasih sayang dan jadi orang yang baik dan hindari yang jahat. Persembahannya diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai seluruh kanak-kanak yang bergema pagi itu menyanyi lagu selamat harijadi untuknya, yang membuatkan beliau terharu dan menitiskan airmata.
Terima kasih Datuk Aznil, pada usia 52 tahun pun, anda memang masih sangat relevan dan selayaknya menjadi idola dan ikon kanak-kanak SKBBM. Terima kasih juga kepada penaja-penaja lain seperti LPPKN, Gardenia, Yakult dan CCM. Terima kasih daun keladi, lain waktu menaja lagi...
source : agenda daily
No comments:
Post a Comment