NUFFNANG

Monday, 23 February 2015

[LUAHAN SEORANG YANG BERNAMA MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN] ... Pasca Sabitan: Cukup sekadar di Mahkamah

[LUAHAN SEORANG YANG BERNAMA MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN] ... Pasca Sabitan: Cukup sekadar di Mahkamah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Fakta Kes

1.    Saya sebagai Pengadu telah membuat Laporan Polis pada tahun 2008.

2.    Susulan daripada Laporan Polis terbabit DSAI telah pun dituduh dan kemudiannya disabitkan, sebagaimana pertuduhan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

3.    Saya telah pun memberikan keterangan secara bersumpah di Mahkamah Tinggi dan segala keterangan saya telah pun diuji dan diperiksa balas selama beberapa hari oleh barisan peguambela yang mewakili DSAI di Mahkamah.

4.    Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia telah pun membuat keputusan pada 10 Feb 2015 dan memutuskan bahawa saya adalah saksi yang 'credible'. Begitu juga Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan yang saya adalah saksi 'credible'.

5.    Saya percaya bahawa proses prosidingJenayah ke atas DSAI lanjutan daripada Laporan Polis yang saya buat pada 2008 telah pun berakhir dan ke semua pihak iaitu saya sebagai Pengadu dan Tertuduh telah pun diadili dengan sebaiknya dan dengan sepenuhnya oleh Institusi Kehakiman di Malaysia.

6.   Saya berpendapat Mahkamah telah memberi ruang sepenuhnya kepada ke dua-dua pihak dan mengadili kes ini dengan sebaiknya mengikut undang-undang. Untuk rekod, prosiding perbicaraan dan rayuan telah berlangsung selama hampir 7 tahun.


Pasca Keputusan

7.    Pada hari ini, saya perhatikan, terdapat banyak pihak yang memberikan pelbagai pendapat
berkenaan prosiding perbicaraan dan rayuan yang telah diputuskan. Saya percaya ada baiknya sekiranya mana-mana pihak yang ingin memberikan apa jua pendapat supaya membaca dan memahami terlebih dahulu "Alasan Penghakiman" dari prosiding di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan sehinggalah di Mahkamah Persekutuan sebelum memberikan ulasan.

8.    Saya percaya selepas kes telah diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, terdapat pihak-pihak yang membuat kupasan berkenaan "Alasan Penghakiman" yang telah diberikan yang mana saya percaya itu adalah hak mana-mana individu, sebagaimana hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan apa jua undang-undang yang menghalangnya.


Pendirian

9.    Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan mengulangi apa jua keterangan yang telah saya berikan di Mahkamah bagi prosiding jenayah sebelum ini diluar atau mana-mana forum.

10. Saya telah memberikan keterangan di dalam Mahkamah sebelum ini dan ia adalah suatu yang telah direkodkan di dalam Nota Keterangan dan rekod prosiding perbicaraan. Justeru pada hemat saya, tidak perlu lagi saya mengulanginya di luar Mahkamah.

11. Tertuduh juga telah disabitkan, dan sedang menjalani hukuman.

12. Pendapat saya tentang keputusan Mahkamah Persekutuan adalah sebagaimana yang telah saya nyatakan di dalam blog saya ini pada tarikh 10 Feb 2015.http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com/2015/02/ya-allah-kepadamu-ku-bersujud.html?m=1


Luahan, Terkilan

13. Sudah 7 tahun saya bergelumang dengan kes ini. Kehidupan saya amat sukar dan mencabar sebelum dan juga selepas kes ini selesai. Fokus saya sekarang ini untuk "survive", cari nafkah untuk anak isteri, bina hidup dan terus kehadapan. Walaupun sukar, saya percaya rezeki itu dari Allah. Allah tidak zalim.


Beberapa golongan

 14. Maaf cakap, diluar sana, walau tidak semua, tapi ada segelintir yang ambil berat tentang kes ini  hanya untuk kepentingan diri, politik masing-masing, bukan dengan niat membela saya, tegakkan kebenaran. Membantu jauh sekali.

15. Ada pula yang percaya kes ini benar, tapi dengan sengaja menafikan kebenaran ini pada umum, demi survival organisasi dan diri mereka.

16. Yang tidak percaya pada kes ini pula,  akan terus kecam saya dan tetap tidak percaya walau apa pun bukti dibentangkan. Tidak mengapalah, saya sentiasa Doa semoga Allah buka hijjab pada mereka, diperlihatkan kebenaran. Saya tidak terkesan dan simpan dendam.

17. Apapun, yang benar-benar ikhlas membantu, membela nasib saya selama ini juga ramai, saya tahu dan sedia maklum, terima kasih saya ucapkan. Saya amat hargai. Semoga Allah balas budi baik kalian semua.

18. Akhir kata, saya bersyukur kepada Allah SWT, kerana dengan izinNya, kebenaran dapat ditegakkan, juga telah memberi saya peluang untuk terus hidup di dunia ini.

MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN

No comments: