[ANWAR SODOMY II. EDISI SIASAT] ... Konspirasi : Musa Nafi Sokong Anwar
SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan beliau terlibat dalam meminta pegawai penyiasat kes liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jude Pereira membuat kenyataan akhbar mendakwa ada konspirasi terhadap Anwar dalam kes itu.
“Saya tak tahu langsung mengenai konspirasi itu. Saya hanya berbual dengan Jude mengenai hasratnya untuk jadi peguam (dalam satu pertemuan sebelum PRU13).
“Kemudian saya hanya maklumkan (Pengerusi MyWatch, R Sri) Sanjeevan mahu berjumpa dengannya. Tetapi saya tidak tahu atas urusan apa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Satu laporan disiarkan dalam portal berita Malaysia Today kelmarin mengaitkan Musa, yang pernah menjadi penasihat MyWatch, dengan dakwaan bahawa Sanjeevan meminta Jude membuat kenyataan itu bagi membantu Anwar dan pembangkang.
Jude berkata, beliau ditanya oleh Musa sama ada terdapat apa-apa konspirasi dalam siasatannya terhadap Anwar.
Menurut Jude, beliau menjawab tiada sebarang bukti terdapat konspirasi dalam kes liwat tersebut danMusa berpuas hati dengan jawapannya.
Sementara itu, Musa menjelaskan, beliau menghentikan penglibatannya dalam MyWatch kerana Sanjeevan terlalu terlibat dalam politik.
“Saya kata kepada Sanjeevan kalau nak buat MyWatch jangan terlibat dalam politik. Tetapi dia tetap teruskan juga jadi saya keluar daripada MyWatch,” katanya.
Sementara itu, Sanjeevan yang dihubungi enggan mengulas mengenai laporan itu.
“Tiada komen pasal isu ini,” katanya ringkas.
Dalam laporan bertajuk “Jude: I Was Asked To Subvert The Trial” di laman portal itu yang dikendalikan oleh blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin, Jude juga mendakwa ditanya oleh Sanjeevan sama ada beliau mahu membuat satu kenyataan media bahawa wujud konspirasi dalam siasatannya ke atas Anwar.
Menurut laporan Malaysia Today itu, Sanjeevan dikatakan memberitahu Jude beliau sedang membantu Anwar untuk kempen PRU13.
“Sanjeevan turut memberitahu saya bahawa saya akan dijaga dengan baik jika PKR menang,” kata Jude seperti dipetik daripada laporan itu.
Namun Jude menolak permintaan Sanjeevan supaya membuat kenyataan mengenai konspirasi terhadap Anwar kerana siasatannya sendiri mendapati tidak wujud sebarang konspirasi.
“Kemudian, dia (Sanjeevan) meminta saya hanya berkata ada campur tangan kerajaan dalam siasatan yang juga saya tolak.
“Saya kemudian mencadangkan jika mereka mahu saya membantu, saya boleh memberi kenyataan bahawa saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar,” dakwa Jude.
Katanya, Sanjeevan kemudian memintanya untuk pergi ke sebuah hotel di Kuala Lumpur dan bertemu dengan seseorang yang akan menunjukkan apa yang sudah ditulis untuk dibacakan pada sidang media keesokannya.
Jude berkata beliau menolak kerana kenyataan disediakan itu membuatkannya seperti memperjudikan integriti sebagai pegawai polis.
“Saya terkejut apabila membaca satu petikan yang mengatakan bahawa saya adalah pegawai penyiasat dan Anwar sebenarnya tidak bersalah dan dia didakwa tanpa sebab yang kukuh serta bukti yang ada direka ke atasnya,” dakwa Jude -Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment