SEMAKIN PANASS !! Lebih 100 Keluar PKR, Tubuh GRABS
SHAH ALAM – Lebih 100 bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kecewa dengan kepimpinan parti itu kerana didakwa tidak mengamalkan konsep keadilan dalam perjuangan menubuhkan persatuan Gerak Rakyat Arus Bawahan Selangor (GRABS) bagi menolak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jurucakap GRABS, Mohd. Faisal Idris berkata, asas penolakan Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar adalah berdasarkan sikap parti yang kononnya memperjuangkan keadilan namun sebenarnya tidak memegang rukun tersebut.
“Keadilan apa yang kamu berikan kepada Abdul Khalid apabila membuat sekali rayuan terus dipecat sedangkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah diberikan 67 kali rayuan dalam kesnya (liwat)?
“Kami bertindak keluar kerana PKR tidak berpegang kepada rukun parti. Dalam Deklarasi Permatang Pauh ada menyebut tentang antinepotisme, kronisme dan menegakkan keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.
Mohd. Faisal menambah, kemelut yang dicetuskan oleh PKR itu juga merugikan rakyat sehingga menyebabkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor terhenti.
“Kita desak semua pihak supaya menghentikan gerakan yang menyebabkan rakyat keliru terutama isu krisis Menteri Besar,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya, satu siri jelajah GRABS akan digerakkan mulai minggu ini bermula dari Sabak Bernam untuk menerangkan kepada rakyat berkaitan kemelut yang melanda negeri ini.
“Kita akan buat di hentian bas dan di tepi-tepi jalan dalam minggu ini sehingga kemelut ini berakhir,” katanya.
Seorang lagi ahli GRABS, Hanafiah Hussin memberitahu, pihaknya menentang Wan Azizah sebagai Menteri Besar kerana Presiden PKR tersebut bukan anak Selangor selain dilantik oleh suaminya untuk memegang jawatan berkenaan.
“Ini parti apa? Sesuka hati melantik isteri sebagai bidan terjun untuk jadi Menteri Besar.
“Kami sebagai rakyat Selangor tidak menyokong dan tidak restu Wan Azizah menjadi Menteri Besar,” katanya.
Hanafiah juga mengingatkan pemimpin dalam PKR dan DAP yang kebanyakannya bukan anak Selangor supaya menghormati keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi perkenan kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar - Mingguan Malaysia
source : aidc
No comments:
Post a Comment