Secebis sejarah Onn Jaafar
Petikan daripada buku Biografi Dato’ Onn: Hidup Melayu
Mukasurat 175-178
Riwayat Dato’ Onn memperlihatkan dirinya pada mulanya, sebagai seorang pegawai pemerintah yang ingin berkhidmat kepada raja dan tanah airnya seperti juga orang Melayu lain dalam zaman politik beraja. Setelah berkhidmat beberapalama sebagai pegawai kerajaan, beliau tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan politik seperti itu lebih lama daripada yang dapat ditahannya.
Sultan Ibrahim [1873-1959] melakukan beberapa perbuatan yang tidak menurut lunas-lunas perikemanusiaan dan panduan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh yang telah dibekalkan oleh ayahandanya Sultan Abu Bakar. Dalam beberapa hal, tindakan Sultan Ibrahim terhadap sesetengah rakyat sangat tidak adil, tidak bertimbang rasa, khususnya terhadap orang Melayu yang berkhidmat dalam Johor Military Forces (JMF).’
Sungguhpun peristiwa yang menyedihkan itu diketahui oleh umum di seluruhnegeri, tetapi tidak ada seorang pun di Johor yang berani membuka mulut serta membantah kerana Sultan Ibrahim sangat ditakuti oleh rakyat. Baginda seolah-olah seperti “terror” di kalangan penduduk negeri itu pada masa mudanya.
Tetapi tidak Dato’ Onn, beliau tidak dapat memejam mata, menulikan telinga dan membungkamkan mulutnya terhadap sesuatu yang dianggap zalim atau kejam. Beliau tidak sampai hati melihat anggota JMF diseksa, dikerah dan dipaksa bekerja membuat ladang getah kepunyaan raja.
Peluang untuk mendedah dan mencegah perbuatan terbuka apabila beliau menjadi pemberita salah sebuah akhbar dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di Singapura pada tahun tiga puluhan. Beliau menggunakan pena dengan setajam-tajamnya mengecam dan mengkritik tindakan yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim yang dianggap oleh Dato’ Onn sebagai tidak patut.
Dengan disedarinya atau tidak, secara langsung kecaman dan kritikannya itu, Dato’ Onn telah menceburkan diri dalam politik sejak zaman politik beraja lagi tanpa mempedulikan apa yang mungkin berlaku ke atas dirinya kerana memperjuangkan kepentingan manusia yang kurang bernasib baik. Tetapi terdahulu dari itu, pihak British telah menggunakan peristiwa JMF untuk menguatkan tekanannya ke atas Sultan Ibrahim supaya bersetuju menerima seorang pegawai British sebagai penasihat.
Baginda terpaksa meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan bagi membolehkan campur tangan British dalam hal ehwal pentadbiran negeri kecuali dalam perkara agama dan adat resam orang Melayu. Menurut perjanjian yang dimeteraikan antara Kerajaan Johor dengan Great Britain, Sultan hendaklah menerima seorang pegawai Inggeris sebagai penasihat yang ditempatkan dalam Negeri Johor. Dalam setiap hal, Sultan hendaklah meminta nasihat daripada Penasihat British dan nasihat itu hendaklah dipatuhi dalam hal yang berkenaan.
Dato’ Onn menentang syarat perjanjian itu yang pada pendapat beliau apa yang disebut sebagai nasihat itu sebenarnya bukan nasihat dengan erti kata yang sebenarnya, tetapi perintah yang mesti dipatuhi. Beliau menganggap sistem Penasihat British itu sebagai daya utama penjajah hendak mengelirukan penduduk Negeri Johor supaya mempercayai dan meyakini bahawa yang memerintah negeri itu bukannya British tetapi Raja. Namun, pada amalan dan hakikatnya, pihak berkuasa koloniallah yang memerintah secara tidak langsung menerusi pegawai yang ditugaskan berkhidmat dengan Raja-raja Melayu.
Dato’ Onn sedar bahawa mengkritik sistem Penasihat British bererti beliau telah pula melibatkan diri dalam konfrontasi dengan pihak berkuasa kolonial atau penjajah, selain berkonfrontasi dengan rajanya sendiri kerana kepentingan rakyat umum atau tanah air. Sungguhpun demikian, dalam konfrontasi tiga jurusan itu, pihak penjajah dan Sultan telah bersatu menentang Dato’ Onn.
Tetapi sebagai seorang Bumiputera yang masih penuh dengan semangat kewatanan, beliau pernah melupakan perselisihan antaranya dengan Sultan Ibrahim apabila beliau mendapati bahawa kepentingan raja-raja dan tanah air mesti dibela supaya tidak terjejas atau rosak kerana mainan politik kolonial. Berbeza dengan kuasa penjajah yang lain, British lebih suka menjalankan pemerintahan di wilayah naungan atau tanah jajahan mereka menerusi alat negara tempatan, seperti menggunakan Raja-raja di India dan di Malaya atau ketua-ketua suku kaum Afrika.
Apabila adanya anak negeri atau Bumiputera yang bergerak dalam bidang politik bagi membela nasib rakyat dan pergerakan itu tidak sealiran dengan kepentingan pihak berkuasa kolonial, anak negeri itu akan dicap sebagai orang yang ingin menentang atau menderhaka kepada rajanya.
Apa yang kerap mendukacitakan Dato’ Onn adalah sekiranya akibat sesuatu dasar yang dijalankan di Johor, pentadbiran negeri menjadi kucar kacir atau rakyat mengalami penderitaan, pihak British sentiasa berlepas tangan dan berpura-pura menyalahkan Sultan kerana kegagalan dasar atau sesuatu rancangan. Tetapi apabila sesuatu dasar atau rancangan berjaya mencapai basil yang diharap oleh rakyat, nama dan kebijaksanaan pegawai pentadbir British, khususnya Penasihat British sahaja yang disebut-sebutkan.
Dengan amalan seperti itu, pihak berkuasa kolonial British, sama ada di India atau di Malaya berjaya menanam bibit kesangsian rakyat tempatan terhadap kebolehan atau kecekapan pentadbir atau pegawai sendiri. Sungguhpun penjajahan telah lenyap dari bumi Malaya atau Malaysia, tetapi penyakit “kurang percaya” kepada kebolehan, kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin atau pegawai tempatan masih wujud.
Dato’ Onn adalah salah seorang anak Melayu yang mula-mula tampil ke muka dan mengkritik dasar kolonial dan kelakuan rajanya sendiri dengan berani, berterus-terang lagi cekap. Kebanyakan sengketa antara beliau dengan Sultan Ibrahim berpunca daripada sikap Baginda membiarkan dirinya menjadi alat penjajah yang menjalankan dasar menekan orang Melayu. Tetapi ada juga antara sengketa Onn-Ibrahim berkisar di sekitar perkara peribadinya. Beliau tidak dapat menerima perbuatan British memaksa raja-raja agar meminta dan kemudiannya menguatkuasakan nasihat Penasihat British. Nasihat itu tidak boleh lagi dikatakan nasihat, jika yang memintanya mesti mematuhinya.
Semasa Dato’ Onn menyandang jawatan Menteri Besar [1947-1950], beliau tidak pernah menjadikan amalan meminta nasihat daripada Penasihat British mengenai setiap perkara yang ditadbirkannya, seperti yang dilakukan oleh semua Menteri Besar Johor terdahulu. Beliau sendiri membuat keputusan mengenai perkara yang dalam pentadbirannya dan beliau merujuk keputusan yang dibuatnya itu kepada Penasihat British hanya untuk pengetahuan pegawai itu sahaja.
Sebelum 1946, tidak ada Menteri Besar atau pegawai yang bertanggungjawab seperti itu dan berani membuat sebarang keputusan mengenai pentadbiran negeri tanpa terlebih dahulu menghubungi Penasihat British untuk mendapatkan “nasihat” dan persetujuannya. Memang telah menjadi amalan di Negeri Johor pada masa lalu bagi Menteri Besar menyampaikan Kertas Minit atau fail kepada G.A. (General Adviser) atau B.A. (British Adviser) untuk mendapatkan pengesahan:
B.A., May this be approved?
(Bolehkah ini diluluskan?).
G.A. atau B.A. kemudian memberikan fikiran dan ulasannya, dan keputusan itu diambil oleh Menteri Besar sebagai keputusannya sendiri. Kebanyakan minit-minit fail yang mundar mandir dari pejabat Menteri Besar ke pejabat G.A. atau B.A. bertanda Sulit atau Rahsia.
Dato’ Onn menamatkan sejarah amalan pentadbiran kolonial seperti itu. Sebagai Menteri Besar, beliau tidak pernah memberi peluang kepada B.A. membuat keputusan mengenai sesuatu perkara yang dirujukkan kepadanya, dan setelah sesuatu perkara itu diputuskan barulah sesuatu minit atau fail itu disampaikan kepada B.A. untuk pengetahuannya. Ini terbukti daripada minit dalam fail yang disampaikan dari pejabatnya ke pejabat B.A.:
B.A., this has been Approved. For your information only. Sd. Onn Ja’afar.
source : helen ang's blog
No comments:
Post a Comment