NUFFNANG

Wednesday, 15 April 2015

[KEMATANGAN PUTERI UMNO LEBIH TERSERLAH DARI PEMUDI UMNO BAWAH KJ]...Puteri UMNO harap PM, 
Dr. Mahathir bersemuka

[KEMATANGAN PUTERI UMNO LEBIH TERSERLAH DARI PEMUDI UMNO BAWAH KJ]...Puteri UMNO harap PM, 
Dr. Mahathir bersemuka

Najib Tun Razak menerima sokongan padu daripada anggota Puteri
KUALA LUMPUR 14 April – Pergerakan Puteri UMNO berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat bersemuka serta menyelesaikan segala isu yang timbul secara baik, harmoni dan dalam suasana kekeluargaan.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sayap parti itu percaya Najib mempunyai cara tersendiri untuk merungkai persoalan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir.

Beliau menegaskan, Puteri UMNO menyayangi kedua-dua pemimpin tersebut serta menghargai inisiatif Dr. Mahathir menubuhkan sayap berkenaan semasa menjadi presiden parti.

“Saya juga beritahu Datuk Seri Najib, ini bukan masa untuk kita ‘mengipas’ atau bercakap perkara yang baik-baik sahaja, orang meluat, orang benci.

“Pada masa sama, saya harap semua pihak tidak menjadi batu api atau mencurahkan minyak ke dalam api supaya lebih marak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan ketua-ketua Puteri UMNO bahagian bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan serta 178 ketua Puteri UMNO bahagian dari seluruh negara.

Difahamkan, dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Najib yang juga Presiden UMNO memperjelaskan pelbagai isu berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi negara, kepemimpinan parti dan negara serta berkenaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mas Ermieyati menambah, pertemuan tersebut memperkukuhkan sokongan Puteri UMNO terhadap Najib dan mengingatkan semua pemimpin sayap berkenaan tentang pentingnya kesepakatan serta perpaduan dalam parti untuk menempuh cabaran dan memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Menurut beliau, pucuk pimpinan Puteri UMNO juga perlu memahami bahawa parti sedang melalui satu fasa yang amat penting dan menghadapi cabaran yang amat getir.

“Kalau ada perkara yang tidak betul, kita berunding dalam suasana kekeluargaan dan selesaikan sesama kita dahulu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah yakin perbezaan pendapat antara Dr. Mahathir dan Najib dapat diselesaikan dengan segera sambil berharap tiada pihak yang cuba membantutkan usaha itu.

“Kami menghormati ketokohan Dr. Mahathir namun pada masa sama, kami juga berharap pandangan yang disuarakan beliau tidak merugikan parti,” katanya.

Mas Ermieyati memberitahu, Puteri UMNO seterusnya akan mempergiatkan usaha memberi penjelasan tentang isu melibatkan dua tokoh berkenaan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi khususnya kepada jentera parti yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Rompin.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/politik/puteri-umno-harap-pm-8232-dr-mahathir-bersemuka-1.81144#sthash.SNOqxqFN.dpuf

Source : utusan

No comments: