NUFFNANG

Wednesday, 21 January 2015

Semakan larangan kalimah Allah dan keputusannya

Semakan larangan kalimah Allah dan keputusannya

PUTRAJAYA 20 Jan. – Permohonan Gereja Roman Katolik untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya membuat rayuan berhubung tindakan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguannya, The Herald menggunakan kalimah Allah, akan didengar esok di hadapan satu panel lain.
Tarikh itu telah ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Nor Aziati Jaafar ketika mengendalikan pengurusan kes berhubung perkara itu pada 17 November tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan semua responden (Kementerian Dalam Negeri dan pencelah yang terdiri daripada majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Islam Malaysia atau Macma) memfailkan afidavit jawapan masing-masing selewat-lewatnya pada 8 Disember tahun lalu.
Pihak gereja selaku pemohon juga dikehendaki memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 7 Januari lalu.
Pihak-pihak berkuasa agama terdiri daripada Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Johor.
Pada 19 September tahun lalu, Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan untuk menyemak semula penghakiman majoriti panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lalu yang menolak permohonannya mendapatkan kebenaran untuk merayu di mahkamah tertinggi negara.
Permohonan itu dibuat berlandaskan tiga asas termasuk isu perundangan tertentu yang menjadi teras kepada permohonan untuk mendapatkan kebenaran melibatkan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Gereja itu memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang membenarkan kerajaan merayu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah tidak mengikut undang-undang, tidak sah dan terbatal.
Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden serta menuntut, antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian itu melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah bercanggah dengan undang-undang.
source : utusan

Kalimah Allah: Mahkamah tolak semakan Gereja

PUTRAJAYA 21 Jan. - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk menyemak keputusan mahkamah terdahulu yang tidak membenarkannya membuat rayuan berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan berbahasa Melayu, The Herald.
Panel lima hakim diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan demikian secara sebulat suara selepas berpuas hati tidak berlaku ketidakadilan prosedur ketika mahkamah terdahulu membuat keputusannya. 
source : utusan

No comments: