KPN TEGAS, AG MACAMANA PULAK? ... TAHNIAH TAN SRI KPN!
Alhamdulillah semalam Jumaat 25 Rabi'ul Awal 1436 bersamaan 16 Jan 2015 beberapa NGO Melayu-Islam telah menyempurnakan penyerahan Memorandum bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pasukan PDRM atas ketegasan menangani isu penghinaan terhadap Islam oleh seorang bernama Eric Paulsen, ahli Bar Malaysia.
Atas permintaan pihak polis, maka semua peserta hanya menunggu dihadapan Masjid Bukit Aman setelah selesai solat Jumaat manakala pihak pimpinan seramai lebih kurang 10 orang berjalan menuju ke perkarangan pintu besar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi penyerahan memorandum itu.
Manakala ramai ahli dan pimpinan NGO seperti Perkasa, ISMA, GPMS, Muafakat, PPIM, Armada Melayu dan tokoh-tokoh seperti Tun Haniff Omar, Leftenan General (B) Datuk Salleh dan lain-lain turut hadir hanya menuggu dihadapan Masjid Bukit Aman.
Dalam majlis penyerahan itu, saya diminta menyampaikan sedikit kata-kata aluan, dan semasa berucap saya menyatakan bahawa selama ini kita umat Melayu Islam tidak pernah bertindak agresif terhadap mana-mana penganut atau institusi bukan Islam walaupun kadang-kadang dalam keadaan yang mencabar, antara saya sebut:
1. semasa Jamaludin Osman dimurtadkan pada tahun 1986 dengan nama Joshua Jamaludin, kita tidak bertindak terhadap mana-mana gereja atau institusi kristian; sebaliknya kita memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Jamaludin yang kemudiannya ditahan dibawah ISA pada masa itu;
2. semasa Hartina Kamarudin dimurtadkan dalam tahun 1997, kita tidak mengambil tindakan agresif terhadap mereka yang memurtadkan Hartina, ataupun mempersoal institusi agama Hindu; sebaliknya kita mengambil tindakan menurut undang-undang terhadap Hartina dengan mencabar permohonan yang beliau buat di Mahkamah;
3. semasa Aishah Bukhori dimurtadkan tahun 1998, kita tidak menyerang atau mengambil tindakan menghina penganut kristian ataupun institusi kristian, walaupun ada fakta Aishah bersembunyi disebuah gereja di Rasah, Negeri Sembilan. Sebaliknya kita mencabar permohonan yang dibuat oleh Aishah didalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga dia berjaya dibawa lari keluar negara;
4. semasa Azlina Jailani dimurtadkan tahun 2006, malah dibaptiskan oleh Gereja Church of Our Lady Fatima Brickfield, kita tidak menyerang atau menghina pihak gereja, walaupun jelas mereka dengan berani mengeluarkan sijil baptisma terhadap Azlina dengan nama Lina Joy, sebaliknya kita mencabar permohonan beliau sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan berjaya mendapatkan perintah membatalkan permohonan Azlina;
5. semasa sebuah gereja DUMC disyaki menjalankan kegiatan pemurtadan terhadap segelintir umat Melayu-Islam didalam bulan Ramadhan tahun 2012, pihak JAIS diketuai oleh Datuk Dr Hasan Ali, EXCO Agama Islam Selangor bertindak dengan begitu sopan menyiasat dan mengambil tindakan hanya terhadap umat Melayu-Islam yang cuba dimurtadkan. Tiada seorang pun penganut kristian dikenakan tindakan; malahan tiada sebarang tindakan pun dikenakan terhadap Gereja DUMC walaupun secara terang-terangan menyalahi Enakmen Anti Pendakyahan Selangor 1988;
6. Semasa Gereja Our Family Church Kajang membenarkan Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan didalam gereja pada hari Ahad 16.02.2014 selepas panganut kristian selesai mengerjakan upacara agama mereka, kita umat Melayu-Islam tidak menghina atau mengambil tindakan terhadap pihak gereja itu walaupun terang-terang Anwar menyatakan dia bersetuju kristian dibenarkan mengguna kalimah Allah; satu pendirian yang terang-terangan bercanggah dengan pendirian rakan sekutu pembangkang PAS, dan menyalahi Seksyen 9 Enakmen Anti-Pendakyahan Selangor 1988.
Jadi rentetan fakta diatas membuktikan betapa tinggi semangat toleransi umat Melayu-Islam di Malaysia terhadap pencabulan, penghinaan dan kebiadapan yang dikenakan terhadap agama Islam selama ini. Saya cukup yakin kalau perkara seumpama diatas berlaku di Indonesia atau Pakistan, senarionya akan pasti sangat berbeda!
Sebab itu dalam kes penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam dalam negara ini oleh Eric Paulsen, kita umat Malayu-Islam sekali lagi menunjukkan sikap toleransi yang tinggi dengan hanya mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang!
Tiada sesiapa yang pergi menampar muka Eric, tiada sesiapa pergi meludah muka Eric, tiada sesiapa pergi ke pejabatnya dan membakarnya, dan tiada sesiapa pun yang pergi memukul atau menembak Eric! Tidak ada!!!
Lihat apa yang berlaku di Paris? Sebuah pejabat media diserang dan beberapa orang ditembak mati berpunca daripada penghinaan terhadap Islam melalui penyiaran karikatur penuh penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw yang disiarkan media tersebut!
Malah Pope Francis, Ketua Vatican Katholik dalam komennya menyatakan 'kalau kamu memilih menghina Islam, jangan ingat kamu tidak akan ditampar!".
Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia.
Ini kerana kita umat Melayu-Islam memang telah diajar dengan sikap toleransi yang begitu tinggi! Apakah salah kita meminta pihak berkuasa termasuk polis mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap individu atau pertubuhan yang kita rasakan telah menghina Islam?
Malahan begitu toleransinya kita sehingga pemimpin politik melayu beragama Islam mencadangkan supaya JAKIM berdebat dengan Eric!
Saya tidak bersetuju langsung dengan cadangan ini kerana pada saya ianya cadangan yang cukup kurang cerdik! Ini adalah kerana sebab-sebab berikut:
1. Eric dalam siri-siri twitternya jelas menunjukkan seorang yang begitu fobia terhadap apa juga yang dibuat oleh umat Islam atau institusi Islam. Kita berpendapat komen-komen beliau merupakan suatu perbuatan jenayah menurut undang-undang samada dibawah Akta Hasutan, Kanun Jenayah atau Enakmen Jenayah Islam negeri-negeri. Dan kita tidak akan berdebat dengan orang yang disyaki penjenayah! Mana mungkin kita nak berdebat dengan Anwar mengenai pertuduhan liwat yang dia hadapi. Itu perbuatan jenayah dan mesti dikenakan tindakan dibawah undang-undang jenayah!
2. Polis telah pun membuka kertas siasatan dan telah pun menjalankan siasatan. Menganjurkan debat mengenai isu yang sama akan merupakan suatu tindakan yang mencampuri urusan siasatan pihak polis dan satu sub judice;
3. Eric hanyalah seorang individu yang telah menghina Islam dan institusi Islam. Mencadangkan dan memberi ruang kepada dia berdebat dengan JAKIM adalah suatu perbuatan menghina sebuah institusi Islam; mana mungkin sebuah institusi Islam seperti Jakim disamakan dengan seorang individu yang sedang disiasat kerana menghina Islam;
4. Cadangan debat ini datangnya daripada pemimpin yang langsung bukan didalam portfolio kementeriannya! Adakah beliau sudah merujuk dan bertanya pendapat Menteri yang menjaga hal ehwal Islam Datuk Seri Jamil Khir? Adakah beliau sudah bertanya pendapat Jakim sebelum memberikan idea kurang cerdik ini?
5. Mengapa apabila tiba sahaja hal menghina Islam kita akan disuruh berolak ansur, mengambil sikap berbaik sangka, disuruh berdialog, berdebat dan lain-lain? Saya mahu bertanya kepada Menteri ini, dimana beliau semasa pihak Gereja dan kumpulan evangelis memfitnah Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa konon mahu membakar bibel? Saya tidak dengar pulak sesiapa mencadangkan pihak gereja atau evangelis ini berdebat dengan Datuk Ibrahim Ali, dan berjanji menyiarkan debat itu secara langsung di RTM?
6. Kekadang saya terfikir pemimpin-pemimpin politik Melayu ini, daripada kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang elok duduk diam-diam dan tutup mulut lagi baik. Kalau dah tak mampu mempertahankan bangsa dan agama, berikan ruang kepada kami NGO untuk membela Melayu dan Islam. Jangan dihalang atau disekat kami daripada berbuat sedemikian. Kami faham keterbatasan para politikus semua dalam menghadapi isu seperti ini kerana harapan untuk terus menjadi wakil rakyat dan YB mungkin terancam. Tetapi janganlah menyibuk menganggu kami dalam nak mempertahankan institusi Melayu dan Islam;
7. Saya telah melihat rentetan twitter Eric ini yang jelas kelihatan secara berterusan dan berantaian mempertikai, menghina dan memperlekeh Islam dan institusi Islam. Kekadang timbul rasa simpati dan belas kasihan saya kepada beliau kerana kelihatan seolah-olah beliau mengalami penyakit terhadap Islam. Sesiapa yang menghadapi penyakit seperti ini kita tidak ajak berdebat, sebaliknya kita bantu dengan dihantar berubat supaya beliau boleh pulih dan menjalani kehidupan normal!
Kalau beriya sangat nak berdebat pun, saya cadangkan supaya Kementerian Penerangan menganjurkan debat diantara Datuk Ibrahim Ali dan Eric Paulsen ini, dan siarkan perdebatan itu secara langsung di RTM 1 & 2!!
Apa pun, saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak polis atas kecekapan dan ketangkasan menangani isu ini. Kita memerlukan lebih ramai pegawai yang meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik dalam menjaga keamanan dan kemakmuran negara ini terus terjamin.
Kepada anansir extremis anti Melayu-Islam, saya menasihatkan supaya berpada-pada dalam nak menghina bangsa Melayu atau agama Islam.
Ini kerana saya khuatir akan ada elemen yang akan mengambil kesempatan untuk mencetuskan provokasi dan suasana yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara. Lihatlah contoh yang berlaku di Paris. Hanya dua-tiga orang sahaja boleh menyebabkan keadaan sudah tidak selamat disana.
Pihak polis telah berkali-kali memberi amaran bahawa para penyokong dan pendokong kumpulan pelampau IS ada dalam negara ini, samada dikalangan rakyat Malaysia mahupun yang berasal daripada luar. Alhamdulillah setakat ini kecekapan pihak polis telah berjaya membenteras dan menangkap mereka yang disyaki terlibat.
Tetapi apa yang merbahaya daripada tindakan polis ini ialah mereka akan mengalihkan perhatian kedalam negara. Memandangkan mereka tidak dapat melaksanakan perancangan mereka di Syria atau Iraq; saya khuatir mereka akan melakukannnya dalam negara ini.
Dan melihat cara Islam, Melayu dan institusi Islam-Malayu dihina, diperlekeh dan diperkotak-katikkan dalam negara ini; saya cukup khuatir elemen ini akan mengambil tindakan sendiri konon atas nama nak membela Melayu dan Islam.
Saya memang menolak sama sekali cara keganasan dan pembunuhan tidak berperi kemanusiaan dalam hendak menyelesaikan atau menangani penghinaan berterusan yang kita hadapi. Kita masih menggunakan cara bertamadun melalui proses perundangan dan demokrasi yang dibenarkan undang-undang.
Sebab itu saya menyeru supaya kita semua rakyat Malaysia - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain , kita rakyat Malaysia daripada pelbagai agama - Islam, Budha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao dan lain-lain - marilah kita meneruskan kehidupan dengan saling hormat menghormati dan menjaga sensitiviti kaum dan agama lain.
Jangan kita melakukan sesuatu yang akhirnya nanti kita juga yang menyesal dan kerugian.
Sebab itu kita ucapkan tahniah dan syabas kepada pihak polis, khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang tidak kenal penat lelah bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keamanan, kemakumran, keselamatan dan keharmonian yang kita nikmati terus berkekalan!
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias senor!
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
26 Rabi'ul Awal 1436
17 Jan 2015
No comments:
Post a Comment