Apa pasal senyap aje isu hudud sekarang ini
Isu hudud nampaknya sudah mula reda dan PAS pun sudah kurang bercakap tentang hudud kebelakangan ini. Mungkin kerana pilihanraya Teluk Intan yang menyebabkan PAS sudah kurang bercakap tentang hudud ini kerana kepentingan pilihanraya di kawasan majoriti Cina itu yang sudah pasti tidak mahu hudud dilaksanakan.
Ramai yang bersetuju dengan hudud ini menganggapkan yang PAS sudah sepatutnya memulakan penerangan tentang hudud yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Tetapi apa yang jelas akhir-akhir ini nampaknya PAS sendiri tidak bercakap lagi tentang hudud itu. Malahan TGNA sendiri meminta supaya isu hudud tidak disebut dalam PRK Teluk Intan sekarang ini.
Kita mesti ingat yang memulakan isu hudud ini adalah PAS dan tidak kurang yang menyokongnya, tetapi mereka yang menyokong sekarang sudah ada yang merasakan mereka telah terdorong untuk menyokong dan sudah terasa mereka akan kecewa kerana PAS sudah berehat untuk bercakap dan menyusun tata-cara bagi perlaksanaannya.
Rupa-rupanya perjuangan ada rehatnya. Ada masa perlu diperjuangkan dan ada pula masanya untuk tidak memperkatakannya. Isu ini begitu hangat dan telah berjalan jauh, malahan sepatutnya sekarang ini sudah ada rangka penerangan yang patut diketahui umum tetapi kita masih tertunggu-tunggu bila isu ini akan digiatkan semula.
Kalau isu GST mudah untuk diterangkan kenapa isu hudud ini susah sangat untuk diterangkan jika pihak yang ingin melaksanakan undang-undang Islam ini sudah memahami segala-galanya tentang hudud ini terutamanya dalam hal perlaksananaannya.
Apakah PAS sendiri sudah merasakan was-was tentang kejayaan usaha melaksanakan undang-undang Islam ini? Kita tidak mengatakan yang undang-undang ini perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi eloklah diberitahu kami yang menyokongnya bagaimana cara dan bila dalam jangkaan PAS yang hukum ini akan terlaksana.
Setidak-tidak perancangannya wajar diberitahu rakyat sekarang ini agar dapat orang ramai memberikan pandangan tentang perlaksanaannya asalkan sahaja ia tidak keluar dari parameter hukum syariat agama ini.
Justeru sekarang ini apa yang sangat perlu bagi PAS menjawabnya ialah samada parti itu benar-benar serius untuk perlaksanaannya atau hanya untuk meriuhkan keadaan rakyat yang masih ramai berbelah bagi tentang perlaksanaan hukum ini.
Isu ini jika terus senyap seperti hari ini maka kita tidak hairan jika PAS akan berhadapan dengan desakan rakyat untuk perlaksanaannya dan akhirnya ia akan menghilangkan banyak keyakinan orang ramai terhadap PAS.
Apa rakyat takuti PAS bercakap tentang isu ini sebelum mereka benar-benar bersedia untuk perlaksanaannya. Yang akan menghadapi masalah nanti bukannya pihak-pihak mana, tetapi yang akan menerima beban politiknya nanti ialah parti PAS itu sendiri.
Kita takut jika orang ramai akan menganggap PAS seperti 'menceduk masakan yang belum sempat masak' sahaja. Jika PAS gagal melakukan apa yang dijanji dan diperjuangkannya, maka ia akan dianggap kemenangan bagi mereka yang tidak selesa dengan hukum Islam ini.
Lain-lain perkataan PAS telah memulakan isu untuk menggagalkan parti mereka sendiri. Itu yang kita takutkan, bukannya semata-mata untuk mencari salah terhadap parti itu.
Janganlah ada masa tidak boleh bercakap tentangnya dan ada masa boleh disebut pula. Kalau benar-benar serius, apa yang hendak ditakutkan ada pihak yang tidak bersetuju dengannya.
Ini bukannya isu politik, tetapi isu agama, kerana kita mempunyai agama yang sarat dengan perlembagaan agamanya dan undang-undang Tuhan. Jika ia menjejaskan perlembagaan negara, PAS patut memberikan penyelesaian untuk mencari 'point of reconciliation' diantara perlembagaan sekarang dengan undang-undang hudud yang mereka berjanji untuk melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment