NUFFNANG

Monday 19 May 2014

Pemilihan Dyana Untuk Redakan Perpecahan DAP Perak

Pemilihan Dyana Untuk Redakan Perpecahan DAP Perak

AIDCNews – 19/5/14 – Menurut The Malaysian Insider pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon DAP untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan adalah untuk meredakan perpecahan DAP Perak.
Malah, wartawan The Malaysian Insider, Eileen Ng berpendapat tiadanya ahli akar umbi yang hadir ketika majlis pengumuman pencalonan Dyana sebagai calon DAP oleh Lim Guan Eng, menunjukkan bantahan dan kemarahan di kalangan ahli bawahan parti itu.
“Satu pihak diketuai pasangan sepupu dan peguam, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, sementara satu lagi membabitkan pemimpin lama yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, N Kulasegaran.
“Ngeh yang juga penasihat negeri dan Nga yang menjadi pengerusi sering dituduh oleh lawan mereka – iaitu selalunya tuduhan daripada ahli parti sendiri – mengendalikan pentadbiran parti negeri seperti “kawasan jajahan mereka sendiri”, akan tetapi kedua-duanya menafikan tuduhan itu.
“Walaupun nama Dyana dicalonkan kepimpinan pusat, pasangan itu berpendapat Dyana akan membantu mengurangkan pengaruh musuh ketat mereka, Kulasegaran, sementara akar umbi di kawasan separuh bandar itu marah kerana parti tidak meletakkan anak tempatan sebagai calon,” lapornya.
Menurutnya, sumber dalaman parti menyebut, kem Ngeh-Nga mencadangkan pembantu Nga, Chong Ze Min sebagai calon kerusi itu manakala Kulasegaran menamakan penceramah popular Hew Kuan Yew yang lebih dikenali sebagai “Superman.”
“Mungkin bimbang perpecahan di Perak semakin parah, Ketua Wanita DAP, Chong Eng mencadangkan nama Dyana dan beliau disokong oleh parti di peringkat negeri.
“Keadaan itu boleh difahami kerana kepimpinan negeri akan menerima calon yang neutral.
“Ramai maklum Nga dan Hew tidak sehaluan, yang menjadi antara punca pemerintahan singkat pakatan pembangkang di Perak pada 2009,”lapornya lagi.
Hew Kuan Yew -’Superman’
Menurutnya, Hew yang sering memakai baju kemeja T dengan imej “Superman” itu, adalah anak tempatan yang disenangi kebanyakan pengundi Cina, yang seramai 42% daripada keseluruhan 60,349 pengundi.
Teluk Intan juga mempunyai 23,301 pengundi Melayu (38.6%) dan 11, 468 pengundi India (19%).
Eileen Ng turut memetik beberapa pandangan pemimpin tempatan DAP yang tidak senang dengan pemilihan Dyana sebagai calon parti.
“Dyana tidak dipertimbangkan langsung untuk pilihan raya umum, mengapa tiba-tiba dia jadi penting? Parti jangka dengan meletakkannya di Teluk Intan, dia dapat mengurangkan perpecahan tetapi sama ada dia boleh menyatukan semua puak masih belum dipastikan,” katanya.
Seorang lagi pemimpin berkata, keadaan itu mungkin boleh menyebabkan DAP hilang kerusi Teluk Intan.
Ini adalah pertarungan yang sengit. Pemimpin negeri dan kebangsaan perlu menyelesaikan rasa tidak senang ini. Tetapi yang pasti, ia mungkin menjejaskan keputusan pilihan raya kecil itu,” katanya.
Perpecahan antara kem Ngeh-Nga dan Kulasegaran bukan perkara baru, pertelingkahan mereka bermula sejak sebelum pilihan raya umum pada 2008.
Ia menjadi semakin teruk apabila pada Oktober, dua tahun selepas itu, Kulasegaran mengugut meletak jawatan dalam parti kerana tidak berpuas hati dengan Ngeh-Nga.
Beliau bagaimanapun menarik balik keputusan itu dan kekal dalam parti selepas kepimpinan peringkat nasional masuk campur, tetapi peperangan masih berlaku dalam diam antara kedua-dua kem itu.
Beberapa tahun lalu, pasangan sepupu itu dipersalahkan atas tindakan bekas Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan yang berhenti daripada politik dan enggan bertanding semula pada pilihan raya tahun lalu.
Sebelum itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri daripada DAP, Datuk Hee Yit Foong yang berpaling tadah daripada parti hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) pada 2009, turut meletakkan kesalahan kepada sikap pasangan sepupu itu.

source : aidc

No comments: