NUFFNANG

Thursday 9 January 2014

PANAS...Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor kata JAIS tak perlu ikut SOP serbuan baru diumum MB


PANAS...Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor kata JAIS tak perlu ikut SOP serbuan baru diumum MB








Seperti diduga Prosedur Operasi Standard  (SOP)  baru yang ' mengikat ' Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam urusan buat serbuan yang diumum oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim Rabu mengundang kontroversi.
Khamis Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa menegaskan JAIS tidak perlu ikut SOP baru ini kerana urusan ini melibatkan soal penguatkuasaan.
Mengikut apa yang diumum oleh Khalid selepas mesyuarat Exco Rabu JAIS kini wajib berbincang dengan kerajaan negeri Selangor dan MAIS dulu  jika hendak menjalankan operasi 'sensitif' seperti serbuan keatas Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) 2 Januari laluitu.
Khalid beri alasan ia bagi menjaga sensitiviti antara agama.
Namun ramai berpendapat ia tidak lojik kerana hairan bagaimana nak bincang-bincang dulu dengan jabatan itu ini sebelum buat operasi serbuan.
Kata mereka tidakkah nanti maklumat itu misalnya bocor dan mereka yang hendak diserbu mungkin tahu dan sudah cabut.

adzibmbsultanxx
Adzib dalam satu kenyataan Khamis secara terbuka kata JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil tindakan pemeriksaan dan siasatan kerana ia ia mengganggu proses siasatan.
Ketika dihubungi Agendadaily untuk mendapat penjelasan apakah kenyataan itu merujuk kepada pengumuman SOP baru oleh Menteri Besar semalam,beliau sahkan itulah maksudnya.
Beliau menjelaskan JAIS adalah dibawah MAIS dan MAIS pula terus dibawah Sultan Selangor.
Dalam kenyataan empat halaman Adzib juga kesal dengan kekeliruan yang timbul dari laporan media mengenai serbuan pada 2 Januari.
Beliau berkata banyak laporan yang merujuk kepada rampasan Bible versi bahasa Melayu.
Sedangkan katanya serbuan itu dilakukan kerana Bible berkenaan mengandongi kalimah Allah yang tidak dibenar di Selangor dibawah Seksyen 9 Enakmen 1988.
Katanya kekeliruan ini telah menimbulkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan JAIS-OLEH ROSLAN BIAN -9/1/2014
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH ADZIB :
KENYATAAN MEDIA MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR BERHUBUNG TINDAKAN PENGUATKUASAAN ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PERKEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988

Kenyataan media ini dibuat bagi menjelaskan tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS sebagai badan penguatkuasa undang-undang Islam di negeri Selangor.
MAIS menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh JAIS pada 2 Januari 2014 dengan memasuki premis perniagaan di Damansara Kim atas nama Bible Society of Malaysia, Petaling Jaya seterusnya menyita sebilangan jumlah kitab Bible (Al-Kitab) versi Bahasa Melayu termasuk naskhah cetakan Bahasa
Melayu Injil Lukas yang tertera kalimah Allah adalah selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah undang-undang khususnya di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) 1988 (selepas ini dirujuk sebagai  Enakmen 1988).
Tindakan JAIS adalah satu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan setelah aduan orang ramai diperolehi berkaitan dengan kegiatan penerbitan kitab Bible (Al-Kitab) yang menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible (Al-Kitab) berkenaan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988.
Pihak JAIS mempunyai kuasa melakukan tindakan pemeriksaan dan penyiasatan walaupun melibatkan orang bukan Islam oleh kerana Enakmen 1988 adalah terpakai bukan sahaja kepada orang Islam tetapi orang bukan Islam juga dan peruntukan Seksyen 12 Enakmen 1988 yang dibaca bersama Jadual di dalam Enakmen 1988 berkenaan jelas memberi kuasa kepada pihak JAIS disamping pihak polis untuk melakukan penyiasatan.
MAIS juga menegaskan bahawa tindakan JAIS bukan atas dasar cetakan Bible berkenaan di dalam versi bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah telah digunakan di dalam Bible berkenaan dan ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi  mengenalpasti samada berlaku satu kesalahan di bawah
Seksyen 9 Enakmen 1988. Malangnya pihak media termasuklah kenyataan Pengerusi National Unity Consultative Council (NUCC) seperti yang dilaporkan dalam akhbar semalam telah melaporkan fakta yang tidak tepat sama sekali bagi menggambarkan seolah-olah tindakan JAIS adalah semata-mata kerana cetakan Bible berkenaan adalah di dalam versi bahasa Melayu. Tindakan pihak- pihak berkenaan amat dikesali kerana mereka telah membuat kenyataan tanpa menyemak fakta yang sebenar. Ini  menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan pihak JAIS.
Di samping itu, pihak MAIS juga menegaskan bahawa JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak  dilakukan. Walau bagaimanapun tindakan pihak JAIS
ini dilakukan setelah pihak MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan MAIS agar pihak JAIS mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 ini atau dengan kata lain  menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor.
Tindakan JAIS ini hendaklah jangan disalah anggap sebagai satu tindakan yang bersifat menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana tindakan JAIS sekadar menguatkuasakan satu undang-undang yang sedia ada yang telah digubal menurut peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ianya tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka. JAIS tidak langsung mengambil tindakan menyekat orang-orang yang beragama Kristian dari melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti yang diperuntukan di dalam  Perlembagaan.
Adalah juga diingatkan kepada orang awam bahawa di samping Enakmen 1988 mengenai pengawalan penggunaan kalimah Allah, terdapat juga fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama bukan Islam yang lain. Malah fatwa Jawatankuasa Negeri ini konsisten dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82.
Di samping itu, Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 Yang Lain lawan Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010) telah memutuskan pada 14 Oktober 2013 bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam agama Kristian akan menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat dan kalimah Allah bukanlah merupakan asas atau tunjang utama kepada kefahaman agama Kristian. Keputusan kes ini walaupun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan setakat ini keputusan berkenaan mengikat semua pihak di Negara ini.
Berikutan dengan Fatwa yang dikeluarkan di peringkat Negeri dan Kebangsaan serta keputusan Mahkamah Rayuan dengan juga mengambil kira peruntukan undang-undang di bawah Enakmen 1988, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan agar setiap tindakan yang bakal diambil oleh badan penguatkuasaan agama negeri Selangor perlulah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang terpakai di negeri Selangor khususnya Enakmen 1988.
Dengan penjelasan ini, MAIS meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk mempolemikkan isu ini agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan dari mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil dan efektif.
DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA
PENGERUSI MAIS



JAIS dah kena 'ikat'...

Sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional di Selangor dulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bebas bergerak mengendalikan operasi keatas perkara-perkara berkaitan agama Islam yang ditetapkan dibawah bidang kuasanya.
Namun gara-gara kontroversi operasinya menyerbu pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara pada 2 Januari merampas 300 Bible versi bahasa Melayu sudah merubah segalanya.
JAIS mulai Rabu tidak sebebas dulu.Ia kini wajib berbincang dengan kerajaan negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) jika hendak menjalankan operasi 'sensitif' seperti itu.
Langkah kemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk JAIS itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam sidang media selepas mesyuarat Exco Rabu.
"SOP baru sudah berkuat kuasa hari ini dan sudah diaplikasikan, kena ada perbincangan bersama sebelum apa-apa tindakan diambil.
"Ini bertujuan menjaga sensitiviti dan tatacara, itu semua kita ambil kira," katanya.
Selasa Exco agama  Sallehin Mukhyi mengesahkan serbuan pada 2 Januari itu adalah mengikut SOP JAIS yang ditetapkan.
Namun beliau sudah menbayangkan SOP itu akan dikemaskini.
Khalid berkata kini JAIS boleh bertindak sendiri tanpa berbincang hanya dalam kes tak sensitif seperti tangkap orang tidak berpuasa.
"Exco juga bukan sahaja mereka perlu dapatkan kebenaran, tetapi Exco juga harus memantau JAIS supaya tidak ada salah faham dan juga salah lapor.
"Kerajaan Negeri, MAIS dan JAIS untuk memastikan penguatkuasa akan datang dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.
"Perbincangan melibatkan tiga pihak ini akan diadakan bagi mengambil kira sensitiviti penganut agama-agama," katanya.
Ditanya mengenai pendirian kerajaan Selangor berhubung penggunaan kalimah Allah ini, Khalid menjawab "Kalau simpan dan tidak digunakan boleh, tetapi  di Selangor kita nasihatkan tak perlu.Dalam Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 tercatit tentang penggunaan."
Beliau juga memberitahu mesyuarat Exco telah meminta JAIS mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melibatkan bible versi bahasa Melayu yang dirampas hasil serbuan terhadap PBM, minggu lalu.
"Setelah mendengar taklimat JAIS, kerajaan negeri telah mengarahkan JAIS untuk dapatkan pengesahan daripada KDN jika kitab yang diambil daripada PBM memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah Allah yang ditetapkan kabinet.
"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Resolusi 10 Perkara, kami akan mengarahkan JAIS untulk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada PBM," katanya lagi.- 8/1/2013- OLEH QURNISHA HAMKA
source : AD

No comments: