[PENJELASAN ILMIAH DAN BERNAS UNTUK AISYAH, BAPANYA DAN YANG SEWAKTU DENGAN NYA YANG MESTI DIBACA!] ... Video Klip Hudud : Kekeliruan Terhadap Tulisan Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi
Apabila saya menonton klip video seorang penyampai radio Aisyah Mohamad Tajudin yang mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, apa yang terlintas di hati saya ialah simpati kerana kejahilan yang dipertontonkan kepada khalayak. Dalam era dunia terbuka pada hari ini dengan segala kemudahan akses internet, adalah mudah untuk dijangka bahawa klip video itu akan tersebar dengan begitu cepat dan tepat sekali, itulah yang berlaku.
Namun lebih mengejutkan sebenarnya apabila tiba-tiba bapa beliau, Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (bekas profesor dan bekas pensyarah UTM) menulis dengan kenyataan kesal dengan ancaman bunuh dan rogol terhadap anaknya. Tentulah normal bagi seorang bapa untuk bimbangkan keselamatan anaknya namun sedikit kesal apabila tiada sepatah langsung pendirian beliau yang menunjukkan rasa tidak bersetuju dengan lakonan si anak. Bahkan dipertahankan pula dengan ayat kononnya hanya “…membangkitkan pandangan yang mudah terhadap isu seperti hudud atau isu seperti demokrasi dan pilihan raya yang bersih..”
Di sini, Mohamad Tajudin memperlihatkan kekeliruannya terhadap isu sebenar yang membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia. Ingin juga saya bertanya, apa jenis universiti yang telah memberikan anugerah profesor kepada beliau jika persoalan mudah seperti ini pun gagal untuk difahami? (Sepanjang pemahaman saya, gelaran profesor ialah gelaran dalam perkhidmatan, ia tidak boleh digunakan selepas seseorang itu bersara dari jawatannya). Sedikit kasar tetapi ia meminjam pertanyaan beliau yang bertanya apa jenis universiti yang melahirkan pelajar yang mengancam bunuh anaknya.
Pada permulaan video itu lagi telah memperlihatkan kecenderungan beliau untuk memperlekehkan Islam terutama hukum menutup aurat apabila tiba-tiba muncul babak memakai tudung hanya semata-mata kerana berada di negeri Kelantan.
Tanpa perlu diperingatkan dengan lebih terperinci, arahan menutup aurat dengan sempurna bukannya datang dari kerajaan negeri Kelantan. Ia termaktub di dalam al-Quran bahkan diperakui di dalam sunnah Rasulullah SAW. Ia merupakan perintah Allah SWT yang disebutkan secara jelas di dalam al-Quran al-Karim. Ayat ke-31 daripada Surah al-Nur menyebut yang bermaksud: “.. Dan janganlah mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka..”
Pemahaman ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar r.a pernah masuk ke rumah Nabi s.a.w dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah s.a.w memalingkan wajahnya lalu menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” - sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (H.R. Abu Daud)
Atas apa motif dan tujuan apabila pelakon di dalam klip video ini tiba-tiba mengenakan tudung hanya semata-mata berada di dalam negeri Kelantan jika tidak untuk tujuan menyindir dan menghina? Untuk pengetahuan Aisyah dan bapanya, isu aurat tidak disentuh langsung di dalam enakmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) II yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri beberapa hari lepas. Justeru, untuk apa membangkitkan sesuatu yang tidak disebutpun kecuali dengan tujuan untuk menghina?
Dan sesungguhnya yang dihina itu bukanlah Kelantan dan hududnya tetapi Islam dan syariahnya.
Soal lain yang dibangkitkan di dalam video klip tersebut ialah nasib mangsa banjir, isu penagihan pil kuda dan ketagihan pornografi. Isu-isu ini ialah isu yang berasingan yang sedang ditangani dengan sebaik mungkin oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Meluluskan dan menguatkuasa Kanun Jenayah Syariah yang turut termaktub di dalam hukum hudud sedikitpun tidak menjejaskan tumpuan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.
Cuma menyebut Kelantan sebagai negeri yang tertinggi kes pil kuda dan penagihan dadah dengan merujuk Utusan Malaysia tanpa ada sebarang perbandingan data dengan negeri lain ialah satu ketidak adilan. Kenapa tidak sahaja melihat kepada data rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berwajib? Sebagai contoh, laporan Agensi Dadah Kebangsaan yang boleh dimuat turun di alamathttp://www.adk.gov.my/html/laporandadah/2012/Laporan%20Dadah%20Bulan%20Januari%202012.pdf memperlihatkan Kelantan berada di tangga ke 12 dari sudut jumlah kes penagih dadah baru yang dikesan. Demikian juga dari sudut penagihan berulang, Kelantan juga menduduki tangga ke 12 dari 16 buah negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia.
Tentu sahaja data ini tidak menjawab secara mutlak persoalan pil kuda yang dibangkitkan. Namun, jika benar Kelantan tertinggi, datangkan fakta dan hujahnya. Merujuk kepada Utusan Malaysia tanpa sebarang perbandingan dengan negeri lain adalah satu kezaliman fakta. Ia lebih zalim berbanding membungkus batu di dalam nasi lemak.
Berilah Kelantan peluang untuk melaksanakan undang-undang ini. Inilah yang dikehendaki oleh rakyat Kelantan sepanjang 25 tahun memilih PAS selaku parti yang memerintah di dalam setiap kali pilihanraya bermula tahun 1990. Sebarang kekeliruan dan kesamaran boleh dibincang dengan telus dan adil tanpa sebarang sindiran melalui klip video seperti ini.
Kerana Kelantan tidak rugi apabila dihina demikian, tetapi yang terjejas ialah iman yang dipermain-mainkan. Dari sudut undang-undang, saya kira sudah cukup kenyataan Ketua Polis Negara yang menyatakan bahawa pelakon dan penyiar klip video itu akan disiasat sebagai satu ketenangan kepada kemarahan rakyat. Tidak perlulah ancaman bunuh dan rogol itu, kerana kejahilan tidak boleh ditangani dengan kejahilan juga.
Tinggal lagi, jika ada kesamaran, saya mengajak anda (Aisyah, Tajudin, BFM Radio dan ‘Aisyah-Aisyah’ yang lain) berbincang. Duduk semeja dan minum secawan kopi. Yang penting, ada ketenangan dan bukan ketegangan. Seperti kata Mohamad Tajudin di dalam tulisannya, beliau memaafkan pihak yang mengancam bunuh anaknya sebagaimana Nabi Muhammad SAW memaafkan pihak yang melontarkan batu kepadanya di medan Thaif.
Cuma bezanya, Nabi Muhammad SAW berdiri di Thaif mempertahankan Islam bukannya mempertahankan perbuatan yang menghina Islam secara terang-terangan. Tiba-tiba terkenang skrip anaknya di dalam klip video, “…akhirnya Islam juga yang dipergunakan..”
-AHMAD FADHLI BIN SHAARI, 21 MAC 2015
*penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Source : fb
No comments:
Post a Comment