NUFFNANG

Wednesday 20 June 2007

Kisah malam Altantuya dibawa oleh tiga anggota polis dari rumah Razak Baginda

Kisah malam Altantuya dibawa oleh tiga anggota polis dari rumah Razak Baginda

Mahkamah Tinggi Shah Alam Selasa diberitahu oleh seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak Baginda,P. Balasubramaniam, 47, bahawa dia melihat Altantuya Shaariibuu masuk secara sukarela ke dalam sebuah kereta yang dinaiki oleh tiga anggota polis di depan rumah penganalisis politik itu di Damansara pada malam, 19 Oktober 2006,iaitu pada malam wanita Monglolia itu dibunuh.

Katanya kereta Proton Wira berwarna merah itu tiba tidak lama setelah dia memberitahu Razak mengenai kedatangan Altantuya seorang diri ke situ.

“Saya diminta (oleh Razak) berbual-bual dengan Altantuya sehingga polis sampai untuk menangkapnya," katanya pada hari kedua perbicaraan kes yang menarik perhatian ramai itu.

Balasubramanian memberitahu demikian semasa menyambung keterangan dalam prosiding sebelah petang perbicaraan kes Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja,Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Razak, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar di Wilayah Persekutuan di antara 9.54 pagi, 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam pada 19 Oktober 2006.

Balasubramanian juga memberitahu mahkamah bahawa beberapa hari sebelum itu Altantuya telah menuntut wang sebanyak USD$500,000 (RM1.7 juta) dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia, daripada Razak.

Katanya tuntutan itu dibuat dalam pertemuannya dengan Altantuya dan penyiasat persendirian yang diupah Altantuya bernama Ang Chong Beng di luar kawasan Balai Polis Brickfields pada 17 Oktober 2006 antara pukul 11 hingga pukul 12 malam.

Katanya Altantuya membuat tuntutan itu selepas Ang memujuk beliau supaya tidak membuat laporan polis mengenai Razak.

Altantuya dibawa ke balai polis itu selepas membuat kecoh di luar rumah bapa Razak dengan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat mendesak Razak keluar untuk bercakap dengannya.

Katanya Altantuya menjerit :‘‘Razak bastard, you come out. I want to speak to you.”

Menurut Balasubramanian Altantuya tidak membuat laporan polis setelah dia berbincang dengannya.

Katanya dia memberitahu mereka bahawa dia akan berbincang dengan Razak mengenai perkara itu pada keesokan harinya dan memaklumkan melalui telefon kepada Ang.

Keesokan harinya, saksi itu berkata, dia telah pergi berjumpa Razak di pejabatnya dan memberitahu mengenai kejadian dan tuntutan yang dibuat oleh Altantuya.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bertanya, “Apa yang kamu beritahu?’’

Jawab Balasubramaniam: “Saya beritahu apa yang berlaku di balai polis dan berkenaan tuntutan Amina (Altantuya) .’’

Tun Abdul Majid bertanya lagi: “Apa responsnya?’’

Kata Balasubramaniam: “Dia beritahu saya yang dia akan bincang dengan pegawai polis atasan yang dia kenali dan akan mengambil tindakan selepas itu.’’

Balasubramanian memberitahu pada malam 19 Oktober itu ketika itu dia sedang menjalankan tugas mengawasi rumah Razak pada jam 7.20 malam sebuah teksi yang membawa Altantuya dan dua lagi wanita dilihat melintasi rumah tersebut.

Namun begitu teksi berkenaan tidak berhenti.

Katanya dia terus menghubungi Razak yang memintanya SMS kepadanya jika Altantuya datang semula.

Setengah jam kemudian, Altantuya datang semula, seorang diri, dengan teksi yang sama.

"Saya hubungi tertuduh memberitahu kehadiran Altantuya, saya diminta berbual-bual dengan Altantuya sehingga polis sampai untuk menangkapnya," katanya ketika menjawab soalan Tun Abdul Majid

Katanya Altantuya keluar dari teksi itu kemudian mendekatinya dan berbual-bual dengannya sebelum menceritakan kisah sedih yang dihadapinya termasuk tidak mempunyai wang untuk membayar bil penginapan di Hotel Malaya.

"Altantuya memberitahu ibunya sedang dirawat di hospital dan ayahnya telah meninggal dunia. Dia mempunyai seorang abang dan abangnya itu telah mengugut Altantuya untuk datang ke Malaysia dan meminta wang daripada tertuduh kerana dia (abangnya) telah mempertaruhkan apartmen mereka di Mongolia dan kalah dalam permainan judi."

Sejurus kemudian pihak polis yang menaiki sebuah kereta Wira berwarna merah tiba di situ, dan pemandunya bertanya bertanya "inikah perempuan itu?" sambil menunjuk ke arah Altantuya.

"Polis itu balik ke keretanya dan membuat panggilan telefon, saya tak dengar perbualan itu. Altantuya pula bertanya pada saya siapakah dia, saya jawab mungkin lelaki itu saudara Abdul Razak, saya tak beritahu itu polis kerana takut dia lari.

"Anggota polis tadi beritahu saya dia akan bawa Altantuya bersamanya. Saya beritahu Altantuya polis hendak tangkap dia, dan dia sendiri pergi ke kereta Wira itu dan duduk di bahagian belakang," jelasnya.

Katanya dia kemudian melihat seorang wanita yang duduk di bahagian depan kereta Wira itu kereta itu turun dan duduk di belakang bersama Altantuya, sementara seorang lelaki yang berada di tempat duduk belakang pula bertukar tempat ke bahagian depan.

Balasubramaniam berkata dia dapat melihat dengan jelas wanita dan lelaki tersebut kerana terdapat lampu jalan yang menerangi kawasan itu, bagaimanapun dia mengakui tidak dapat mengecam wajah mereka.

Razak hanya berkata "okay" semasa dia menghubunginya melalui telefon bimbit untuk memberitahu bahawa Altantuya telah dibawa pergi oleh pihak polis, katanya.

Katanya selepas kereta Wira itu beredar, pemandu teksi yang membawa Altantuya datang mengadu kepadanya mengenai tambang teksi sebanyak RM150 yang dijanjikan oleh Altantuya.

Pemandu teksi itu memberitahunya pihak polis yang menaiki kereta Wira itu hanya membayar sebanyak RM50 sahaja kepadanya dan memintanya menjelaskan selebihnya.

Balasubramaniam membayar baki tambang itu keesokan harinya.

Balasubramaniam berkata dia pergi menemui Razak pada 20 Okt 2006, antara pukul 2 hingga 3 petang di pejabatnya untuk mendapatkan baki bayaran perkhidmatannya sebanyak RM2,000 lagi.

"Saya tanya tertuduh di mana Altantuya ditahan, tertuduh tanya saya balik dan minta meneka di mana Altantuya ditahan. Saya sebut mungkin ditahan di Balai Polis Travers atau penjara Cawangan Khas di Jalan Ipoh.

"Tertuduh hanya tersenyum dan berkata dia sendiri tak tahu di mana Altantuya ditahan kerana tidak diberitahu oleh pihak polis yang menangkapnya," katanya.

Katanya selepas pukul 11 malam hari yang sama, Razak telah menghubunginya dan memintanya pergi ke rumahnya kerana terdapat seorang lelaki Cina (penyiasat persendirian Altantuya) bersama dua wanita Mongolia sedang membuat bising di depan rumahnya.

Setibanya di rumah itu, dia melihat Ang bersama-sama dua wanita itu, dikenal pasti sebagai Uuriintuya Gal Ochir dan Namiiraa Gerelmaa, sedang membuat bising dengan menyatakan "Altantuya dikurung dalam rumah, bebaskan Altantuya".

Kemudiannya, seorang inspektor polis tiba di rumah itu ekoran menerima laporan daripada Ang mengenai kehilangan Altantuya dan katanya kesemua mereka meninggalkan rumah itu setelah inspektor polis itu bercakap sesuatu dengan Ang.

Katanya pada 21 atau 22 Okt 2006, Razak menghubungi dan memintanya pergi bersamanya membuat laporan di Balai Polis Bricfkfields.

Dalam prosiding Selasa, Tun Abdul Majid turut mengemukakan log khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat antara Razak dan Balasubramaniam antara 17 sehingga 21 Okt 2006.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok.- 19/6/2007


KZSO COMMENT : GETTING INTERESTING AND INTERESTING...

No comments: