Insiden paling malang DUN Selangor
KOTA BHARU 9 0gos - KOTA BHARU 9 0gos - Pas menganggap tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim memendekkan tempoh persidangan sebagai insiden paling malang dalam sejarah sidang DUN negeri itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Speaker dari DAP itu tidak sepatutnya membelakangi Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri selepas agenda mesyuarat telah dipersetujui bersama.
Beliau berkata, akibat tindakan tersebut, fungsi DUN sudah menjadi terencat apabila beberapa usul yang sudah dijadualkan tidak dapat dibentang.
"Sepatutnya tidak berlaku pertembungan antara Speaker dengan Menteri Besar dan Exco sebab mereka yang lantik Speaker.
"Ini insiden paling malang dalam sejarah DUN Selangor, walaupun kuasa mutlak atas Speaker tetapi dia mesti berunding dengan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, dia tak boleh buat (keputusan) sebelah pihak macam itu," katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Speaker dari DAP itu yang tidak membenarkan usul pindaan terhadap enakmen negeri berkaitan hal ehwal Islam dibawa ke sidang DUN khususnya rang undang-undang berkaitan penukaran agama anak di bawah umur.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan pula berkata, inilah masa terbaik untuk ADUN di Selangor menyingkirkan DAP dari pentadbiran negeri itu.
"Menteri Besar Selangor wajar memulakan langkah proaktif menghadap Sultan Selangor bagi mewajarkan rombakan Exco negeri Selangor dengan mengeluarkan semua ahli Exco dari DAP dan seterusnya menyingkirkan Speaker DUN tersebut.
"Sekiranya sokongan daripada UMNO dan Pas diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun hanya dengan jumlah kerusi yang kecil menolak untuk bekerjasama menjayakan agenda ini," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment