PEMILIHAN DYMM YDP AGONG YANG BARU
Dalam sejarah Malaysia, ini adalah kali pertama yang YDP Agong turun takhta atau meletakkan jawatan. Oleh itu tidak ada “precedent” atau contoh sebelum ini untuk apa yang akan berlaku seterusnya.
Walaupun demikian, terdapat peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang boleh digunapakai bagi tujuan perlantikan DYMM YDP Agong ke-16 yang baru.
Mengikut Perkara 32 sehingga 43 Perlembagaan Persekutuan, apabila berlaku kekosongan jawatan YDP Agong, Timbalan YDP Agong tidak secara automatik dipilih menjadi YDP Agong.
Dan Majlis Raja-raja juga tidak terikat kepada turutan negeri untuk memilih YDP Agong.
Satu proses pengundian rahsia yang baru perlu dilaksanakan oleh Majlis Raja-raja Melayu untuk pemilihan dan perlantikan YDP Agong yang baru dalam tempoh 4 minggu selepas jawatan ini dikosongkan.
Dalam kes ini Majlis Raja-raja perlu memilih YDP Agong yang baru sebelum 3 Februari 2019.
Majlis Raja-raja akan memanggil mesyuarat sebelum 3 Februari 2019 untuk proses pengundian oleh Raja-raja Melayu untuk memilih YDP Agong yang baru.
Senarai calon-calon untuk jawatan YDP Agong dan Timbalan YDP Agong yang baru akan dikeluarkan berdasarkan senarai kekananan terkini Raja-raja Melayu dalam Majlis Raja-raja seperti berikut:
1. DYMM Sultan Pahang (ditabalkan 1975)
2. DYMM Sultan Terengganu (ditabalkan 1999)
3. DYMM Raja Perlis (ditabalkan 2001)
4. DYMM Sultan Selangor (ditabalkan 2003)
5. DYMM YDP Besar Negeri Sembilan (ditabalkan 2009)
6. DYMM Sultan Johor (ditabalkan 2015)
7. DYMM Sultan Perak (ditabalkan 2015)
8. DYMM Sultan Kedah (ditabalkan 2017)
9. DYMM Sultan Kelantan (ditabalkan 2010)
Raja-raja juga boleh memilih untuk tidak dicalonkan.
Mengikut senarai Raja-raja di atas, DYMM Sultan Pahang, Terengganu, Perlis dan Kelantan sedia ada yang masih hidup pernah menjadi YDP Agong sebelum ini.
DYMM Sultan atau Raja sedia ada yang masih hidup tetapi belum menjadi YDP Agong mengikut senarai kekananan adalah seperti berikut:
1. DYMM Sultan Selangor
2. DYMM YDP Besar Negeri Sembilan
3. DYMM Sultan Johor
4. DYMM Sultan Perak
5. DYMM Sultan Kedah
Pemilihan YDP Agong yang baru ini adalah penting untuk kelangsungan Institusi Beraja di Malaysia yang menjadi institusi terakhir semak-imbang Kerajaan dan kuasa Perdana Menteri.
Sebelum ini saya pernah menulis berkenaan hal ini di sini:
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/75088
Patik mendoakan kesejahteraan DYMM Sultan Muhammad V dan menjunjung setinggi kasih ke atas pemerintahan Baginda sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-15.
ISHAM JALIL
Rakyat Marhaen yang Taat kepada Raja
6 Januari 2019
No comments:
Post a Comment