NUFFNANG

Tuesday, 23 July 2013

ALL MUSLIM, MALAYS AND MALAYSIAN! PLEASE READ THIS!! (with open heart of course) "Jangan biar diri terperangkap" - Tun Dr Mahathir

Jangan biar diri terperangkap

Kenapa kita perlu ikut orang dan sekarang apabila undang-undang berkaitan sudah tidak ada, maka berlaku macam-macam perkara.
Apabila keadaan sudah lebih terbuka maka orang luar pun masuk untuk cuba mempengaruhi politik kita.
MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat perkembangan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)?

DR. MAHATHIR: Kesan daripada PRU-13 berkait rapat dengan rasisme yang semakin menebal dan ia perlu diambil kira oleh semua pihak memandangkan masa depan negara tidak berapa baik kerana perkara ini. 

Kalau diperhatikan pemisahan antara kaum telah membuatkan kita semakin jauh sehingga sudah sampai ke tahap ada yang berani mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan. Kita sudah beri kebebasan apabila tiada lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sebagainya, namun mereka semakin berani dengan menghina Nabi Muhammad SAW, mengeluarkan kenyataan yang menghina orang Islam yang berpuasa dan sebagainya. 

Semua ini tidak pernah berlaku kerana dahulu semua kaum di Malaysia menyokong Barisan Nasional (BN).

Kita menang dengan kelebihan yang tinggi melebihi dua pertiga tetapi kini oleh kerana orang Cina langsung tidak menyokong BN manakala orang Melayu pula berpecah tiga kumpulan, maka kita lihat kerajaan yang didirikan sekarang tidak mendapat sokongan yang mencukupi.


Dalam usaha meraih sokongan, kerajaan BN dikatakan sudah melakukan segala-galanya, termasuk memastikan semua kaum mendapat bantuan, tetapi keputusan PRU-13 tidak mencerminkan apa yang diharapkan?

DR. MAHATHIR: Sebenarnya apa yang diberi itu tidak memberi kesan. Bagi mereka yang dapat bantuan itu pun mereka tidak berterima kasih apatah lagi jika mereka penyokong parti pembangkang kerana bagi mereka itu adalah duit mereka. Itu duit cukai dan bukan duit kerajaan atau parti BN. 

Dahulu kerajaan menyediakan persekitaran yang memudahkan masyarakat mencari kerja, menjalankan perniagaan serta pelaburan dan sebagainya maka orang ramai pun seronoklah. Itu bukan duit kerajaan tetapi kami menyediakan ruang dan persekitaran yang sesuai dengan kehendak semua orang untuk mencari rezeki. 

Sekarang ini kalau kita lihat ramai juga graduan yang belum mendapat kerja. Mungkin orang fikir apabila mereka mendapat duit bantuan mereka akan berpuas hati padahal duit itu tidak mencukupi, berapa hari boleh bertahan pun.


Apakah Tun melihat pakatan pembangkang sengaja menyebarkan agenda tidak perlu berterima kasih sehingga ia menghasut rakyat Malaysia?

DR. MAHATHIR: Saya lihat generasi muda agak terpengaruh juga kerana mereka (pembangkang) fokus kepada perkara yang pihak kerajaan sukar untuk menepis. 

Umpamanya dalam hal berkaitan rasuah. Rasuah bukan senang untuk dihapuskan kerana perkara ini sukar dibuktikan dan menjadi rahsia. Orang yang memberi pun tak mahu dedah begitu juga orang yang menerima. Jadi kalau kita nak hapuskan rasuah, ia bukan sekadar kita tangkap apabila mereka melakukan rasuah tetapi mesti ada langkah-langkah pencegahan rasuah.


Bagaimana Tun melihat campur tangan yang semakin berleluasa oleh pihak luar dalam hal ehwal dalaman negara ini. Apa sebenarnya agenda mereka?

DR. MAHATHIR: Ini salah kita kerana tidak mampu mengawal setelah menghapuskan undang-undang yang sebelum ini banyak melindungi kepentingan rakyat dan negara seperti ISA. Tetapi kita hapuskan kerana mahu menjadi lebih liberal sedangkan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain pun mempunyai undang-undang yang sama seperti ISA. Mereka boleh tangkap sesiapa tanpa bicara selama 10 tahun dan tidak ada bantahan pun malah mereka boleh menjatuhkan hukuman gantung tanpa perbicaraan. Sekurang-kurangnya kita hanya menahan paling lama dua tahun kemudian kita bebaskan, kita tidak bunuh orang pun. 

Kenapa kita perlu ikut orang dan sekarang apabila undang-undang berkaitan sudah tidak ada, maka berlaku macam-macam perkara.

Apabila keadaan sudah lebih terbuka maka orang luar pun masuk untuk cuba mempengaruhi politik kita. Bagi AS mereka secara terang-terangan mahukan perubahan pemerintahan dan sesiapa yang tidak mesra dengan mereka akan ditukar. 

Dalam hal ini saya fikir mereka ada kecenderungan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka akan membantu beliau namun mereka tidaklah menunjukkan berseteru dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun bagi mereka pilihan yang terbaik tetap Anwar.


Pihak pembangkang masih lagi berterusan cuba membatalkan keputusan PRU-13, termasuklah mengemukakan permohonan di mahkamah, apa komen Tun?

DR. MAHATHIR: Saya sudah kata sebelum pilihan raya bahawa perhimpunan Bersih adalah pengenalan kepada tuntutan jika mereka kalah dalam pilihan raya. Itulah yang dimahukan melalui Bersih, jika mereka menang tidak ada masalah tetapi jika kalah inilah yang berlaku. 

Mereka akan bawa ke mahkamah, berhimpun dan berdemonstrasi kerana nak menunjukkan bahawa kerajaan yang ada sekarang ini tidak sah. Namun jika kita lihat dalam Pilihan Raya Presiden AS bilamana George W. Bush lawan Al Gore, keputusan terpaksa dibawa ke mahkamah kerana keputusan pilihan raya adalah hampir sama (perbezaan undi terlalu kecil) tetapi hakim menentukan Bush menang dalam pilihan raya itu. 

Namun tidak pula berlaku protes atau demonstrasi oleh rakyat AS dan parti yang kalah tidak pula memprotes atau membawanya ke mahkamah. Mereka menunggu sehingga pilihan raya akan datang kerana itulah sebenarnya demokrasi. Kalau setiap kali kalah nak saman, ia akan menjadi seperti Mesir.

Saya pernah berkunjung ke Mesir dan bertanya keadaan sebenar, saya katakan jika mahu mengamalkan demokrasi mereka perlu terima kekalahan, jika kalah dan kemudian tidak boleh terima, itu bukanlah demokrasi. 

Ini kerana walaupun mereka kalah dan berdemonstrasi dalam jumlah jutaan orang, ia tidak sama dengan jumlah orang yang keluar mengundi. Ia akhirnya membolehkan satu kumpulan aktivis yang kecil berdemonstrasi dan menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh orang ramai. 

Ini bukan lagi demokrasi dan perkara ini akan berterusan berlaku jika satu kumpulan lain menang pilihan raya. Berbanding di Malaysia, pilihan raya dijalankan secara sangat terbuka dan dipantau oleh pemerhati, jadi bagaimana lagi nak kata kita tidak demokrasi.


Kalau dilihat sejak 2008 pihak pembangkang telah menyerang BN dari pelbagai sudut atas matlamat mahu berkuasa. Jika politik seumpama ini berterusan apakah akibatnya kepada negara?

DR. MAHATHIR: Kalau dia (pembangkang) menang maka dia akan guna caranya yang berbeza dengan cara kerajaan sekarang. Umpamanya dalam soal mahu berkongsi kekayaan dalam ekonomi bersama semua kaum, mereka akan berbeza kerana mereka sudah sebut segalanya adalah berasaskan meritokrasi. 

Meritokrasi bermakna orang yang di atas yang dapat tetapi orang di bawah tidak dapat. 

Kita berasaskan keadilan sosial dan bukannya meritokrasi kerana dasar ini adil kerana orang di atas pun dapat dan orang di bawah pun dapat juga. 

Kalau tidak sampai bila pun mereka tidak akan naik. Orang yang berjaya ini kebiasaannya adalah anak orang kaya yang dapat banyak kelebihan tetapi berbeza dengan mereka di bawah yang serba kekurangan kerana latar belakang tidak mengizinkan untuk mendapat lebih baik.

Keadaan di Malaysia ini adalah di mana kita tidak begitu teliti kerana dalam universiti awam, majoriti adalah Melayu dan bumiputera tetapi di universiti swasta, 90 peratus adalah bukan Melayu. 

Ini kerana orang Melayu tidak ada duit untuk masuk. Seorang naib canselor di sebuah universiti memberitahu saya perkara ini kerana sebelum dia masuk tidak ada Melayu di universiti itu. Jadi dia minta MARA bagi biasiswa barulah ada pelajar Melayu di kolej tersebut. 

Oleh itu kalau nak dikira berdasarkan merit sampai bila-bila pun orang Melayu tak mampu dan akan jadi kuli. Perkara ini (merit) tidak menyelesaikan masalah sosial kalau mereka ini miskin maka mereka akan menentang orang kaya apatah lagi jika orang kaya itu kaum lain, ia akan menimbulkan masalah yang tidak selesai. 

Apa yang kita lakukan adalah membetulkan kedudukan masyarakat supaya lebih adil tetapi bukan dengan merampas harta atau hak orang lain. Kita hanya hendak memberi peluang kepada mereka yang tidak bernasib baik ini supaya mendapat peluang. Jika tidak mereka yang tidak bernasib baik ini tidak akan mendapat tempat.


Namun generasi sekarang tidak melihat perkara ini sebagai satu keperluan?

DR. MAHATHIR: Mungkin generasi muda ini terutama orang Melayu melihat perkara ini sebagai sesuatu yang memalukan namun sebenarnya mereka yang mendapat nikmat itu. 

Sepatutnya mereka berasa malu mendapat nikmat itu kerana jika tidak mereka pun mungkin hanya menjadi kuli sahaja. 

Kalau mereka dapat jadi profesor misalnya, ia disebabkan peluang biasiswa yang diberi bukan kerana merit. 

Ini umpama bila dah berjaya mereka membakar jambatan, bila dia dah berjaya orang lain pula dibiar jangan berjaya. Ini tidak baiklah. Ramai juga yang jumpa saya dan kata terima kasih kerana membesar pada zaman saya serta mendapat pelbagai nikmat kerana sistem ini. 

Tapi janganlah apabila sudah berjaya tak nak bagi kepada orang lain untuk berjaya pula. Itulah perangai sesetengah orang Melayu yang saya percaya berlaku kerana hasutan.


Bagaimana Tun melihat kelompok Melayu liberal yang mana apabila sudah berjaya dan misalnya menjadi ketua pegawai eksekutif tetapi kemudian mengutuk orang Melayu lain?

DR. MAHATHIR: Itu jenis orang Melayu yang kurang berkualiti. Ini kerana nilai hidup mereka ini tidak ada sifat syukur dan berterima kasih atau terhutang budi sedangkan bagi orang Melayu, pantun mengenai budi ini begitu banyak sekali.


Apakah Tun melihat peristiwa di Mesir, Iraq, Syria dan berlarutan pula di Malaysia itu seumpama ada satu komplot untuk menjatuhkan kerajaan Islam?

DR. MAHATHIR: Dalam hal ini, orang Islam pun salah juga kerana jika sudah tahu mereka ini cuba memanipulasi, kenapa kita biarkan diri kita terperangkap atau 'diperkosa' sama. 

Kita sering kata ini kerja AS dan Barat tetapi itulah tujuannya untuk mendapat kepentingan mereka. Kalau kita anggap itu adalah kepentingan kita maka janganlah terima. Tetapi ada orang yang terima dan kemudian tercetus huru-hara maka adalah pihak yang akan menghantar senjata, duit dan sebagainya seperti di Syria. Orang lain ambil kesempatan kerana apa yang berlaku adalah bersesuaian dengan matlamat mereka. Namun malangnya yang buat kerja adalah orang kita sendiri.

Kalau tahu mereka ini cuba memanipulasi janganlah biarkan diri kita dipengaruhi kerana apabila kita berkelahi mereka yang sebenarnya dapat untung. Saya cakap perkara sama kepada orang Arab kerana yang untung adalah musuh mereka kerana musuhnya tidak perlu membunuh orang Arab kerana mereka sendiri membunuhnya.


Tetapi di negara ini semua pihak seolah-olah cuba mendapat sokongan AS mungkin kerana kedudukan negara itu sebagai kuasa dunia maka siapa yang menyokong akan mendapat kelebihan?

DR. MAHATHIR: Kita sepatutnya tidak perlu mendapat sokongan mereka atau menerima pendapat asing kerana kita lebih memerlukan pendapat kita sendiri yang lebih mengutamakan kepentingan kita. Mereka pun mempunyai kepentingan tetapi malangnya kita tidak mempedulikan kepentingan kita dan mengutamakan kepentingan Barat. Kita lebih utamakan kepentingan mereka kerana kita tahu mereka boleh membantu mencapai kepentingan sendiri. 

Mereka tidak lagi fikir tentang bangsa atau agama. 

Kita tahu bahawa terdapat NGO asing yang terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang dilihat lebih Islamik. Namun malangnya ada pihak Islam yang seronok apabila mendapat bantuan kewangan ini.

Di Malaysia, majoritinya masih lagi berpegang kepada ajaran Islam sebenar serta tidak menyalahgunakan ajaran Islam untuk kepentingan politik. Sebab itu pada PRU-13 lalu, 88 kerusi Parlimen dapat kepada UMNO yang menunjukkan majoriti orang Melayu masih berpegang kepada ajaran Islam sebenar. 

Pas misalnya hanya mendapat 21 kerusi sahaja dan kita bernasib baik kerana UMNO masih kuat, tetapi kekuatan UMNO ini diperolehi kerana orang Melayu takut memandangkan Anwar sudah berjanji Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. 

Itu yang ditakuti sebenarnya. 

Oleh itu rakyat tidak ada pilihan selain menerima UMNO walaupun mereka tidak berapa berpuas hati.


Bagaimana Tun melihat peranan parti komponen pada pilihan raya akan datang?

DR. MAHATHIR: Ketika ini MCA berhadapan dengan masalah sama ada dalaman mahupun imej dan sebab itu orang Cina menyokong pembangkang. 

Mereka berasa malu kerana dituduh menjadi alat kepada UMNO dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk ditangkis. 

Itu sebabnya mereka mahu menunjukkan bahawa mereka bukan alat kepada UMNO.

Dalam PRU-13, orang Cina betul-betul yakin bahawa Anwar akan menang. Pembangkang percaya keadaan politik di Pulau Pinang akan berlaku di seluruh Malaysia dengan menggunakan slogan 'Ini Kalilah'. 

Malah mereka membawa pulang pengundi Cina yang berada di luar negara untuk balik mengundi namun mereka gagal.


Dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah kepada tiga tetapi orang Cina bersatu, apa akan berlaku jika ia berterusan?

DR. MAHATHIR: Orang Melayu lain sikit pegangan politik mereka iaitu mereka mengikat diri atau setia dengan parti dan tidak begitu mengambil kisah apa yang parti buat. 

Namun orang Cina mereka melihat perhitungan kepada kaum mereka. Kalau mereka lihat BN baik kepada kaumnya, mereka akan sokong. 

Sebab itu jika UMNO kuat orang Cina akan sokong tetapi tidak sepenuhnya. 

Pada Pilihan Raya Umum 1969 saya dikalahkan kerana mereka menganggap saya sebagai ekstremis Melayu walaupun saya bertanding di bawah Perikatan. 

Mereka mempunyai perhitungan sendiri siapa yang nak disokong, parti mana yang nak ditolak. Berbeza dengan UMNO dan Perikatan yang mahu calon mereka menang.

Adakalanya orang Cina sokong BN begitu kuat contohnya pada tahun 1999 bilamana orang Melayu marah kerana kes mata lebam Anwar, mereka tidak menyokong UMNO. Berbeza dengan orang Cina yang begitu menyokong BN kerana kita berjaya menangani krisis ekonomi ketika itu. 

Apabila kita berjaya menangani krisis tersebut, orang Cina yang hampir bankrap tiba-tiba terselamat. Mereka berasa kerajaan BN ketika itu bagus dan mereka memberi sokongan kuat, kita berjaya dapat majoriti dua pertiga walaupun kesan kes Anwar ketika itu agak kuat.


Dalam usaha mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina, BN perlu bergantung kepada siapa kerana MCA dilihat lemah manakala Parti Gerakan pula dikatakan semakin ditolak?

DR. MAHATHIR: Usaha itu perlu bermula di dalam UMNO sendiri. UMNO mesti mengambil kira pandangan generasi muda dan mereka perlu membuka keahlian baru yang lebih luas. 

Yang menjadi masalah bagi UMNO sekarang adalah terdapat pemimpin yang mahu kedudukannya selamat dan tidak membenarkan orang lain masuk parti. 

Kalau ada orang lain yang masuk dan lebih baik daripada mereka, maka mereka takut nanti tidak boleh jadi calon, ketua cawangan atau bahagian. 

Sebab itu UMNO kini semakin merosot kualitinya dan banyak yang masuk kerana nak dapat projek dan sebagainya. 

Imej ini perlu dibersihkan dan UMNO akan kembali kuat dan mendapat sokongan ramai setelah pembersihan ini berlaku.

Jika keadaan kini berlaku maka kita tidak akan terlalu bergantung kepada undi orang Cina tetapi pada masa yang sama sokongan orang Cina juga masih diperlukan. 

Kita perlu layan mereka dengan cara yang adil dan jangan mengambil kesempatan atau hak mereka. Dahulu ketika kita laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mereka sokong kerana mereka juga mendapat faedah, yang dahulunya jutawan, sekarang ramai yang jadi bilionair. 

Semua ini bermula di negara ini dan kini mereka boleh melabur di luar negara. Mereka dapati Malaysia adalah peluang yang cukup baik untuk mereka tetapi kita tidak bolehlah merampas hak mereka. 

Kita perlu beri secara adil. 

Jika mereka senang dan boleh cari makan mereka akan tetap sokong kerajaan.

Jika kita lihat di AS, orang Cina sampai sekarang masih didiskriminasi dan diberi pelbagai gelaran. Tetapi kita di Malaysia tidak ada perasaan begitu, walaupun jumlah orang Cina di Malaysia lebih ramai berbanding di AS. 

Kita sudah biasa dengan perkara ini kalau pergi bandar ada orang Cina begitu juga di kampung. 

Jika dahulu di Kuala Lumpur ini dipenuhi oleh orang Cina tetapi sekarang Kuala Lumpur sendiri sudah berkembang sehingga ke Pelabuhan Klang.

Kini kita nak buat persempadanan semula kawasan pilihan raya sudah tidak boleh kerana kerajaan sekarang bukan lagi mendapat sokongan dua pertiga. 

Kita tak boleh beri semua kuasa ekonomi dan politik kepada sesuatu kaum kalau tidak nanti ada kaum yang tersisih dan tidak mendapat layanan sepatutnya. 

Jadi itu sebabnya kita berkongsi kuasa melalui BN iaitu UMNO berkongsi kuasa dengan orang Cina dan orang Cina perlu berkongsi sebahagian kekayaan mereka dengan orang Melayu dan India. Itu sebabnya orang Cina menerima konsep perkongsian kuasa.

Kalau kita lihat pun pusing 'kot' mana pun orang Cina akan dapat lebih. 

Ini kerana apabila kita beri projek kepada orang Melayu, mereka perlu mendapatkan batu bata, pasir dan sebagainya daripada orang Cina. 

ita berkongsi kekayaan dengan orang Cina melalui cara ini tetapi jika orang Cina nak buat bangunan misalnya, orang Melayu tidak dapat apa pun kerana semua diberi kepada orang Cina. 

Kita cuba buat perubahan melalui DEB tetapi orang Melayu sendiri yang sabotaj DEB. Orang Melayu ini cuba nak buat untung awal dengan jual projek, lesen atau AP kepada bangsa lain. 

Jika semua orang Melayu belajar berniaga dan tidak terlalu mengejar keuntungan secara mudah saya fikir keadaan hari ini berbeza dan ada keseimbangan dari segi penguasaan ekonomi antara semua kaum. 

Orang Melayu juga salah dalam hal ini. Kita bagi peluang tapi mereka tidak memanfaatkan peluang dan sekarang ini semakin berpecah-belah dan berkelahi sesama sendiri. 

Ada pula orang yang masih bercita-cita nak jadi Perdana Menteri sehingga tidak peduli apa pun nak berlaku.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130721/re_01/Jangan-biar-diri-terperangkap#ixzz2ZpG5BKL6  © Utusan Melayu (M) Bhd 


source : utusan

No comments: