NUFFNANG

Wednesday 4 June 2014

Melayu Tidak Ada Tempat Dalam DAP

Melayu Tidak Ada Tempat Dalam DAP

by 

Zulkifli Jalil – TIDAK pernah terlihat wajah-wajah DAP sebak sepanjang dua penggal pilihan raya umum lepas. Sebaliknya girang sepanjang masa sehinggalah pada malam 31 Mei lalu. Dan sebak DAP sungguh luar biasa.
Itulah yang terjadi. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan ramai pemimpin kanan parti itu tergambar jelas riak kesedihan mereka. Senario itu mengulangi raut-raut wajah pemimpin MCA dan Gerakan pada Mac 2008 dan Mei tahun lalu.
Roda yang berputar sudah menghukum DAP. Di sebalik pukulan RSN Rayer terhadap UMNO yang dicelakakannya, kezaliman itu berakibat kepada pelakunya sendiri.
Calon DAP yang masih mentah, Dyana Sofya Mohd. Daud sepatutnya tidak terikut-ikut sebak pada malam Sabtu lalu. Sebab begitulah pengakhirannya nasib orang Melayu dalam DAP.
Baik Dyana Sofya mahupun Pas sepatutnya sudah menjangkakan keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Teluk Intan itu.
Ramai mengatakan satu kejutan. Namun keputusan yang memihak kepada Datuk Mah Siew Keong daripada Barisan Nasional (BN) itu menamatkan satu episod keraguan atau rumusan dalam kalangan pemimpin DAP Pusat – bahawa calon Melayu memang tidak ada tempat dalam parti itu.
Sebenarnya bukan sahaja sebagai calon pilihan raya untuk membawa tiket DAP orang Melayu tidak layak, di peringkat menganggotai jawatankuasa pusat parti itu pun Melayu tidak ada merit.
Lihatlah bagaimana perebutan jawatan anggota jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) pada 15 Disember 2012 yang menyaksikan kesemua lapan pemimpin DAP Melayu bertanding disingkir apabila kalah dengan keputusan teruk pada Kongres Kebangsaan ke-16 DAP tersebut.
Keputusan itu menampakkan jelas parti dominasi kaum Cina itu tidak memberi laluan kepada mana-mana calon Melayu. Ini termasuklah Zairil Khir Johari, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politikkepada Guan Eng. Zairil cuma memperoleh 305 undi. Calon lain yang disingkir ialah Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor (216 undi), Senator Ariffin S.M Omar (748), Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98), Roseli Abdul Ghani (39) dan Harun Ahmad (28).
Zulkifli ketika ditemui Bernama ketika itu berkata, mesej yang diperjuangkannya selama 25 tahun untuk menempatkan kaum Melayu dalam CEC parti itu tidak sampai ke peringkat akar umbi.
“Apabila kita katakan Malaysian Malaysia itu, maknanya kita mesti mewakili semua agama, semua bangsa, semua kaum… seimbang. Mesej yang saya sampaikan selama ini belum sampai ke akar umbi. Mereka masih lagi mengundi, memilih pemimpin berpandu kepada bangsa,” katanya.
Kata Zulkifli lagi, pemilihan itu juga tidak berlandaskan kepada kebolehan dan pengalaman calon dalam memperjuangkan parti.
“Belum ada perubahan di situ. Keputusan hari ini tak ada seorang pun calon Melayu. Mungkin pemimpin atasan yang bertanding nak jaga kepentingan masing-masing, bukan kepentingan parti,” katanya.
Barangkali dek ‘terpukul’ dengan celaan mendiskriminasikan Melayu dalam CEC, pemilihan kali kedua dilaksanakan pula pada 29 September 2013. Begitulah juga keputusannya.
Prestasi suram untuk calon Melayu dalam DAP berterusan apabila hanya Zairil memenangi kerusi CEC dengan memperolehi 1,132 undi untuk menduduki tempat ke-12 dalam senarai 20 anggota CEC. Status Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera sebagai orang `Melayu’ bagaimanapun dipertikaikan oleh banyak pihak di dalam dan luar DAP berasaskan latar belakang keluarga beliau.
Calon-calon Melayu yang kalah sekali lagi termasuklah Ariffin, Ahmad Ton dan Tengku Zulpuri. Ariffin hanya meraih 441 undi, S M Omar, 441, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji 441, Ahmad Ton 351, Zulkifli 220, Solaiman Op Syed Ibrahim 103 dan Roseli Abdul Gani 61.
Kekalahan mereka menguatkan hujah bahawa DAP tidak memberikan tempat kepada kaum Melayu dan lebih bertumpu kepada mengisi agenda membela kepentingan Cina sahaja. Dakwaan itu kerap dinafikan oleh Guan Eng namun keputusan pemilihan CEC kedua dalam tempoh kurang setahun yang meminggirkan calon Melayu dilihat sebagai menempelak penafian Guan Eng.
Meskipun dikatakan pencalonan Dyana Sofya, yang diputuskan oleh jawatankuasa pusat DAP, satu kompromi untuk meredakan ketegangan di antara dua kem DAP di Perak, hakikatnya calon Melayu tidak ada tempat dalam DAP.
Asas penubuhan DAP dan perjuangannya masih berpaksikan kepada ideologi sosialis dan sekular dengan membawa konsep Malaysian Malaysia.
Orang Melayu atau bumiputera, tidak kiralah daripada Pas atau empunya diri Dyana Sofya akan menyesal di kemudian hari kerana memberi sokongan kepada DAP.
Jangan sangka kejayaan anda pada hari ini akan diteruskan oleh anak-anak atau cucu-cicit anda. Lihat bagaimana, seseorang yang amat kaya atau berkedudukan, tidak semestinya anak-anaknya juga kaya-raya. Pada masa itu, anak cucu-cicit anda akan menyumpah seranah, kerana anda menyokong ‘parti-parti tertentu’ yang berasaskan kepada merit semata-mata.
Halangan Melayu/bumiputera kini – walaupun negara sudah merdeka lebih setengah abad – adalah halangan dalam diri masing-masing untuk menempa kejayaan meskipun pendidikan berkualiti terbentang di depan mata. Ini tidak berlaku kepada kaum Cina yang berlumba-lumba mencapai kejayaan.
Peluang untuk mendapatkan biasiswa tidak semudah seperti masa lalu. Walaupun pelajar bumiputera mencapai keputusan semua A dalam peperiksaan SPM, tidak semestinya boleh menempatkan diri diuniversiti terpilih, apatah lagi mendapat penajaan.
Memang ada PTPTN, kerana kerajaan bumiputera masih berkuasa, namun jika kerajaan itu tumbang, tidak semestinya, peluang itu masih ada.
Pas dan Dyana Sofya jangan lagi terkinja-kinja mengejar DAP. Melayu memang tidak ada tempat di dalam parti itu.

source : aidc

No comments: